Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam

18 Julai 2017 kekal menjadi moment bersejarah kepada agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri apabila Garis Panduan Umum Tadbir Urus Berteraskan Syariah (GTU-s) telah dilancarkan dengan rasminya oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak. 

Tidak berakhir di situ, GTU-s terus dimaknai oleh semua agensi agama di bawah JPM apabila Ketua Pasukan Pelaksana Tadbir Urus Berteraskan Syariah bagi setiap agensi berkenaan telah dilantik pada tanggal 16 Januari 2018 yang lalu.  Lebih bermakna, apabila YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), sudi untuk menyampaikan sijil pelantikan tersebut kepada 15 ketua pasukan pelaksana GTU-s yang mewakili 15 agensi di bawah YB Menteri, bersempena dengan Majlis Perhimpunan Agensi-agensi di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sebagai suntikan semangat dan permulaan kepada gerak kerja pembudayaan GTU-s pada tahun 2018 ini, Bahagian Kemajuan Islam selaku Sekretariat GTU-s telah mengaturkan satu program santai yang dinamakan ‘Teh Tarik GTU-s’ Bersama YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 24 Januari 2018 di Aras 9, Blok A Kompleks Islam Putrajaya (KIP), Putrajaya.  Menelusuri aspirasi GTU-s dari minda kritis YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, nyata telah membuka laluan yang terang kepada setiap agensi untuk memahami, menghayati dan seterusnya membudayakan tadbir urus berteraskan syariah di agensi masing-masing.  YB Timbalan Menteri turut menegaskan bahawa implementasi kepada tadbir urus berteraskan syariah sebagaimana yang tersurat di dalam GTU-s merupakan sebuah perjalanan yang panjang dan perjalanan itu bermula pada hari ini. 

Justeru beliau menegaskan, setiap agensi mesti memberikan komitmen yang penuh secara konsisten bagi memastikan aspirasi YB Menteri ini dapat direalisasikan dengan jayanya.  Selain itu, para jemputan turut berkongsi mutiara ilmu daripada Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati binti Syed Ismail, Ahli Jawatankuasa Task Force Tadbir Urus Agensi Agama yang telah memberi satu kupasan yang sangat menarik mengenai empat teras utama GTU-s.  Hadir bersama yang menambahkan lagi seri majlis ialah YBhg. Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha, YBhg. Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Datuk Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim dan ketua-ketua agensi di bawah JPM.

Gtus Teh Tarik 1

Gtus Teh Tarik 2

Gtus Teh Tarik 3

Gtus Teh Tarik 4

Gtus Teh Tarik 5

WhatsApp Image 2018 01 26 at 10.07.06 AM