Assalamualaikum wrt wbt dan selamat sejahtera.
 
Segala puji hanya bagi Allah SWT dan selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, keluarga dan sahabat baginda seluruhnya.
 
Isu halal sering mendapat liputan di kalangan masyarakat Islam di Malaysia khususnya melalui penggunaan media baharu. Situasi ini menggambarkan keprihatinan dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pensijilan halal. Malah dalam masa yang sama, selain JAKIM terdapat juga beberapa pihak sama ada agensi kerajaan mahupun swasta serta NGO’s turut memainkan peranan dalam menyebarkan pelbagai informasi dan isu-isu halal untuk dikongsi bagi meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan pengguna Islam.
 
Dalam hal ini, JAKIM selaku Pihak Berkuasa Berwibawa berserta dengan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri sebagai rakan strategik akan memberikan khidmat pensijilan halal yang terbaik dan berhemah melalui perkhidmatan yang cekap, cepat dan berintegriti. Begitu juga dengan informasi dan maklum balas semasa berkaitan pensijilan halal akan sentiasa dikemaskini sebagai rujukan, penjelasan isu-isu halal yang tular, info halal semasa berkaitan prosedur pensijilan halal Malaysia, logo-logo halal luar negara yang diiktiraf dan sebagainya dalam mempromosi dan meningkatkan imej pensijilan Halal Malaysia.
 
Justeru, kami ingin mengajak pengguna dan pelanggan di luar sana sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk memperoleh segala informasi berkenaan pensijilan halal. Kami juga amat mengalu-alukan sebarang komen/ulasan, pandangan serta cadangan untuk penambahbaikan dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kami kepada masyarakat. Pengguna juga boleh memuat turun aplikasi telefon pintar SmartHalal dalam memproleh informasi halal yang lebih pantas dan tepat.
 
Semoga dengan adanya usaha-usaha ini, akan meningkatkan lagi mutu pensijilan halal Malaysia agar terus ulung dan menjadi rujukan global seterusnya diredhai Allah SWT.

Sekian, terima kasih.
 
Wassalam.
 
“Yakini Halal Malaysia”
 
BUKHARI MD AKHIR