Bahagian Undang-undang
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Aras 7, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya,
No 23, Jalan Tunku Abdul Rahman, Presint 3,
62100 Putrajaya
No Tel : 03-8870 7000
No. Faks : 03-8870 7101

 
LATAR BELAKANG

Apabila Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) telah dinaik taraf menjadi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 1997, Jakim telah mewujudkan Bahagian Penasihat Undang-Undang bagi menguruskan isu-isu yang berkaitan dengan khidmat nasihat perundangan sama ada sivil atau Syarak. Bahagian Penasihat Undang-Undang diterajui oleh Pengarah (Peguam Kanan Persekutuan, Pegawai Undang-Undang) Gred L1 dan dibantu oleh seorang Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan) Gred N9 di mana jawatan ini diwujudkan mengikut Waran Perjawatan Bil. 53 Tahun 1997 bertarikh 8 Mac 1997.

Isu-isu perundangan Islam yang lain seperti penyelidikan undang-undang Islam dan penggubalan undang-undang Islam adalah di bawah tanggungjawab Cawangan Pembangunan Undang-Undang yang diwujudkan di Bahagian Penyelidikan yang terdiri daripada seorang Ketua Penolong Pengarah Gred S2, 4 orang Penolong Pengarah Gred S3, seorang Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S5 dan 2 orang Pembantu Hal Ehwal Islam Gred S7.Jawatan ini diwujudkan mengikut Waran Perjawatan Bil. 53 Tahun 1997 bertarikh 8 Mac 1997.

Pada tahun 1998, Jakim telah merombak struktur organisasinya secara pentadbiran dan menggabungkan Bahagian Penasihat Undang-Undang dengan Cawangan Pembangunan Undang-Undang di Bahagian Penyelidikan dan dinamakan sebagai Bahagian Undang-Undang. Bahagian Undang-Undang diketuai oleh Penasihat Undang-Undang Jakim dan mempunyai 5 cawangan seperti yang berikut –

  1. Jurnal Hukum & Isu Semasa;
  2. Penyelidikan;
  3. Penyelarasan;
  4. Penguatkuasaan & Pendakwaan; dan
  5. Gubalan.

Asas penggabungan ini adalah untuk menangani hal-hal berkaitan penyelidikan undang-undang Islam, pindaan serta penggubalan undang-undang Islam, penyelarasan undang-undang Islam dan segala isu-isu berkaitan dengan undang-undang Islam yang dirujuk kepada Jakim.

Seterusnya pada 1 April 2002, Jakim telah menyusun kembali struktur organisasinya secara pentadbiran dengan memisahkan Cawangan Penguatkuasaan & Pendakwaan di Bahagian Undang-Undang menjadi sebuah bahagian baru yang dinamakan Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan Undang-Undang. Pemisahan ini juga dianggap lebih mantap kerana ianya membolehkan Jakim memberi penumpuan yang lebih dan mendalam dalam hal ehwal penguatkuasaan, penyiasatan dan pendakwaan yang melibatkan jabatan agama Islam negeri-negeri di seluruh Malaysia.

Pada tahun 2004, apabila berlaku penstrukturan semula Jakim dan diluluskan Waran Perjawatan Bil. A43 Tahun 2004 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Pejabat Penasihat Undang-Undang diletakkan secara bersendirian di bawah Aktiviti Pengurusan Am dan Keurusetiaan manakala Bahagian Undang-Undang dinamakan sebagai Bahagian Penyelidikan dan Penggubalan dan Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan Undang-Undang dinamakan sebagai Bahagian Undang-Undang.

Walau bagaimanapun, bagi mengelakkan kekeliruan dan melancarkan pengurusan dan pentadbiran, nama lama bagi Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan Undang-Undang dikekalkan tanpa diubah manakala Pejabat Penasihat Undang-Undang diteruskan penggabungannya dengan Bahagian Penyelidikan dan Penggubalan dan dikekalkan nama sebagai Bahagian Undang-Undang.

Selaras dengan penggabungan tersebut, cawangan-cawangan sedia ada telah disusun semula seperti berikut –

  1. Cawangan Undang-Undang Sivil dan Jenayah
  2. Cawangan Kajian dan Khidmat Nasihat Undang-Undang Islam
  3. Cawangan Gubalan dan Terjemahan Undang-Undang Islam
  4. Cawangan Penyelarasan dan Penyeragaman

Pada tahun 2009, berikutan Cadangan Penjenamaan Semula Jakim, Bahagian Undang-Undang telah mencadangkan penstrukturan semula Bahagian kepada JPA. Walau bagaimanapun cadangan tersebut tidak diluluskan berdasarkan Waran Perjawatan Bil. A 102 Tahun 2009 bertarikh 15 Jun 2009. Mengikut waran tersebut hanya Peguam Kanan Persekutuan Gred L54 dan Pembantu Khas, Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan) Gred N17 diluluskan dan diletakkan di bawah Pejabat Penasihat Undang-Undang. Namun begitu bagi menampung beban tugas Pejabat Penasihat Undang-Undang yang mana Penasihat Undang-Undang berperanan untuk menasihati 20 Bahagian di Jakim dan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama, pegawai dan kakitangan daripada Bahagian lain telah ditempatkan secara pentadbiran ke Pejabat Penasihat Undang-Undang.

Usaha untuk memantapkan Pejabat Penasihat Undang-Undang diteruskan dengan kelulusan waran pada tahun 2018 melalui Waran Perjawatan Bil. A213/2018. Melalui waran baharu ini, Pejabat Penasihat Undang-Undang dijenamakan semula sebagai Bahagian Undang-Undang dan distruktur semula seperti berikut:

  1. Cawangan Undang-Undang Syariah;
  2. Cawangan Undang-Undang Sivil; dan
  3. Cawangan Pengurusan dan Pentadbiran.