jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
 
BERKENAAN
 
PELAKSANAAN UJIAN PENILAIAN KELAS KAFA (UPKK) TAHUN 2018
________________________________________________________________________
 
1. Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memperkenalkan Peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) semenjak pada tahun 1994.
 
2. Ujian ini dilaksanakan pada kanak-kanak Islam yang berada pada tahun 5 sekolah KAFA, bertujuan untuk mengukur dan menilai tahap penguasaan kanak-kanak tersebut dalam menghayati Al-Quran dan Fardu Ain.
 
3. Selama tempoh tersebut, pengurusan UPKK dilaksanakan secara manual dengan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Setelah 24 tahun pelaksanaannya, mulai tahun 2016 Jakim telah memperkenalkan pengurusan UPKK secara dalam talian sepenuhnya menggunakan platform Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI) Version 2.0.
 
4. Pengurusan peperiksaan UPKK menggunapakai Standard Of Procedure iaitu Manual Prosedur Pengurusan UPKK 2014. Manual tersebut menjelaskan syarat-syarat kelayakan calon UPKK adalah seperti berikut:-
 (a) Warganegara
 (b) Belajar di kelas KAFA dan mengikuti Kurikulum KAFA sekurang-kurangnya 3 tahun
 (c) Murid tahun 5 dalam kelas KAFA
 (d) Berdaftar untuk menduduki sebagai calon UPKK
 
5. Manakala mekanisma penyelarasan pengurusan UPKK di antara Jakim dan Agensi Bertanggungjawab berdasarkan Jadual Pengurusan Pelaksanaan UPKK 2018 yang menetapkan tempoh dan tindakan setiap agensi yang perlu dipatuhi bersama.
 
6. Pada tahun ini, Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) akan diadakan pada 1 hingga 4 Oktober 2018 di seluruh Malaysia. Jumlah calon yang akan menduduki ujian tersebut adalah seramai 220,076 orang melibatkan 5,904 buah pusat peperiksaan di seluruh Malaysia.
 
7. Sehubungan itu, saya mengucapkan “Selamat Menduduki UPKK 2018” kepada calon-calon UPKK di seluruh Malaysia.
 
Sekian
 
DATUK HAJI MOHAMAD NORDIN BIN IBRAHIM
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
20 Muharram 1440H
30 September 2018M