Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Bangi, 25 September 2018 - Risalah Nabi Muhammad SAW telah menjadi rahmat kepada kaumnya dan rahmat kepada seluruh umat manusia selepas beliau.  Dasar-dasar yang dibawa baginda pada mulanya kelihatan aneh dan ganjil pada pandangan hati manusia kerana wujudnya jurang yang jauh di antara realiti fizikal dan spiritual manusia.

Lantaran itu, dengan mengkaji sirah Rasulullah SAW secara mendalam dan teliti, disulami rujukan yang muktabar sudah pasti akan menemui banyak natijah yang baik, yang membawa dan memimpin ke arah ummah yang lebih maju dan selari dengan syariat Allah SWT. Hal ini membawa kepada pencapaian kebahagiaan dunia dan akhirat.

Atas dasar itu, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) telah menganjurkan Muhadharah Hadith Peringkat Kebangsaan 2018 dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri pada 25 September 2018 yang lalu bertempat di Dewan Datuk Mohd Syahir, ILIM, Bangi.

Majlis perasmian Muhadharah Hadith ini telah disempurnakan oleh YB Puan Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.  Tema Muhadharah Hadith ini adalah â€˜Hadith Sahih Pembawa Rahmat Seluruh Alam’.

Seramai 350 orang peserta telah menghadiri Muhadharah Hadith ini yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari kementerian/agensi kerajaan, Jabatan Agama Islam Negeri, Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri-negeri, wakil NGO, rakan strategik, badan berkanun, ahli akademik dan pelajar dari universiti awam dan swasta.

Penganjuran Muhadharah Hadith kali ini adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan mengetahui dan memahami disiplin ilmu hadith seterusnya memberikan kefahaman yang jelas berkaitan hadith dan menyediakan ruang interaksi dan soal jawab mengenai hadith antara para peserta dan ahli akademik terhadap isu-isu hadith di peringkat nasional.

Muhadarah ini juga mengumpulkan pakar-pakar Hadith bagi berkongsi pengalaman dan idea berkaitan ilmu Hadith, maqasid syariah dalam hadith dan seterusnya mewujudkan sinergi dan jaringan rangkaian bersama di peringkat nasional. Ianya bertepatan dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.  Muhadharah ini dilihat sangat relevan dengan keperluan untuk memperkasakan hadith nabawi khususnya di Malaysia sebagai sumber dan lambang kepada pemahaman syariah dan penyatuan ummah.

Muhadharah Hadith ini dijangka akan dapat memberi impak yang besar dalam menzahirkan idea-idea yang bernas dan satu resolusi (outcome document) akan dihasilkan untuk diketengahkan sebagai dasar dan program yang akan memberi manfaat kepada ummat Islam secara menyeluruh dan ke arah keamanan sejagat. Justeru itu, Portal my Hadith yang boleh digunakan sebagai rujukan masyarakat sebagai sandaran akan dilancarkan dalam muhadharah hadith ini. 

Harapan daripada penganjuran Muhadharah Hadith Peringkat Kebangsaan 2018 ini ialah melahirkan generasi rabbani yang menghayati dan mempraktik hadith sahih berpandukan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

m hadis1

m hadis2

m hadis3

m hadis4

m hadis5

m hadis6