Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
Mesyuarat MKI Ke 68 1

Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-68 telah diadakan dengan jayanya pada hari Isnin, 12 Syawal 1442 Hijrah bersamaan 24 Mei 2021M. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin secara dalam talian di Putrajaya.

Mesyuarat telah dihadiri oleh ahli-ahli jawatankuasa MKI terdiri daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) selaku Timbalan Pengerusi MKI, Menteri Besar/ Ketua Menteri Negeri-negeri seluruh Malaysia, Ahli-ahli Dilantik MKI dari kalangan pakar akademik dan profesional serta Ketua Pengarah JAKIM sebagai Setiausaha Majlis. Mesyuarat juga turut dihadiri YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Idrus bin Harun, Peguam Negara serta ketua-ketua agensi agama Persekutuan.

Mesyuarat pada kali ini telah membincang dan memutuskan tiga (3) kertas cadangan yang dibentangkan oleh YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) selaku Timbalan Pengerusi MKI dan YBhg. Datuk Abdul Aziz bin Jusoh, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku Setiausaha MKI.

Di samping itu, Majlis turut mengambil maklum mengenai lima (5) Kertas Makluman yang menyentuh Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI berhubung Pandemik COVID-19, Laporan hasil kajian JAKIM bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada tahun 2019, Strategi Peningkatan Ekonomi Ummah daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC). Majlis juga turut mengambil maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri mengenai Majlis Halal Malaysia (MHM) dan status terkini kedudukan Universiti Islam Malaysia (UIM).

Setelah lebih 50 tahun penubuhannya, MKI akan terus diperkasakan bagi mencapai tujuan utama MKI untuk mengendalikan pentadbiran agama Islam di peringkat Persekutuan bagi menyelaras segala tugas secara bersama dengan Pihak Berkuasa Agama setiap negeri. Demi melaksanakan tujuan ini, Majlis bertanggungjawab membincang, menimbang dan menguruskan perkara-perkara yang dirujukkan kepada MKI oleh Majlis Raja-Raja dan memberi nasihat kepada Majlis Raja-Raja, Kerajaan Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri. Dengan adanya MKI, Kerajaan berharap hal-hal yang berkaitan dengan Agama Islam di seluruh negara akan dapat diseragamkan. Hal ini selaras dengan hasrat Pengerusi MKI yang pertama, Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dalam perutusan beliau sempena Persidangan Pertama MKI pada 5 Februari 1970 di Kuala Lumpur:

“Dengan Taufik dan lorongan Allah, maka Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam, Malaysia Barat, mengadakan sidang-nya yang pertama pada hari ini. Persidangan hari ini ada-lah merupakan suatu titik sejarah yang penting dalam usaha meninggikan taraf Ugama Islam sebagai Ugama rasmi negara kita ini...Pembentukan Majlis ini, dengan kurnia persetujuan Majlis Raja-Raja, ia-lah suatu langkah yang besar untuk menuju penyelarasan (co-ordinasi) urusan Ugama Islam, yang memenohi pula hasrat umat Islam, di-seluroh Tanah Ayer. Majlis ini ada-lah merupakan foram tempat berunding untuk menyelaraskan segala perkara yang bersangkut paut dengan urusan Ugama Islam, baik mengenai peratoran, undang2 dan dasar2 yang di-laksanakan.”

Mesyuarat MKI Ke 68 2

Mesyuarat MKI Ke 68 3

Laporan disediakan oleh:

Sekretariat MKI
Bahagian Dasar Kemajuan Islam