Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Bangi, 8 Mac 2018 - Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabaran dan masalah yang semakin kompleks.  Hal ini berlaku disebabkan perkembangan peradaban dan kemajuan tamadun kemanusiaan dalam pelbagai kehidupan. Keadaan ini tentunya berbeza jika hendak dibandingkan dengan pada zaman era pertanian dan juga era perindustrian beberapa abad yang lampau. Ternyata realiti kehidupan manusia pada masa kini lebih bersifat kebendaan dan juga lebih bersifat individualistik. Sehubungan dengan itu perkembangan dan kemajuan dakwah Islamiah perlu sentiasa selaras dengan perkembangan dan kemajuan masyarakat yang ada di sekelilingnya.

Justeru itu, Kluster Sains Dakwah dan Pengurusan Masjid, Institut Latihan Islam Malaysia telah menganjurkan Kursus Pendekatan Dakwah Unggul di bawah Pelan Operasi Latihan (POL).  Kursus ini disertai oleh 27 orang peserta terdiri dari Pegawai Hal Ehwal Islam gred 41 dari Jakim dan Kementerian.

Objektif kursus ini diadakan bagi memberi kefahaman mengenai teknik penyampaian mesej dakwah yang berkesan dan mempertingkatkan pengetahuan mengenai metedologi dan uslub untuk disesuaikan dengan perkembangan zaman.

Antara barisan penceramah yang berkongsi idea dan pengalaman adalah Pensyarah Kanan dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr.Wan Fariza Alyati Dato’ Wan Zakaria dan Dr. Rosmawati Mohamad Rasit, Pensyarah, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Pertanian Malaysia, Dr. Mohd Sukki Othman, Pengarah Jabatan Pengurusan Media Rangkaian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), En. Mohamad Zamri Mohamed Shapik dan Pendakwah Bebas, Ustaz Mohd Fitri bin Abdullah.

Secara idealnya para pendakwah pada masa kini tidak hanya menguasai ilmu-ilmu asas pendakwah seperti penguasaan ilmu pengajian Islam yang mantap, akhlak yang baik tetapi juga perlu menguasai ilmu-ilmu bantu yang lain seperti ilmu komunikasi dan juga kaedah atau metodologi dakwah, sekali gus ia mampu menterjemah ilmu atau kemahiran yang ada itu untuk menyampaikan dakwah Islamiah secara lebih berkesan dan melahirkan pendakwah bermotivasi, berpengetahuan, cekal serta mahir dalam meneruskan agenda dakwah.

pol dakwah 1

pol dakwah 2

pol dakwah 3

pol dakwah 4

pol dakwah 5