Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Bangi, 4 Julai 2018 – Profesion Imam mempunyai kedudukan tinggi, dihormati dan dipandang mulia dalam masyarakat. Mereka bukan sahaja berperanan untuk mengimamkan atau mengetuai sembahyang, malah menjadi pakar rujuk berkaitan ilmu keagamaan dan sosial yang dapat meninggikan taraf masyarakat dari segi pengetahuan, kesihatan, kekeluargaan dan semangat perpaduan.

Institut Latihan Islam Malaysia menerusi Kluster Sains Dakwah dan Pengurusan Masjid telah menganjurkan Kursus Profesionalisme Imam pada 2 hingga 4 Julai 2018 di bawah Pelan Operasi Latihan (POL) kepada 18 orang Pegawai Hal Ehwal Islam Gred 41. Kursus yang berlangsung selama tiga hari ini bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kemahiran pegawai mengenai tatacara profesion Imam, fiqh al-Solah, kaedah hafazan al-Quran, panduan wirid, doa dan tahlil serta penyampaian khutbah.

“Oleh sebab itu seseorang imam biasanya dikehendaki memenuhi syarat-syarat seperti mempunyai akhlak yang baik dan boleh dijadikan contoh oleh penduduk setempat,” kata Ustaz Lukman Mohd Hosni, Timbalan Imam Besar, Masjid Putra, Putrajaya selaku salan seorang penceramah kursus ini.  Penceramah berpengalaman yang terlibat dalam menjayakan kursus ini terdiri dari Ustaz Mohd Hafiz bin Abdul Aziz, Penolong Pengarah Kanan, Masjid Negara, Ustaz Umar Mukhtar Mohd Noor, Pegawai Penyelidik, Pejabat Mufti Wilayah Pesekutuan dan Ustaz Zamri Abd Halim, Pegawai Hal Ehwal Islam, Masjid Wilayah, Kuala Lumpur.

Semoga kursus ini berupaya meningkatkan kemahiran, keyakinan dan kewibawaan pegawai hal ehwal Islam sebagai salah satu persediaan untuk menjadi imam.

pro imam1

pro imam2