jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

MAJLIS SAMBUTAN MA’AL HIJRAH PERINGKAT KEBANGSAAN 1440H/2018M
_________________________________________________________________________
 
Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia  (Jakim) akan menganjurkan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2018M yang akan diadakan pada 1 Muharram 1440H bersamaan dengan 10 September 2018M (Isnin) bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bermula jam 7.00 malam.  Majlis sambutan ini akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V. Turut hadir adalah YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri dan YAB Dato Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri serta Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, dif-dif jemputan dan Duta-Duta Luar Negara.
 
 
Tema Penganjuran Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan
 
Tema “Menyantuni Umat Membawa Rahmat bagi penganjuran Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan pada tahun ini adalah amat signifikan dan bertepatan dengan situasi semasa. Islam menganjurkan umatnya agar berakhlak dan berbudi pekerti mulia dalam setiap perbuatan mahupun tutur kata. Dalam konteks ini, umat Islam adalah diwajibkan mengikuti dan memiliki sifat dan akhlak Nabi Muhammad SAW. Ia merupakan pedoman setiap insan dan perlu dijadikan amalan dalam kehidupan setiap Muslim.
 
Seni menyantuni manusia ini tersirat di dalamnya beberapa prinsip dakwah yang sangat penting namun sering diambil mudah oleh umat Islam dalam menyeru manusia ke arah akidah yang benar antaranya manusia akan mudah mendengar dan mengikut seruan seseorang yang dilihat sudah mengamalkan apa yang didakwah; bijak menyantuni manusia; menenangkan mad'u (orang yang didakwah); dan pernyataan rasa kebersamaan.
 
Setiap manusia berhak untuk disantuni walaupun mungkin ada sesetengah tindakan dan pandangan mereka berbeza dengan kita. Kesejahteraan negara menuntut keikhlasan dan komitmen semua pihak dalam memastikan semangat perpaduan dan kesefahaman terus segar. Bahkan ia dibina di atas landasan kesederhanaan, kesantunan dan kesatuan dengan satu matlamat ke arah kemajuan dan pembangunan seimbang yang menatijahkan sebuah negara yang sejahtera.
 
Justeru, Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada seluruh manusia tanpa mengira pangkat, darjat, keturunan dan bangsa. Kesempurnaan dan kelestarian Islam amat terserlah melalui layanan terhadap semua makhluk Allah SWT di muka bumi ini menerusi hukum hakam dan perundangan yang dibawa. Kehebatan Islam lebih dirasai oleh setiap yang mempercayai, menyakini dan beriman dengan Allah SWT. Kesemua sudut kehidupan dan keadaan diraikan oleh agama yang mulia ini.
 
Islam adalah satu-satunya agama yang diiktiraf oleh Allah SWT. Maka, menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk berusaha membawa agama mulia ini agar dapat difahami dengan baik oleh semua manusia lantas menyebabkan mereka berminat untuk mengenali Islam dengan lebih dekat. Justeru, amatlah perlu untuk kita merujuk kembali kepada Islam sebenar berasaskan al-Quran dan al-Hadis untuk menjamin kekuatan umat.
 
Penganjuran Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2018M adalah dalam rangka untuk mengimbau peristiwa bersejarah perpindahan Nabi Muhammad SAW dan kaum muslimin dari Kota Mekah ke Kota Madinah serta pengorbanan kaum Muhajirin meninggalkan harta benda disamping penerimaan dengan sepenuh jiwa raga dari kaum Ansar dipupuk pula dengan semangat perpaduan seharusnya dihayati dengan sebaik-baiknya.
 
 
Penganugerahan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan
 
Kemuncak bagi Majlis Sambutan Ma’al Hijrah ini adalah penganugerahan kepada seorang Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2018M. Pada tahun ini, Jawatankuasa Induk bersetuju untuk menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada seorang Tokoh Kebangsaan yang merupakan tokoh ilmuan, pemikir dan pendakwah tersohor tanahair.
 
Antara kriteria tokoh yang ditetapkan adalah berpengetahuan luas, mempunyai sifat dan peribadi yang unggul, telah memberi sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan syiar Islam dan juga pembangunan ummah serta mendapat pengiktirafan dan diterima oleh masyarakat umum. Penerima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan pada kali ini akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM100,000.00, sebuah pingat serta sijil penghargaan.
 
 
Bual Bicara Maal Hijrah 1440H serta Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun    
 
Bersempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2018M  ini, JAKIM turut menganjurkan Bual Bicara Maal Hijrah 1440H serta Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun. Penceramah jemputan adalah SS Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad Albakri. Bicara Khas akan bermula pada  jam 6.00 petang dan orang ramai adalah dijemput hadir.
 
Sehubungan itu, dimohon jasa baik pihak media untuk membuat hebahan dan liputan bagi penganjuran program ini. Di samping itu, orang ramai dari seluruh negara adalah dijemput hadir ke Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Selain itu, Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2018M  juga akan disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM TV1 serta disambung siar oleh TV Al-Hijrah, siaran langsung melalui radio Nasional FM dan melalui melalui live streaming web TV JAKIM. Selain dari itu, beberapa radio RTM juga akan membuat lintas langsung iaitu Salam FM (BM), KL FM (BM), Ai FM (Mandarin), Traxx FM (B. Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (Radio Orang Asli).
 
Sekian
 
 
DATUK HAJI MOHAMAD NORDIN BIN IBRAHIM
Ketua Pengarah JAKIM
1 Muharram 1440H
10 September 2018M