Kurator Berita : Bahagian Dakwah

“...Asyraf turut memuji inisiatif Jakim atas penganjuran Program Dhiya’uzZahra’ 2016 ~ Marhaban Ya Ramadan 1437H yang berjaya menyemarakkan majlis ilmu di bulan Ramadan. “Ini inisiatif terbaik dalam membudayakan masyarakat Islam kita supaya kedatangan Ramadan disemarakkan dengan pesta ibadah bukannya pesta juadah”...”

Sumber : Sinar Harian, 11 Jun 2016

10 Jun 2016, Shah Alam – Sekretariat Dakwah Korporat Jakim (SDK Jakim) dengan kerjasama Kumpulan Media Karangkraf, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Puspanita Kecil Cawangan Jakim telah menjayakan Program Dhiya’uzZahra’ 2016 ~ Marhaban Ya Ramadan 1437H. Program ini disempurnakan perasmiannya oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Dr Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM). Turut hadir menyerikan majlis perasmian program ini YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jakim bersama isteri YBhg. Puan Sri Hajah Rohani binti Muhammad merangkap Pengerusi Puspanita Kecil Cawangan Jakim dan YBhg. Dato’ (Dr.) Hussamuddin bin Yaacob, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf bersama isteri, YBhg. Datin Jamilah binti Yahya.

Program ini merupakan inisiatif rintis SDK Jakim bagi tahun 2016 untuk mengajak bersama wanita-wanita yang berkhidmat di syarikat-syarikat korporat negara melalui projek/ program/ aktiviti dakwah secara berhikmah dan berwibawa mengikut kehendak dan keperluan semasa. Selain itu, program ini turut dijadikan sebagai forum pertemuan rasmi Jakim bersama kelompok wanita korporat dalam misi memakmurkan gerak kerja dakwah dan pembangunan insan.

Mengangkat tema ‘Hadirmu Dinanti, Barakahmu Dicari’, program yang dilaksanakan di Dewan Sultan Muhammad Ke-V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf sarat dengan pengisian ilmu melalui slot Tadabbur Wa Tazakkur bertajuk #QuranExplorer yang disampaikan oleh YBhg. Tuan Haji Fazrul Fahmi bin Ismail daripada Akademi Sinergi IKHLAS. Berikutnya slot Sharing Is Caring oleh YBhg. Tuan Haji Shamsul Azahar bin Aliddin (Shamsul Ghau-Ghau), Ikon Rumah Ngaji Kumpulan Media Karangkraf dengan tajuk #CeritaNgaji dan slot Diskusi Ramadan oleh YBhg. Dr. Nik Salida Suhaila binti Nik Saleh daripada USIM dan Puan Mastura binti Haji Muhamed, Pengarah Perpustakaan Negeri Selangor dengan tajuk #La’allakumTattaqun. Di samping pelaksanaan slot-slot berkenaan, program turut diserikan dengan sesi selari iaitu majlis tadarrus dan khatam al-Quran oleh pelajar muslimat Darul Quran Jakim di Masjid Kumpulan Media Karangkraf.

Seramai 367 orang peserta yang terdiri dari kalangan kumpulan eksekutif syarikat, pegawai kanan Jakim dan rakan-rakan media telah menghadiri majlis perasmian program seterusnya jamuan berbuka puasa bersama YB Timbalan Menteri di JPM dan berakhir dengan pelaksanaan solat sunat tarawikh yang dipimpin oleh YB Timbalan Menteri sendiri. Secara keseluruhannya, program ini mencapai objektif yang ditetapkan iaitu memperkukuh pemahaman terhadap nilai-nilai dan ajaran Islam di samping dapat menyemai kesedaran dan komitmen para peserta terhadap aspek pengukuhan tersebut.

dhiyauzzahra 2016 1

dhiyauzzahra 2016 2

dhiyauzzahra 2016 3

dhiyauzzahra 2016 4

dhiyauzzahra 2016 5

dhiyauzzahra 2016 6

dhiyauzzahra 2016 7

dhiyauzzahra 2016 8

dhiyauzzahra 2016 9

dhiyauzzahra 2016 10

Dhiauzzahrah 2016