Kurator Berita : Bahagian Penyelidikan
Bengkel Jawatankuasa Kerja Pengesahan Patuh Syariah  (Akreditasi) Jakim
 
Jawatankuasa Kerja Pengesahan Patuh Syariah (Akreditasi) Jakim secara rasmi ditubuhkan dengan mesyuarat pertama diadakan pada 18 Febuari 2016. Susulan daripada mesyuarat tersebut, satu bengkel bagi kluster undang-undang telah diadakan pada 10 Mac 2016 bertempat di Bilik Syura Aras 9, Jakim.
 
Bengkel yang dipengerusikan oleh YBhg. TKP (D) Jakim ini telah disertai oleh Prof Madya Dr. Shamrahayu binti Ab. Aziz, Felo Utama IKIM, Penasihat Undang-Undang Majlis Agama Islam Selangor dan wakil dari Bahagian Dasar KPDNKK Putrajaya. Turut hadir di dalam bengkel ini ialah pegawai daripada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan (BPP) selaku penyelaras bengkel ini yang diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Mohamad bin Saari (Pengarah BPP) Puan Fatimah binti Saad (Timb. Pengarah BPP) dan Puan Zuriyati binti Mohd. Noor (Peguam Kanan Persekutuan, Pejabat Penasihat Undang-Undang Jakim). 
 
Antara objektif dan pengisian bengkel ialah untuk memperhalusi isu-isu bidang kuasa  perundangan antara persekutuan dan negeri dalam beberapa perkara berkaitan terma fungsi yang boleh dikongsi dan diseragamkan, perancangan perkongsiaan hasrat dan tanggungjawab bersama negeri serta agensi berkaitan. Kesemua perkara ini dikemukakan melalui satu kertas kerja yang telah dibentangkan dalam bengkel tersebut.
 
Di akhir bengkel, beberapa rumusan telah dicapai. Antaranya ialah mengadakan satu bengkel penyediaan garis panduan pengesahan patuh syariah selain daripada mengadakan bengkel bagi kluster-kluster pengesahan patuh syariah yang lain mengikut bidang masing-masing seperti hotel dan pelancongan, rawatan hospital atau klinik dan  pusat-pusat latihan dan motivasi.
 

YBhg. TKP (D) selaku pengerusi bengkel telah mengambil kesempatan bagi pihak Jakim mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam Jawatankuasa Kerja ini khususnya bagi kluster undang-undang kerana menunjukkan komitmen yang sangat tinggi dalam menjayakan pengesahan patuh syariah (akreditasi) Jakim.

Bengkel Jawatankuasa Kerja Patuh Syariah Akreditasi 1

Bengkel Jawatankuasa Kerja Patuh Syariah Akreditasi 2

Bengkel Jawatankuasa Kerja Patuh Syariah Akreditasi 3