Kurator Berita : Bahagian Dakwah

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Institut Wasatiyyah Malaysia, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, Yayasan Waqaf Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Majlis Daerah Pasir Puteh, Pejabat Belia dan Sukan Pasir Puteh, KEMAS Daerah Pasir Puteh, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JHEAIK), Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Kelantan (JKKN) serta  beberapa agensi kerajaan dan swasta yang lain secara bersama-sama telah menjayakan Karnival ~i~ Nelayan Tok Bali 2017. Program ini telah berlangsung selama 3 hari bermula pada 23 hingga 25 Mac 2017 bertempat di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.  Karnival ~i~ ini adalah susulan daripada Karnival ~i~ Nelayan di Seberang Takir, Terengganu pada tahun 2015 dan Karnival ~i~ FELDA di Gemas, Negeri Sembilan pada tahun 2016.

Jakim sentiasa meneruskan peranan dengan memperkasakan agenda dakwah ke arah pembentukan khaira ummah melalui usaha menjalinkan kerjasama dan membina rangkaian dakwah dengan agensi lain. Program yang telah dirancang ini adalah bagi merealisasikan teras empat dalam Pelan Strategik Jakim 2015 – 2019 iaitu “memantapkan kefahaman dan penghayatan Islam secara syumul bagi melahirkan khaira ummah.”  Malah, Jakim melalui Bahagian Dakwah berusaha memikul amanah yang telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan dengan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti dakwah kepada setiap lapisan masyarakat melalui pelbagai medium antaranya penganjuran karnival dan aktiviti bertemu masyarakat.

Karnival ~i~ yang dianjurkan buat kali ketiga ini adalah bertujuan untuk melebarkan jaringan tarbiah dan dakwah kepada setiap lapisan masyarakat khususnya golongan belia dalam menyedarkan mereka betapa pentingnya ilmu pengetahuan dan pendidikan agama yang menjadi penentu kejayaan di dunia dan di akhirat kelak. Lokasi sekitar Tok Bali telah dipilih adalah untuk mendekati masyarakat nelayan khususnya melalui konsep turun padang dan bersemuka agar mereka merasai keprihatinan kerajaan terhadap kehidupan yang dilalui.

Karnival ini telah dirasmikan oleh YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir memeriahkan acara perasmian ini ialah YBhg Tuan Haji Paimuzi bin Yahya, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim, YBhg Dato’ Makhtar bin Mustapha, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan dan YBhg. Dato’ Che Mat bin Che Ali, Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan. YBhg Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jakim turut hadir memeriahkan karnival semasa Pertandingan Dikir Dakwah, Futsal, Sukaneka dan lawatan ke khemah pameran.

YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi dalam ucapannya menyebut, “Masyarakat luar bandar perlu ‘dihidangkan’ dengan hiburan yang berkonsepkan Islam dalam usaha melahirkan generasi berilmu dan bertaqwa. Dengan hiburan seperti itu, membolehkan masyarakat kampung termasuk petani dan nelayan mendalami mesej agama yang disampaikan. Kita cuba merakyatkan hiburan berkonsepkan ilmu, mesej yang positif dan yang penting program tidak bertentangan dengan tuntutan syarie. Melalui kaedah ini, kita mampu melahirkan insan bersahsiah, berbudi pekerti mulia dan berakhlak tinggi di samping mewujudkan perasaan kasih dan sayang serta saling membantu dalam komuniti Islam.”

Karnival ~i~ Nelayan yang berkonsepkan islamik, informatif dan interaktif ini adalah bukan sekadar karnival yang mempunyai gerai-gerai jualan dan pameran tetapi ianya diselitkan dengan pelbagai acara menarik antaranya seperti Himpunan Dakwah Belia Islam Kelantan, Forum Perdana Ehwal Islam bersiaran secara langsung di RTM, Pertandingan Dikir Dakwah Piala YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dapur Halal Bersama Chef Selebriti, Slot Nahnu Ma’akum (Ziarah Asnaf), Pertandingan Masakan Tradisi Kelantan, Pertandingan Futsal, Sukaneka Rakyat, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak,  Persembahan Kesenian Islam, Kolokium Kepemimpinan Masyarakat Islam, Jejak Ukhuwwah dan lain-lain lagi.

Dalam merealisasikan objektif karnival, seramai 5 orang tenaga pengajar Darul Quran telah didatangkan untuk mengisi dan mengetuai slot Tahsin al-Quran kepada pengunjung. Sesuai dengan penjenamaan ~i~ yang diklasifikasikan dengan seorang Islam, memerlukan kepada iman, membuat amal dengan penuh ihsan kepada Allah, mengikut zaman yang memerlukan inovasi dalam kehidupan. Berpandukan ~i~ inilah maka segala slot yang disusun untuk membina generasi yang lebih Islamik.

Karnival ~i~ ini membuka tirai dengan Kolokium kepimpinan Masyarakat Islam dan Forum Perdana Ehwal Islam yang disiar secara langsung melalui siaran RTM 1 iaitu dengan 2 tajuk iaitu “Indahnya Bila Bersama dan Wasatiyyah Minda Ulul Albab”. Tajuk-tajuk ini telah dikupas oleh Ikon Pendakwah terkenal iaitu YBhg Datuk Kazim bin Elias dan juga penampilan Murabbi yang dikenali ramai iaitu YBhg Dato’ Dr Hj. Mohd Izhar Arif bin Mohd Kashim, Pensyarah Kanan Jabatan Syariah UKM manakala moderatornya ialah YBrs Ustaz Zakaria bin Othman, Penolong Pengarah Kanan Jakim. Dijangka lebih 2000 orang telah hadir memenuhi khemah semasa forum berlangsung.

Sementara itu, acara yang berjaya menarik minat golongan belia ialah Perlawanan Futsal Piala YB Timbalan Menteri di JPM pada 24 Mac 2017 mulai jam 9.00 pagi bertempat di Harraz Futsal. Sebanyak 27 pasukan atau seramai 270 orang belia telah menyertai pertandingan ini yang tamat pada jam 6.30 petang. Berikut adalah keputusan perlawanan;

i.              Johan – Pasukan Seri Aman FC membawa pulang wang tunai RM700.00 berserta piala YB Tim. Menteri di JPM.

ii.             Naib Johan – Pasukan Kelab Belia Pasir Puteh membawa pulang wang tunai RM500.00.

iii.            Ketiga – Pasukan Yen Bundle membawa pulang wang tunai RM350.00.

iv.           Sagu hati – Pasukan PF16 juga membawa pulang wang tunai RM350.00

Hadiah disampaikan oleh YBhg Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jakim.

Selain itu, keputusan Pertandingan Dikir Dakwah Piala YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pula seperti berikut;

i)             Johan - Kumpulan Dikir Bujang Laksamana telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000.00 berserta piala pusingan, piala johan dan sijil penyertaan.

ii)            Naib Johan - Kumpulan Dikir Sri Peraksi pula telah membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000.00 berserta sijil penyertaan DAN

iii)           Tempat Ketiga – Kumpulan Dikir Merkang pula telah membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000.00 dan sijil penyertaan.

iv)           Sagu hati - Kumpulan Dikir GPSK Sri Rhu membawa pulang wang tunai RM500.00 dan sijil penyertaan.

v)            Karut Terbaik - Jie Sinar Kencana (Bujang Laksamana) telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM300.00 dan sijil penghargaan.

vi)           Juara Terbaik (Jogho) Terbaik - Yie Penglipur Lara (Sri Peraksi) telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM300.00 dan sijil penghargaan.

vii)          Persembahan Terbaik – Kumpulan Bujang Laksamana telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM300.00.

Bagi tujuan menyebar luas perjalanan karnival di alam maya, pihak Team Media Baharu Jakim telah mengadakan liputan secara langsung aktiviti-aktiviti yang berlangsung menerusi Facebook Bahagian Dakwah dan telah mendapat viewers seramai 35,737 orang sepanjang karnival berlangsung.

Jakim sentiasa berusaha memikul amanah yang telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan dengan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti dakwah kepada segenap lapisan masyarakat dengan pelbagai kaedah dan medium demi menyemarakkan keindahan agama Islam tercinta.

Karnival i Nelayan Tokbali 1

Karnival i Nelayan Tokbali 2

Karnival i Nelayan Tokbali 3

Karnival i Nelayan Tokbali 4

Karnival i Nelayan Tokbali 5

Karnival i Nelayan Tokbali 6

Kolokium Kepimpinan Masyarakat Islam Negeri Kelantan 2017.

Karnival i Nelayan Tokbali 7

Himpunan Dakwah Belia Islam Kelantan 2017.

 Karnival i Nelayan Tokbali 8

Slot Dapur Halal Bersama Chef Selebriti.

Karnival i Nelayan Tokbali 9 

Slot Nahnu Ma’akum (Ziarah Asnaf).

 Karnival i Nelayan Tokbali 10

 Karnival i Nelayan Tokbali 11

Pertandingan Dikir Dakwah Piala YB Timbalan Menteri di JPM.

 Karnival i Nelayan Tokbali 12

Penyampaian Hadiah oleh YB Timbalan Menteri di JPM.

Karnival i Nelayan Tokbali 13 

Penyampaian Hadiah Sukaneka oleh YBhg Tan Sri Ketua Pengarah Jakim.

 Karnival i Nelayan Tokbali 14

 Karnival i Nelayan Tokbali 15