Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Bangi, 3 September – Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah mengadakan Kursus Pemantapan Faraid kepada pegawai Hal Ehwal Islam dan skim perkhidmatan yang lain dari pelbagai agensi pada 2 dan 3 September 2020 bertempat di Bilik Ibn Khaldun, Blok Akademik A, ILIM Kampus Utama Bangi, Selangor.

Kursus ini diadakan bertujuan memberi input terperinci berkaitan perundangan faraid menurut perspektif Islam, perundangan dan amalan di Malaysia. Peserta telah diberi pendedahan dan pemahaman mengenai ilmu faraid secara terperinci berkaitan maklumat pewaris harta, kaedah pengiraan faraid dan isu-isu yang berkaitan pengiraannya. Bukan sekadar pengiraan harta pusaka sahaja bahkan peserta dijelaskan dengan fatwa-fatwa yang berkaitan faraid dan harta pusaka di Malaysia termasuklah pentadbiran dan inovasi berkaitan dengannya.

Kursus selama 2 hari ini telah dikendalikan oleh penceramah yang berpengalaman dalam ilmu faraid iaitu Ustaz Zahari bin Mahad Musa dari Universiti Sains Islam Malaysia. Beliau bukan sahaja menyampaikan ceramah bahkan berkongsi pengalaman mengendalikan pembahagian harta pusaka yang pernah diurus oleh beliau. Seramai 26 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri, Pejabat Agama Islam Daerah, termasuklah kakitangan daripada skim perkhidmatan yang lain daripada kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan telah hadir.

Semoga kursus ini berjaya memberikan impak yang besar kepada para peserta daripada sudut pemahaman dan kemahiran dalam mengurus dan mengendalikan harta pusaka terutama dalam harta pusaka keluarga.