Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Bangi, 20 Ogos 2017 - Institut Latihan Islam Malaysia dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) telah mengadakan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (Malaysian Technical Co-operation Programe-MTCP) yang memfokus kepada topik “The Administration Halal Certification Body 2017” pada 06 hingga 19 Ogos 2017 bertempat di RHR Hotel@UNITEN Bangi, Selangor.

Program ini merupakan edisi kelima penganjuran ILIM dengan sokongan penuh pihak Sekretariat MTCP Wisma Putra dan Bahagian Hab Halal Jakim. Ia merupakan sebuah platform terbaik bagi Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam membangunkan ekosistem pensijilan halal di Malaysia dan cabaran semasa yang dihadapi bagi menentukan sistem pensijilan halal Malaysia sentiasa terkehadapan dan diiktiraf dunia.

Program kali ini telah mendapat pencalonan dari lebih 20 buah Negara. Walau bagaimanapun, hanya 10 orang peserta dari 10 buah Negara telah berjaya dipilih untuk mengikuti program tajaan kerajaan Malaysia ini, iaitu Kyrgystan, Sudan, Sudan Selatan, Mesir, Sri Lanka, Bosnia & Herzegovina, Tunisia, Mexico, Afrika Selatan dan Gambia. 

Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dicetuskan melalui Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel Pertama (CHOGM) di Sydney pada Februari 1978 dan telah dilancarkan secara rasmi pada 7 September 1980 di Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel di New Delhi, India, untuk menandakan komitmen Malaysia terhadap Kerjasama Selatan-Selatan, khususnya Kerjasama Teknikal di kalangan negara-negara membangun (TCDC).

Selaras dengan semangat Kerjasama Selatan-Selatan, MTCP yang merupakan program kerjasama teknikal dua hala, berkongsi pengalaman pembangunan dengan negara-negara membangun yang lain.

Falsafah “memakmurkan jiran” adalah asas utama bagi program tersebut.  Program ini menyediakan pelbagai bentuk kerjasama teknikal dalam bidang di mana Malaysia mempunyai pengalaman dan kepakaran.

MTCP memberi penekanan kepada pembangunan sumber manusia melalui penyediaan latihan dalam pelbagai bidang yang penting bagi pembangunan sesebuah negara seperti pentadbiran awam, pertanian, pembasmian kemiskinan, promosi pelaburan, teknologi maklumat dan komunikasi, perbankan dan Bahasa Inggeris.

Metodologi pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan termasuk taklimat, perbincangan, ceramah, dan latihan simulasi.  Para peserta juga didedahkan dengan lawatan sambil belajar ke Putrajaya, Ayamas Corporation Sdn Bhd, Bahagian Hub Halal Jakim, Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia, Pharmaniaga Manufacturing Berhad, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan dan Serunai Commerce Sdn Bhd.

Secara keseluruhannya, para peserta memberi komen positif bahawa objektif program ini telah dapat dicapai dengan mendapat pelbagai pengetahuan dan pengalaman baru sepanjang program tersebut. Antara komen positif yang diterima termasuk “jangkaan program ini telah dipenuhi, pengetahuan dan pemahaman yang lebih baik mengenai pensijilan Halal di Malaysia dari pengalaman Malaysia, dan juga dapat menjalinkan jaringan dengan pegawai Malaysia dan di kalangan peserta.