jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
 
BERKENAAN
 
PROGRAM ”IJTIMAK PENGGERAK MASYARAKAT ORANG ASLI TAHUN 2019”
__________________________________________________________________________
 
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Dakwah telah mengadakan program “Ijtimak Penggerak Masyarakat Orang Asli Tahun 2019” pada 5-6 November 2019 (Selasa-Rabu) bertempat di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bandar Baru Bangi. Pelaksanaan program ini adalah kali yang ke-8 dan kali ini ia dirasmikan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Puan Hajah Fuziah bt Salleh.
 
2. Objektif program ini adalah untuk:

3.1 Pendedahan kepentingan integriti dan profesionalisme serta kesannya dalam dakwah kepada PMOA
3.2 Pendedahan setiap pergerakan PMOA dalam pemerkasaan logistik
3.3 Penyatuan pemikiran dan gerak kerja dakwah dalam kalangan PMOA serta meningkatkan kemahiran-kemahiran lain
3.4 Pendedahan elemen dakwah semasa yang lebih segar kepada PMOA untuk menarik masyarakat Orang Asli memahami Islam yang sebenar.
 
3. Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) merupakan pegawai lantikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kebanyakan mereka berstatus contract of service dan ada yang telah dilantik tetap (bagi mereka yang telah berkhidmat melebihi 15 tahun, cemerlang dan dilantik sebelum atau pada 23 Oktober 2015). Penempatan PMOA adalah di negeri-negeri yang mempunyai perkampungan dan masyarakat Orang Asli di seluruh Semenanjung Malaysia, kecuali di Perlis, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan. Sehingga kini terdapat sebanyak 636 buah perkampungan Orang Asli (KOA) yang diselia oleh 243 orang PMOA JAKIM.
 
4. PMOA merupakan pendakwah yang berkhidmat khusus untuk masyarakat Orang Asli Islam dan mengajar kelas-kelas pengajian fardu ain di KOA. Mereka juga bertanggungjawab menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli khusus yang beragama Islam, bermula dari kelahiran, perkahwinan sehingga meninggal dunia. Pendek kata, PMOA akan menjadi tempat rujukan utama masyarakat setempat dalam apa jua perkara.
 
5. Kebanyakan KOA terletak di luar bandar dan ada yang di pedalaman, malah ada yang hanya boleh diakses menggunakan jalan air. PMOA JAKIM memasuki KOA yang dipertanggungjawabkan dengan menggunakan kenderaan sendiri. Bagi KOA yang terletak di pedalaman, mereka menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang dibeli daripada duit poket sendiri. Begitu juga bagi yang memasuki KOA melalui jalan air, terpaksa mengeluarkan wang saku mereka untuk membayar sewa bot.
 
6. Perjalanan dakwah seorang yang bergelar PMOA tidak semudah yang disangka. Ada kalanya mereka diuji dengan bermacam-macam ujian dan dugaan sehingga ada yang meragut nyawa dan semua itu ditempuh dengan penuh redha. Selaku wira yang tidak didendang, jasa-jasa mereka amat besar dan banyak. Sebagai menghargai jasa dan sumbangan yang dicurahkan, maka sewajarnya mereka diberi pengiktirafan dan penghargaan. Maka Ijtimak kali ini memperuntukkan sedikit ruang bagi menghargai pejuang-pejuang belantara ini dengan menyediakan beberapa anugerah. Meskipun nilainya tidak seberapa, namun ia sebagai tanda ingatan bahawa tanpa mereka, mungkin masih ramai masyarakat Orang Asli yang tidak mengenali Islam dan tidak menghayati Islam dengan sebaiknya.
 
7. Antara pengisian aktiviti Ijtimak PMOA kali ini adalah sesi perkongsian pengalaman, slot motivasi, penerangan perkembangan semasa, sesi semakan buku rekod perkhidmatan dan sesi pengisian borang pelanjutan kontrak. Paling istimewa, beberapa PMOA yang menunjukkan khidmat bakti cemerlang diberi penghargaan dalam program pada kali ini.
 
8. Antara anugerah yang diberikan adalah:

a) Anugerah Khas Pendakwah Belantara Negeri-negeri (PMOA terbaik setiap negeri)
b) Anugerah Sumbangan Misi Kuala Koh (PMOA yang berjasa kepada penduduk KOA Kuala Koh pada ketika wabak campak), dan
c) Sijil Sumbangan Khidmat Bakti (PMOA yang telah berkhidmat lebih 20 tahun)
 
9. Sehubungan itu, mohon jasa baik pihak media untuk membuat hebahan program Ijtimak Penggerak Masyarakat Orang Asli Tahun 2019 ini untuk tatapan umum.
 
 
Sekian, terima kasih
 
DATUK MOHAMAD NORDIN BIN IBRAHIM
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
6 November 2019