Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Kemajuan Islam dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)telah menganjurkan Multaqa Murabbi Ummah 2017 Peringkat Negeri Kelantan pada 27 April 2017 bertempat di Dewan Besar, Balai Islam, Lundang, Kelantan.

Program ini diadakan bertujuan memberi penjelasan tentang hal ehwal berkaitan pengurusan, pengimarahan masjid, pendidikan Islam dan isu-isu semasa dalam negara, di samping pertemuan antara para murabbi ummah dengan pihak kerajaan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dalam menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin di kalangan masyarakat Islam.

Program ini telah menghimpunkan peserta seramai 1200 orang murabbi ummah yang terdiri daripada para imam, guru KAFA, guru takmir, guru tahfiz, guru pondok, guru Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan guru Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dari seluruh negeri Kelantan.

            Multaqa tersebut telah dimulakan dengan slot ceramah bertajuk “Merajut Ukhuwwah Islamiyyah” yang disampaikan oleh YB Sahibus Samahah Dato’ Haji Mohamad Shukri bin Mohamad, Mufti Negeri Kelantan.

            Majlis perasmian multaqa dimulakan dengan ucapan oleh YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta ucapan oleh YB Ustaz Dato’ Haji Mohd Amar bin Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan.Seterusnya titah perasmian multaqa disempurnakan oleh Yang Maha Mulia Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, Pemangku Raja Kelantan. Dalam titah perasmian tersebut, Baginda mengingatkan rakyat mengenai konsep taaruf dalam kemajmukan dengan cara mengikis prasangka serta saling menerima, berlapang dada mampu mencerna masyarakat bersatu padu. Selain itu, Baginda turut bertitah, “Rakyat Beta hendaklah berusaha mencari persamaan dan mengecilkan perbezaan, kerana tiada gunanya kita mencapai kehebatan dalam bidang teknologi dan pembangunan fizikal sekiranya masih berpecah dan bertelingkah.” “Uruskanlah sensitiviti dengan penuh toleransi hingga beroleh kejayaan eksklusif dan inklusif lantas melahirkan konsep perpaduan dalam kepelbagaian. Rasulullah SAW telah menjadi teladan sebagai mursyid dan murabbi kepada kita dalam memperkukuhkan ukhuwah sesama umat Islam.”

 

           Dalam majlis perasmian berkenaan, dua Mock Cheque Peruntukan Kerajaan Persekutuantelah disampaikan kepada kerajaan negeri Kelantan iaitu ‘Bayaran Imbuhan Imam, Elaun Guru KAFA dan Guru Takmir Bagi Negeri Kelantan Tahun 2017’ berjumlah RM75,573,048.00 serta ‘Bayaran Imbuhan Kepada Bilal dan Siak Bagi Negeri Kelantan Tahun 2017’ berjumlah RM529,000.00. Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YABrs. Dr. Haji Nik Mohd Azlan bin Abd Hadi, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), serta pegawai-pegawai kanan kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri.

 

DSC 0138

 

DSC 0150

 

DSC 0093

 

DSC 0095

 

DSC 0106

 

DSC 0165