Kurator Berita : Unit Integriti

Kalau demam….makan Panadol…tapi apa pula kaitannya dengan ungkapan “Duit Panadol”? Ungkapan tersebut merupakan antara tajuk slot yang telah diperjelaskan oleh Saudara Mohd Firdaus bin Ramlan, mantan Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Krai yang membawa maksud ‘rasuah’ dalam Seminar Pengukuhan Integriti. Seminar yang diadakan pada 28 September 2017 bertempat di Bilik Seminar Aras 5, Kompleks Islam Putrajaya itu diadakan bertujuan untuk meningkatkan usaha pembudayaan integriti dalam pengurusan pentadbiran agar menjadi pemangkin kecemerlangan dalam organisasi.

 

Beliau turut berkongsi pengalaman sebenar beliau sewaktu berada di dalam tahanan penjara melalui slot yang bertajuk “Pengkisahan dari Tirai Besi”. Dalam sesi ceramahnya, beliau menasihatkan seluruh warga Jakim yang menjawat jawatan sebagai penjawat awam yang dibayar gaji setiap bulan agar tidak terjebak dengan rasuah sehingga 'mengkomersialkan' jawatan yang dipegang dengan meletakkan 'harga' pada tugas hakiki yang diamanahkan.

Kupasan yang sangat menarik itu adalah merupakan objektif utama untuk memberi pendedahan dan mesej kesedaran kepada pegawai dan kakitangan Jakim akan bahana rasuah yang boleh menyebabkan maruah tergadai.  Akibat dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan rasuah, diri dan seluruh keluarga terpaksa menanggung aib berhadapan dengan stigma masyarakat.

Seminar tersebut telah dihadiri seramai 60 orang peserta di kalangan warga Jakim selain penyertaan daripada agensi agama lain. Peserta juga turut mendengar  hukuman-hukuman yang dilaksanakan di penjara kepada mereka yang disabitkan melakukan kesalahan jenayah di Malaysia menerusi slot terakhir yang bertajuk “Akibat Tersilap Langkah”. Slot tersebut telah disampaikan oleh YBhg Tuan Meor Azizi Sapawi bin Ahmad Sepuan, Penolong Komisioner Kanan, yang juga merupakan Ketua Unit Integriti, Jabatan Penjara Malaysia sedikit sebanyak memberi pendedahan dan keinsafan kepada kita semua agar sentiasa menjunjung tinggi nilai-nilai integriti dan undang-undang negara.

Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih, Unit Integriti telah menjemput YBhg. Ustazah Hajjah Fatimah binti Manja, Timbalan Pengarah di Pejabat Penasihat Undang-Undang, Jakim bagi menyampaikan cenderahati kepada penceramah-penceramah tersebut.

 

10

Perkongsian pengalaman oleh Mantan Majistret, Mahkamah Majistret Kuala Krai.

12

Peserta kusyuk mendengar ceramah yang disampaikan.

11

Ceramah yang disampaikan oleh Penolong Komisioner Kanan, Jabatan Penjara Malaysia.

13

14

Penyampaian cenderamata oleh wakil Jakim kepada penceramah.