Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 29 Jun – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam telah mengadakan program Bicara Urus Harta Islam : Institusi Zakat dan PKP Pandemik Covid-19 secara dalam talian kepada pegawai Hal Ehwal Islam dan skim perkhidmatan yang lain dari pelbagai agensi pada 29 Jun 2021 melalui medium Google Meet.

Program ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai peranan zakat dalam menyempurnakan tiga tahap keperluan manusia iaitu dharuriyyat (asasi), hajiyaat (kemudahan dan kelapangan) dan tahsiniyyat (kesempurnaan). Berikutan dengan penularan Covid-19, pelbagai sektor khususnya tiga bidang utama ekonomi iaitu perkhidmatan, logistik dan perkilangan terjejas dalam melaksanakan urusan dan pentadbiran. Maka, keperluan untuk mematuhi new-norm sangat penting, yang mana segala aspek perlu diubah mengikut kesesuaian bagi tujuan kelangsungan hal ehwal kehidupan.

Berdasarkan latar belakang permasalahan ini, penceramah program Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid, Ketua Jabatan Sekretariat Dakwah dari Lembaga Zakat Selangor (MAIS) menjelaskan tiga (3) objektif utama perbincangan iaitu kesan Covid-19 kepada institusi zakat, reaksi institusi zakat untuk berhadapan dengan pandemik ini dari aspek agihan zakat dan juga aspek kutipan zakat.

Menerusi kesan institusi zakat berikutan Covid-19, institusi zakat khususnya Lembaga Zakat Selangor telah menurunkan sasaran kadar kutipan zakat berikutan jangkaan graf muzakki (pembayar zakat) akan menurun, manakala mustahik (penerima zakat) akan meningkat.

Bagi meneruskan kelangsungan pengagihan zakat kepada golongan yang memerlukan, pihak institusi zakat menyemak semula jenis-jenis bantuan yang diberikan berdasarkan tiga tahap keperluan manusia, iaitu dharuriyyat sebagai tahap keperluan yang pertama, hajiyaat sebagai tahap kedua, dan tahsiniyyat bagi tahap ketiga. Bagi menyempurnakan keperluan ketika pandemik ini, institusi zakat menangguhkan tahap keperluan yang ketiga untuk menumpukan aspek kehidupan asasi di dalam tahap keperluan yang pertama, sesuai dengan ajaran agama dan ulama'. Usaha ini dapat dilihat dengan cara-cara institusi ini menangani Covid-19 dalam menyediakan plan jangka masa pendek dan panjang dalam urusan zakat.

Bicara Urus Harta Islam Institusi Zakat dan PKP Pandemik C19 1

Bicara Urus Harta Islam Institusi Zakat dan PKP Pandemik C19 2

Bicara Urus Harta Islam Institusi Zakat dan PKP Pandemik C19 3

Bicara Urus Harta Islam Institusi Zakat dan PKP Pandemik C19 4

Bicara Urus Harta Islam Institusi Zakat dan PKP Pandemik C19 5

Bicara Urus Harta Islam Institusi Zakat dan PKP Pandemik C19 6

Bicara Urus Harta Islam Institusi Zakat dan PKP Pandemik C19 7