Kurator Berita : Darul Quran
Darul Quran, Jakim telah menerima pelajar baru bagi Program Persijilan Tahfiz Al-Quran Jakim-UIAM sesi 2016/2017. Penjaga, ibu bapa dan pelajar telah diraikan pada majlis sambutan yang telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Dato’ Haji Razali bin Shahabuddin, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim bagi mewakili Y.Bhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jakim.
Beliau dalam ucapan perasmiannya mengingatkan para pelajar akan adab menuntut ilmu. Suasana di Darul Quran Jakim yang sangat menekankan aspek akhlak dan rohani di sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran akan dapat membantu pelajar untuk menghafaz al-Quran dengan lebih mudah. Peluang mengikuti pengajian ini juga merupakan satu kesempatan yang sangat berharga dan memerlukan kepada komitmen yang tinggi bagi meraih kejayaan yang cemerlang.
Y.Bhg. Dr. Haji Nordin bin Ahmad, Pengarah Darul Quran Jakim dalam ucapan aluannya mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pelajar yang terpilih untuk mengikuti Program Persijilan Tahfiz Al-Quran Jakim-UIAM ini dan menegaskan bahawa Darul Quran Jakim sentiasa berusaha menghasilkan graduan tahfiz al-Quran yang profesional dan berkebolehan dalam pelbagai bidang setaraf dengan institusi pendidikan tinggi yang lain.
Turut hadir dalam majlis sambutan ini adalah Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Shamsul Jamili bin Yoep, Dekan Pusat Asasi Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Y.Bhg. Dr. Haji Nordin bin Ahmad, Pengarah Darul Quran Jakim, Y.Bhg. Ust. Mohamad Zamri bin Mohamed Shapik, Timbalan Pengarah Darul Quran Jakim, pegawai-pegawai dari UIAM dan Darul Quran Jakim, staf dan kakitangan Darul Quran Jakim serta ibu bapa pelajar dari seluruh negara.
Sesi Amanat Huffaz telah disampaikan oleh Pengarah Amal Madik Sdn. Bhd, En. Mohd Azreen bin Mustapa al-Hafiz. Dalam taklimat tersebut, beliau yang juga merupakan graduan daripada Program Persijilan Tahfiz Al-Quran Jakim-UIAM telah menerangkan tentang hasrat dan cita-cita Darul Quran untuk terus unggul dalam melaksanakan pendidikan dalam bidang tahfiz al-Quran dan profesional. Beliau turut menggesa agar semua pelajar bukan semata-mata menghafaz al-Quran, bahkan kita perlu memahami kandungan al-Quran dengan sebaik-baiknya untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Bacaan ikrar dan majlis penyerahan pelajar kepada pihak Darul Quran Jakim turut berlangsung pada majlis tersebut. Para pelajar ini juga akan mengikuti Minggu Haluan Siswa yang pastinya diharapkan dapat memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai Darul Quran Jakim, memberi semangat dan menyemai ukhuwah antara pelajar dan warga Darul Quran Jakim.
Majlis Sambutan Pelajar Baru Program Pensijilan Tahfiz Al Quran JAKIM UIAM 2016 2017 1
Suasana sekitar sesi pendaftaran pelajar baru.
 
Majlis Sambutan Pelajar Baru Program Pensijilan Tahfiz Al Quran JAKIM UIAM 2016 2017 2
Suasana sekitar sesi pendaftaran pelajar baru.
 
Majlis Sambutan Pelajar Baru Program Pensijilan Tahfiz Al Quran JAKIM UIAM 2016 2017 3
 
Majlis Sambutan Pelajar Baru Program Pensijilan Tahfiz Al Quran JAKIM UIAM 2016 2017 4
Pengarah Darul Quran menyampaikan ucapan aluan.
 
Majlis Sambutan Pelajar Baru Program Pensijilan Tahfiz Al Quran JAKIM UIAM 2016 2017 5
Sebahagian pelajar baru yang mendaftar pada majlis ini.
 
Majlis Sambutan Pelajar Baru Program Pensijilan Tahfiz Al Quran JAKIM UIAM 2016 2017 6
Bacaan ikrar oleh pelajar baru Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran DQ-UIAM.
 
Majlis Sambutan Pelajar Baru Program Pensijilan Tahfiz Al Quran JAKIM UIAM 2016 2017 7
Simbolik penyerahan pelajar baru kepada pihak Darul Quran.