Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
 

Jumaat 17 November 2017 (Jumaat) - Sultan Perak, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibn Al Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al Maghfurlah  berkenan melancarkan Modul Kurikulum Kelas Pengajian Takmir Masjid dan Surau serta Kod Etika Guru Takmir Perak yang julung kalinya diperkenalkan di negara ini.

Pelancaran modul itu disempurnakan bersempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Tahun 2017 yang diadakan di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (Intim). Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri Perak, Dato’ Mohd Nizar Zakaria; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Dato' Haji Othman Bin Mustapha.

Program Rancangan Takmir Masjid dan Surau merupakan sebahagian dari rancangan dan aktiviti Jabatan/ Majlis Agama Islam Negeri dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang mula diperkenalkan pada pertengahan tahun 1985.

Falsafah rancangan program pengajian takmir masjid surau merupakan usaha berterusan ke arah memperkasakan ilmu berkaitan ajaran Islam kepada masyarakat umum dan merubah sikap masyarakat dalam menghayati Islam secara komprehensif untuk mencapai kejayaan juga kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat.

Pembukuan dan Penerbitan  Modul  Kurikulum   Kelas  Pengajian  Takmir  Masjid  dan  Surau yang pertama di Malaysia ini amat kena pada pada masanya  dalam usaha kerajaan untuk memperkasakan masyarakat  dengan  ilmu pengetahuan  serta  melahirkan  masyarakat  yang berthaqafah dan  berintegriti  serta  menyanjung  tinggi  disiplin  keilmuan  selaras  dengan  tuntutan  al Ouran dan al Sunnah.

Semenjak awal tahun 2016, satu kumpulan yang dikenali sebagai  Lajnah Penggubal Modul Kurikulum Pengajian Takmir Perak telah dibentuk. Lajnah yang diketuai oleh Pengarah JAIPk  sendiri dan diurusetiakan oleh Unit Takmir Bahagian Pengurusan Masjid JAIPK telah bertungkus lumus untuk menyiapkan modul yang pertama seumpanya di negeri Perak khasnya dan Malaysia amnya. Ahli-ahlinya terdiri dari Pegawai Tadbir Agama, guru takmir, imam dan kakitangan JAIPk yang mempunyai kelayakan dan pengalaman luas dalam bidang masing-masing. Turut sama dalam lajnah tersebut ialah SS Tn Hj Zamri Hashim Timbalan Mufti Jabatan Mufti Perak sebagai pentashih  modul ini.

Modul ini berpandukan kepada buku Kurikulum Pengajian Takmir Masjid dan Surau oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai satu garis panduan umum dalam merangka isi kandungan pengajaran yang sudah tentu tidak lari dari ajaran ahli sunnah wal jamaah. 

Tranformasi sistem pengajaran di masjid dan surau iaitu secara bacaan berkitab kepada mengikut modul yang mengandungi sukatan pelajaran dan jangka masa untuk dihabiskan oleh 314 orang guru takmir negeri Perak dijangka  dapat memberi impak yang besar dan menarik ramai Jemaah untuk menghadiri kelas pengajian takmir di masjid surau seluruh negeri Perak. Fokus diberikan kepada enam subjek teras utama iaitu Akidah, Tafsir, Hadith, Feqah, Sirah dan Akhlak Tasawwuf. Ianya merangkumi keperluan spiritual dan jasmani insan untuk mencapai kehidupan berkualiti dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Manakala pelancaran Kod Etika Guru Takmir Masjid Surau Negeri Perak dalam majlis ini juga dilihat satu langkah ke hadapan dalam memandu arah guru-guru agar lebih bersedia dan mengangkat imej meraka sendiri.

Justeru Jabatan Agama Islam Perak dengan inisiatif yang berterusan berjaya mewujudkan kod etika yang juga merupakan  pertama di Malaysia. Ia adalah manifestasi  Jabatan untuk terus meningkatkan  profesionalisme  guru takmir  itu sendiri  di mata  masyarakat.  Guru Takmir merupakan sumber rujukan oleh masyarakat perlu mempersiapkan diri dengan segala bentuk persediaan dan persiapan. Garis panduan ini  diharap akan dapat meningkatkan kualiti guru dan pengajaran  program takmir itu sendiri  insyaAllah.

Matlamat Rancangan Takmir Masjid dan Surau adalah untuk membentuk anggota masyarakat dan umat yang berilmu, beriman dan bertaqwa serta bertanggungjawab ke arah galakan melakukan yang ma’aruf iaitu kebaikan dan menghindarkan diri dari melakukan kemungkaran. Kod ini dijangka akan dapat memandu arah kepada guru dalam meralisasikan falsafah program pengimarahan itu sendiri.

Kod etika Guru Takmir negeri Perak dibahagikan kepada tujuh kluster utama iaitu :

1 -  Kod Etika Prinsip

2 -  Kod Etika Pencegahan Dan Displin

3 -  Kod Etika Memelihara Maruah Profesion

4 -  Kod Etika Mengelakkan Berlaku Konflik

5 -  Kod Etika Penyampaian

6-  Kod Etika Pengurusan Pengajaran

7 -  Kod Etika Personaliti

Syabas dan tahniah kepada mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menggubal Modul Kurikulum Kelas Pengajian Takmir dan mewujudkan Kod Etika Guru Takmir Negeri Perak Darul Ridzuan.

 

0001

 

0002

 

0003

 

0005

 

0004

 

0006