Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah lebih segar diingati dengan penubuhannya sebagai Pusat Latihan Dakwah Keningau. Dibangunkan pada 10 Oktober 1979 dan dikendalikan oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk memberikan bimbingan agama kepada golongan Mualaf yang menunjukkan peningkatan pengislaman masyarakat Sabah pada awal tahun 1980.

Pada 1 Januari 1984, PLD Keningau telah diserahkan oleh YAB Datuk Harris Mohd. Salleh, Ketua Menteri Negeri Sabah kepada YAB Datu’ Musa Hitam,Timbalan Perdana Menteri Malaysia mewakili Kerajaan Persekutuan dan diuruskan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), yang kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pendidikan Agama Islam di PLD Keningau pada awalnya, dilaksanakan secara intensif selama enam (6) bulan kepada saudara - saudara baharu untuk mengenal Islam sebagai satu cara hidup. Walau bagaimanapun, pada tahun 1993, berlaku perubahan proses pengajian di mana tempoh 6 bulan pengajian telah dipanjangkan kepada 3 tahun sebagai pengukuhan Kursus Tafaquh 1 tahun di Pusat Latihan Dakwah Kudat. Pada tahun 2003, pengajian di PLD Keningau telah ditambah baik kepada setengah tahun dan pada tahun 2008 Kursus Tafaquh dijenamakan kepada Sijil Pengajian Islam dan Dakwah dengan tempoh pengajian 2 tahun (4 semester).

Pada tahun 2008, IPDAS melangkah setapak ke hadapan dengan menaiktaraf pengajian ke peringkat lebih tinggi setanding dengan keperluan semasa iaitu pelaksanaan kursus diperingkat diploma iaitu pengajian Diploma Dakwah Islamiyah dengan kerjasama Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS).

Pada 20 Oktober 2012, YB Majer Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah mengumumkan nama baharu PLD Keningau kepada Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah. Kini IPDAS mampu berdiri dengan pelaksanaan pengajian sepenuhnya di negeri Sabah. Pada masa yang sama juga Institut Pengajian Tinggi Islam di Sabah dengan perancangan pembangunan baharu, pengembangan program dan pemerkasaan sumber manusia di IPDAS.

Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah,
Kg. Menawo, Beg Berkunci No. 12,
89009, Keningau, Sabah

Telefon: 087-331868


Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah,
Kampus Kudat,
KM22, Jalan Sikuati, Peti Surat 406,
89059 Kudat, Sabah

Telefon: 088-612359