LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

VIDEO MURTAD

Bil.5/2021

  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merujuk isu video yang memaparkan pengakuan seorang lelaki India memurtadkan seorang wanita Islam yang tular di media ketika ini.

  2. JAKIM difahamkan bahawa isu ini dalam perhatian dan tindakan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) setelah menerima aduan dari pelbagai pihak. Justeru, JAKIM menyeru kepada orang ramai untuk menyerahkan isu ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.

  3. Tindakan undang-undang juga boleh diambil di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang sedang berkuat kuasa di beberapa buah negeri terhadap mana-mana orang, termasuk orang bukan Islam, yang menghasut, memujuk, mempengaruhi atau memaksa orang Islam supaya meninggalkan agama Islam atau tidak suka kepada agama Islam. Selain itu, mana-mana orang Islam yang cuba untuk keluar dari agama Islam juga boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang sedang berkuat kuasa di beberapa buah negeri.

  4. Dalam pada itu, JAKIM menyeru seluruh umat Islam agar dapat mempertingkatkan kefahaman dan penghayatan Islam secara menyeluruh melalui pegangan akidah, syariah dan akhlak seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Semua pihak diingatkan agar tidak saling menyalahi antara satu sama lain dalam isu melibatkan umat Islam sebaliknya perlu sama-sama memperkukuhkan institusi keluarga Islam, memupuk sikap saling ambil peduli dalam masyarakat dan ingat mengingati dalam menghadai sesuatu permasalahan.

  5. JAKIM bersama pihak berkuasa agama negeri seperti Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri dan lain-lain sentiasa menjalankan usaha bagi memastikan akidah, syariah dan akhlak umat Islam sentiasa terpelihara selaras dengan prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama yang diberi penekanan oleh pihak kerajaan pada masa kini.

  6. JAKIM mengucapkan syabas dan tahniah atas keprihatinan semua pihak dalam sebarang isu membabitkan umat Islam dan dalam masa yang sama menyokong usaha dan tindakan pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka dengan seadil-adilnya.

Sekian, terima kasih.

“PERIHATIN RAKYAT : DARURAT MEMERANGI COVID-19”

BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

Saya yang menjalankan amanah,
 
(DATUK ABDUL AZIZ BIN JUSOH)
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
20 Februari 2021