Jakim logo white small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

GEMPA BUMI DI SEMENANJUNG MINAHASSA, SULAWESI, INDONESIA
____________________________________________________________
 
Dunia menerima berita yang mengejut dan amat menyedihkan susulan gempa bumi kuat dan tsunami yang telah berlaku di Semenanjung Minahassa, Sulawesi, Indonesia pada petang 28 September 2018.
 
Beberapa gempa susulan juga telah berlaku dan telah meragut ratusan nyawa manusia dan membawa kepada pelbagai kerosakan seperti yang telah dilaporkan oleh media tempatan.
 
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menzahirkan rasa simpati atas musibah ini dan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat. Sesungguhnya ini adalah merupakan ujian dan ketentuan takdir Allah yang Maha Esa buat hambaNya yang tidak mampu untuk kita menghalangnya.
 
JAKIM akan melancarkan Tabung Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi menerusi masjid-masjid dan surau di bawah pentadbiran JAKIM dan JAWI sebagai inisiatif membantu mangsa dan keluarga. Sebagai makluman, Indonesia merupakan negara anggota MABIMS selain Malaysia, Brunei dan Singapura yang mempunyai hubungan yang sangat rapat khususnya dalam bidang kebajikan dan dakwah.
 
JAKIM menyeru rakyat Malaysia untuk sama-sama menyumbang dan mendoakan agar Allah SWT mengembalikan kesejahteraan kepada para penduduk Semenanjung Minahassa, Sulawesi, Indonesia.
 
Semoga usaha yang sedikit ini menzahirkan Islam sebagai agama rahmatan lil a'lamin.
 
Sekian.
 
DATUK MOHAMAD NORDIN BIN IBRAHIM
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kompleks Islam Putrajaya
22 Muharram 1440H
2 Oktober 2018M