|
KATA-KATA
ALUAN
Alhamdulillah,
bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana masih lagi
mengurniakan nikmat iman dan Islam kepada kita semua serta
menaungi bumi Malaysia yang tercinta dengan nikmat keamanan,
keharmonian dan kesejahteraan.
Umat
Islam di negara ini seharusnya berbangga dan berasa
beruntung kerana usaha-usaha memartabatkan Islam tidak
pernah luntur bahkan semakin rancak terutama ketika pasca
kemerdekaan. Hari ini kita dapat lihat betapa pembangunan
dan kemajuan Islam begitu menyerlah di serata tempat dan di
pelosok negara tanpa menghalang seseorangpun dari merasai
nikmat kemanisannya.
Sesungguhnya
pembangunan Islam yang pesat di negara ini sama ada dari
segi pentadbiran, pendidikan, perundangan, perekonomian dan
sebagainya tidak mungkin dapat dihuraikan di dalam risalah
yang kecil ini. Namun sekurang-kurangnya ia dapat
menjelaskan beberapa kekeliruan dan tanggapan sesetengah
pihak di mana kerajaan tidak pernah bersikap berpeluk tubuh
atau berlepas tangan daripada perjuangan mendaulatkan Islam
sepertimana yang diamanahkan oleh Allah S.W.T.
Adalah
diharapkan risalah ini nanti dapat menjelaskan kepada kita
seterusnya mencetuskan kesedaran betapa perlunya kita
bersama-sama berganding bahu dalam meneruskan usaha-usaha
pembangunan dan kemajuan Islam di negara ini. Ketahuilah,
tanpa kesatuan dan kesungguhan sesama kita nescaya cita-cita
meninggikan kalimah Allah akan menjadi sia-sia dan
angan-angan kosong. Pada ketika itu, tidak mustahil nikmat
keamanan dan keharmonian yang selama ini kita kecapi akan
ditarik oleh Allah S.W.T. Lantas jadilah kita menerima nasib
seperti di negara-negara lain yang berkeadaan huru hara dan
kacau bilau di mana rakyatnya menjadi hina, terseksa dan
pelarian di tanah air sendiri.
(BRIG. JEN.(B) DATO’ ABDUL
HAMID BIN ZAINAL ABIDIN)
Ketua Pengarah,
Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia.
"Kegigihan
kerajaan dalam menyelaras dan menyeragamkan undang-undang
Islam di Malaysia adalah melalui pendekatan yang bijak dan
penuh hikmah iaitu menerusi cara rundingan dan perkenan
daripada D.Y.M.M. Sultan-Sultan dan Raja-Raja selaku Ketua
Agama Islam Negeri-Negeri".
"Kerajaan
tidak pernah bersikap sambil lewa dalam hal-hal yang
berkaitan dengan akidah umat Islam. Segala pendekatan dan
saluran digunakan secara bersepadu dan terancang bermula
dari pendidikan hinggalah ke penguatkuasaan undang-undang
semata-mata untuk melihat akidah umat Islam terpelihara di
bumi Malaysia".
"Sesungguhnya
tanpa sokongan yang padu dari pihak kerajaan, Sistem
Perbankan Islam di Malaysia tidak akan maju sejauh
ini".
"Malaysia
merupakan negara pertama di dunia Islam yang mengujudkan
sistem pengurusan ibadat haji untuk rakyatnya secara aktif
dan sistematik. Selain memberi perkhidmatan berkualiti
kepada para tetamu Allah dan menaikkan ekonomi umat Islam,
ia juga memenuhi tuntutan fardu kifayah umat Islam di
Malaysia".
"Kerajaan
dengan penuh kesungguhan telah menggerakkan seluruh jentera
kerajaan menjalankan tugas-tugas dakwah dan memastikan
risalah Islam ini sampai kepada semua masyarakat Malaysia
sama ada yang beragama Islam atau bukan beragama Islam.
Kerajaan amat mengambil berat tentang mesej dan kefahaman
Islam yang sebenar iaitu Islam sebagai Ad-Din iaitu satu
cara hidup, sederhana, mudah, toleransi, harmoni dan
kesejahteraan".
"Proses
yang memakan masa berbulan-bulan ini sebenarnya telah
memenuhkan ruang langit negara Malaysia dengan kemerduan
bacaan ayat-ayat al-Quran. Begitu juga buminya dibasahi dan
disirami dengan ayat-ayat suci al-Quran. Suasana seperti ini
sebenarnya mendekatkan negara kita kepada keberkatan
daripada Allah s.w.t. lantaran menyuburkan ruang angkasa dan
bumi permainya dengan mukjizat al-Quran".
"Kerajaan
percaya sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam adalah unsur
pendidikan tidak formal yang sangat penting bagi menimbulkan
rasa cinta kepada Allah, kasihkan Rasulullah s.a.w. dan
semangat untuk mematuhi ajaran-ajaran Islam yang terkandung
di dalam al-Quran dan Sunnah".
"Kerajaan
sememangnya mengakui bahawa proses pembangunan ummah yang
teguh dan kuat memerlukan kerja-kerja yang berterusan dan
bersepadu di samping menggunakan dan memanfaatkan segala
saluran dan alternatif yang ada".
EMBANGUNAN
ISLAM DI MALAYSIA
Panel Penulis:
Hj. Md. Zaki
b. Abd. Manan (JAKIM)
Hasnan bin
Kasan (UKM)
Mohd. Zamir
bin Bahall (JAKIM)
PENDAHULUAN
Pembangunan
adalah merujuk kepada perubahan daripada satu keadaan kepada
satu keadaan yang lebih baik, peningkatan kualiti hidup dan
pembaharuan dalam kemajuan hidup.
Malaysia
sememangnya merupakan sebuah negara Islam yang sedang
membangun dan sering mendapat perhatian dunia. Ini tidak
lain kerana pembangunan ekonomi dan kestabilan politiknya
sekalipun penduduknya terdiri dari pelbagai kaum, bangsa dan
agama. Keharuman negara ini terserlah apabila ia berjaya
menjadi contoh dalam memajukan Islam dan memperbaiki taraf
hidup rakyatnya yang beragama Islam tanpa menyekat kebebasan
beragama bagi penganut-penganut agama lain dan tanpa
menindas mana-mana kaum di negara ini.
Negara ini
sedang berusaha gigih ke arah mengujudkan sebuah masyarakat
maju beridentitikan nilai-nilai Islam. Ini berasaskan kepada
kesedaran betapa pembangunan fizikal atau material tanpa
disertai dengan pembangunan rohani lambat laun akan
menjerumuskan negara ke jurang kehancuran lantaran sikap
negatif dan salah laku masyarakatnya. Dalam ertikata lain,
rakyat di negara ini akan diacu mengikut acuan Islam dan
nilai-nilai murni sejagat serta pembangunan yang akan
ditempa nanti tidak akan terpisah dari dasar-dasar yang
digariskan oleh al-Quran dan Sunnah. Pendek kata,
pembangunan fizikal dan ekonomi dalam menempuh alaf baru
adalah seiringan dengan pembangunan rohani dan spiritual
rakyat dan pemimpinnya.
BENTUK
PEMBANGUNAN ISLAM
Pembangunan
yang memberi perubahan satu keadaan kepada satu keadaan yang
lebih baik merupakan satu keperluan yang dicari-cari oleh
manusia. Namun demikian pembangunan yang dicari dan ingin
digerakkan semestinya tidak boleh bertentangan dengan fitrah
kejadian manusia itu sendiri. Firman Allah s.w.t. dalam
Surah As-Sajdah ayat 7-9 bermaksud:
"Dan
Allah memulakan kejadian manusia daripada tanah kemudian Dia
menjadikan keturunannya dari saripati air yang hina (air
mani), kemudian dia menyempurnakan kejadian manusia itu lalu
meniupkan ke dalam (tubuh)nya roh (ciptaan)-Nya".
Ayat ini
menjelaskan bahawa manusia dijadikan dari dua unsur iaitu
jasad dan roh maka dapatlah disimpulkan bahawa pembangunan
kehidupan manusia hendaklah merangkumi kedua-dua aspek iaitu
aspek jasmani (fizikal) dan aspek rohani (spiritual) iaitu
bertepatan dengan fitrah kejadian manusia. Kedua-dua aspek
pembangunan tersebut hendaklah seiring dan seimbang tanpa
melebihkan atau mengurangkan salah satu daripadanya.
Pembangunan
jasmani atau fizikal adalah merangkumi pembangunan
aspek-aspek yang diperlukan oleh jasad manusia iaitu tempat
tinggal, peralatan, kesihatan, alat-alat komunikasi,
pengangkutan dan sebagainya.
Manakala
pembangunan dari aspek rohani pula merangkumi pembangunan
mental, jiwa, sikap dan emosi dalam diri manusia itu
sendiri. Pembangunan mental bermaksud mengisinya dengan ilmu
pengetahuan yang bermanfaat kepada diri, manusia dan alam
seluruhnya. Pembangunan jiwa pula bermaksud menanamkan rasa
keimanan kepada Allah Tuhan Yang Esa, malaikat, para rasul,
kitab-kitab, hari akhirat dan qadha’ dan qadar.
Pembangunan
sikap bermaksud mengasuh diri manusia sikap-sikap positif
dan membina serta mengikis sikap yang negatif. Manakala
pembangunan emosi pula bermaksud menjadikan manusia sebagai
seorang yang matang dan mampu mengawal diri berasaskan ilmu
dan pengalaman dalam menghadapi satu-satu kejadian atau
peristiwa.
FALSAFAH
PEMBANGUNAN ISLAM
Maksud
falsafah dalam konteks pembangunan di sini ialah pendorong,
cara dan halatuju satu-satu pembangunan itu dilakukan.
Falsafah pembangunan Islam didirikan atas asas yang penting
iaitu tauhid, rububiah (ketuhanan), khalifah dan al-Falah
(kejayaan).
Tauhid
Maksud
falsafah tauhid di sini ialah menyakini bahawa Allah
merupakan satu-satunya Tuhan yang wajib disembah dan
dipatuhi segala suruhan dan larangan-Nya. Hanya ajaran dan
panduan-Nya sahaja yang boleh menjamin kebahagiaan dan
kemakmuran hidup di dunia dan di akhirat. Ketepatan
pembangunan dengan falsafah tauhid amat penting dalam
menjamin keserasian pembangunan tersebut dengan fitrah
kejadian manusia yang dibekalkan dengan ajaran Tuhannya.
Rububiah (Ketuhanan)
Rububiah
memberi erti bahawa Allah berkuasa menjadikan, mengawal dan
mentadbir manusia dan alam seluruhnya. Tiada sesiapapun dari
kalangan manusia dan makhluk lain yang dapat menyaingi,
mengatasi dan mengubah kawalan dan pentadbiran Allah s.w.t.
itu. Peraturan-peraturan inilah apa yang dinamakan sebagai
‘sunnah alam’ seperti bukit bukau dan gunung ganang
sebagai pasak bumi, hujan dan sungai sebagai bekalan air,
lelaki dan perempuan saling memerlukan dan sebagainya. Oleh
itu, pembangunan yang menyalahi peraturan ini akan mengalami
kegagalan dan kekacauan hidup.
Khalifah
Falsafah
manusia sebagai khalifah merupakan penggerak kepada manusia
itu sendiri untuk melaksana dan mencorakkan pembangunan yang
memenuhi keperluan manusia selari dengan peraturan yang
telah ditetapkan Allah s.w.t. Firman Allah yang bermaksud:
"Dan
ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada sekalian malaikat:
"Sesungguhnya Allah akan jadikan di atas muka bumi ini
khalifah".
(Al-Baqarah:
30)
Manusia
sebagai khalifah bermaksud menjadi wakil yang dilantik oleh
Allah dalam mentadbir dan membangunkan muka bumi iaitu agen
utama pembangunan muka bumi.
Al-Falah (Kejayaan)
Maksud al-Falah
ini ialah kejayaan manusia menjalani kehidupan secara
lancar dan harmoni tanpa digugat sebarang kerosakan atau
kesempitan dan kejayaan mencapai kesejahteraan dan
keselamatan di akhirat. Inilah yang dimaksudkan dalam
firmah Allah s.w.t.:
"Dan
carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu
(kebahagaian) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan
habuanmu dari (kenikmatan) di dunia".
(Al-Qasas: 77)
Oleh itu,
sebarang pembangunan yang dilakukan mestilah memenuhi
maksud al-Falah (kejayaan) di dunia dan di akhirat.
Pengabaian salah satu dari al-Falah tersebut merupakan
satu penyimpangan dari hakikat dan falsafah pembangunan
Islam.
MATLAMAT
PEMBANGUNAN ISLAM
Matlamat atau
objektif pembangunan Islam adalah seperti berikut:
Pembangunan Sumber Manusia
Manusia
merupakan agen pembangunan yang utama di muka bumi ini.
Berjaya atau tidak pembangunan di dunia adalah bergantung
kepada manusia. Oleh kerana itu, pembangunan sumber manusia
menjadi fokus utama pembangunan Islam. Sumber manusia
menjadi penentu dan kayu ukur kepada keupayaan satu-satu
pembangunan yang dibina.
Dengan itu
maka pembangunan Islam mesti menyediakan tenaga manusia dan
barisan pelapis yang mencukupi untuk melaksanakan
pembangunan yang cemerlang. Oleh sebab itulah maka dalam
pembangunan Islam apa yang paling terserlah sekali ialah
sistem latihan dan strategi penyediaan keupayaan manusia
yang tersusun dan terancang dari aspek rohani dan jasmani.
Peningkatan Kualiti Hidup
Objektif
pembangunan Islam yang seterusnya ialah meningkatkan kualiti
hidup manusia yang mencakupi pelbagai aspek seperti
peningkatan kualiti diri dari segi moral, akhlak dan sikap
serta peningkatan kualiti keperluan hidup seperti ekonomi,
sosial, politik dan sebagainya. Peningkatan kualiti hidup
masyarakat dalam pembangunan sesebuah negara datangnya dari
usaha setiap pihak iaitu bermula dari individu, keluarga dan
masyarakat sehinggalah kepada pihak berkuasa yang
memerintah.
Memanfaatkan Pengeluaran
Yang Berguna
Memaksimumkan
pengembangan pengeluaran yang bermanfaat merupakan
objektif pembangunan Islam yang penting. Ini selaras
dengan fimran Allah yang menjelaskan bahawa seluruh
kejadian yang terdapat di alam ini adalah untuk
dipergunakan dan untuk kemudahan manusia menjalani
kehidupan. Firman Allah yang bermaksud:
"Dan
Dialah yang menjadikan bagi kamu seluruh kejadian di bumi
ini".
(Al-Baqarah:
29)
Pengeluaran
yang bermanfaat sama ada hasil galian, hasil tanaman
atau hasil industri merupakan salah satu ciri
keistimewaan bagi pembangunan sesebuah negara dan
menjadi satu tuntutan Islam. Pembangunan yang
mensia-siakan aset pengeluaran negara atau dibolot dan
dieksploitasi oleh kuasa asing adalah lari dari matlamat
pembangunan Islam.
ISLAM DAN
PEMBANGUNAN
Islam tidak
menghalang umatnya mengejar pembangunan asalkan cara
pembangunan itu dicapai, diurus, ditadbir dan dimanfaatkan
adalah tidak melampaui batas-batas hukum yang dibenarkan.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan
janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain
di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu
membawa (urusan) harta
itu kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian
daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat)
dosa padahal kamu mengetahui".
(Al-Baqarah:
188)
Umat Islam
perlu mencapai kemajuan dan pembangunan dalam pelbagai aspek
dengan niat untuk memperlihatkan keceriaan ummah dari segi
fizikal, kerohanian, kesatuan, keselamatan, kebebasan,
keterbukaan, ketenteraman, kebijaksanaan, kesihatan dan
perpaduan.
Dengan
demikian akan terbukti betapa Islam adalah satu-satunya
panduan hidup yang mampu memberi dan menjamin kesejahteraan
hidup di dunia dan di akhirat. Akan tertolaklah tuduhan yang
dilemparkan oleh musuh-musuh Islam kononnya Islam adalah
agama yang menolak kemajuan dan hanya sesuai untuk mereka
yang berputus asa dan bebal sahaja.
Dalam pada
itu, Islam tidak mahu pembangunan dan kemajuan yang palsu
yang dibina atas asas yang rapuh iaitu kerakusan mengaut
kekayaan peribadi, menindas, mengugut, rasuah, menipu,
tamakkan kuasa atau mencetuskan permusuhan di kalangan
rakyat.
Islam telah
menggariskan sifat-sifat, keperibadian, budaya, imej dan
sistem nilai yang perlu disemai, diamal dan dihayati oleh
semua agen-agen pembangunan sama ada dalam merancang,
menilai atau meluluskan satu-satu projek yang hendak
dilaksanakan dalam sesebuah negara. Mereka semua tidak
sewajarnya mengutamakan aspek material dan keuntungan
semata-mata sehingga mengabaikan kebajikan, kesihatan dan
keselamatan manusia dan makhluk seluruhnya. Ini penting bagi
mengelakkan sebarang pembaziran, kecelakaan, pencemaran
udara dan air serta pengondolan gunung dan pencerobohan
hutan.
Pembangunan
sewajarnya mendatangkan kemakmuran dan kesejahteraan kepada
semua dan tidak pula menimbulkan apa-apa kerosakan, kerugian
dan kebinasaan kepada mana-mana makhluk baik di daratan,
lautan dan udara. Allah s.w.t. telah memberi ingatan kepada
manusia bahawa apa jua kerosakan di muka bumi adalah angkara
dari perilaku manusia itu sendiri di mana Allah tidak
menjadikan sesuatu itu melainkan ada rukun sebab dan musabab
yang mencetuskan natijah tersebut. Firman Allah s.w.t. yang
bermaksud:
"Telah
nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan
tangan manusia supaya Allah merasakan kepada manusia
sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka agar mereka
kembali (ke jalan yang benar)".
(Surah Ar-Rum :
41)
Firman-Nya
lagi yang bermaksud:
"Apa
saja nikmat yang kamu perolehi adalah dari Allah dan apa
saja bencana yang menimpamu maka dari (kesalahan) dirimu
sendiri".
(An-Nisaa’:
79)
Oleh itu, apa
jua bentuk pembangunan seperti bangunan, peralatan, jentera,
alat komunikasi, pengangkutan dan kenderaan yang dicipta
hendaklah tidak menimbulkan kesan sampingan yang lebih
mendatangkan bahaya daripada faedah kepada manusia dan
makhluk yang lain. Dengan erti kata lain, ianya tidak
‘mesra’ alam. Di dalam kaedah Islam sekiranya sesuatu
perkara yang hendak dilaksanakan itu jelas akan mencetuskan
banyak keburukan dari kebaikannya maka rancangan tersebut
perlulah dibatalkan.
Dalam pada
itu, Islam memberikan jalan keluar dari kesempitan terutama
pada saat yang kritis sehingga tidak diwajibkan menjalankan
kewajipan yang telah ditetapkan dan diperbolehkan melanggar
sesuatu ketentuan agama dalam keadaan kesempitan itu. Hal
ini dijelaskan di dalam kaedah usul fiqh: "Keadaan
darurat itu membolehkan yang diharamkan". Ini kerana
terkadang manusia tidak dapat melaksanakan apa yang
diperintahkan Islam dalam keadaan sempit (darurat) kerana
jika dikerjakan juga akan terjadilah suatu kemaksiatan yang
lebih besar lagi.
Kelonggaran
(rukhsah) dalam Islam ini membuka jalan kepada mencapai
tingkat pembangunan, kesempurnaan dan kecemerlangan sesuai
dengan kemampuan dan fitrah manusia itu sendiri dipelbagai
zaman, masa dan di sebarang tempat.
Pembangunan
Islam Di Malaysia
Pembangunan
Islam di Malaysia kini jelas terbukti jika dibandingkan
perkembangannya sekarang dengan kedudukan Islam pada zaman
awal pertumbuhannya di Nusantara iaitu abad kedua belas yang
lampau dan kedudukannya di awal kemerdekaan negara. Islam
bukan sahaja telah mendapat tempat dalam dasar pentadbiran
negara malahan semua arah tuju dasar negara dan proses
pembangunannya secara beransur-ansur dipandu ke arah sasaran
yang bertaut dengan nilai-nilai Islam sejagat. Apa yang
lebih menariknya, kebanyakan dasar, strategi dan pelaksanaan
pembangunannya tidak semua dilabelkan dengan perkataan
‘Islam’ tetapi maksud dan terasnya adalah berasaskan
ajaran Islam berpandukan al-Quran, Sunnah, Qias dan Ijmak
Ulama’.
Islam Sebagai
Agama Rasmi Negara
Perlembagaan
negara telah menerima Islam sebagai agama rasmi negara
manakala penganut agama lain bebas mengamalkan agama mereka
selama mana mereka tidak menggugat dan meracuni akidah umat
Islam di negara ini. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan
memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan
tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan
damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
Oleh kerana
perkataan ‘Islam’ dan bukan ‘ugama Islam’ yang
digunakan di Perkara 3 maka bolehlah dihujahkan bahawa apa
yang dimaksudkannya ialah Islam sebagai cara hidup mengikut
Islam iaitu Islam sebagai Ad-Din. Perkara 11(1) Perlembagaan
memperuntukkan "Tiap-tiap orang adalah berhak
menganuti dan mengamalkan ugamanya, dan tertakluk kepada
Fasal (4), mengembangkan ugamanya". Peruntukan ini
jelas memberi hak orang-orang Islam menganut dan mengamalkan
ajaran Islam iaitu Islam sebagai cara hidup mereka.
Fasal (4)
menjamin dan memelihara akidah umat Islam daripada digugat
oleh dakyah-dakyah agama lain di mana ia menyebutkan bahawa
undang-undang boleh dibuat untuk mengawal atau menyekat
pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama terhadap
orang-orang Islam.
Demikianlah
betapa Islam mendapat kedudukan yang tertinggi di negara ini
sebagai agama Persekutuan dan akidah umat Islam dipelihara
dan dijamin di bawah Perlembagaan dan undang-undang dari
terjebak kepada dakyah agama-agama lain.
Penggubal
Dasar Bagi Hal Ehwal Islam
Atas
kesedaran yang tinggi kepada perlunya satu badan bagi
menggubal dasar dan menyelaras pembangunan dan kemajuan hal
ehwal Islam di Malaysia maka Mesyuarat Majlis Raja-Raja
telah bersetuju menubuhkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal
Ugama Islam (MKI) pada 17 Oktober, 1968. Seterusnya Kerajaan
menubuhkan Urusetia kepada MKI ini iaitu Bahagian Ugama di
Jabatan Perdana Menteri kemudian ditukar nama kepada
Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) dan kini setelah dinaikkan
taraf dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM) berkuatkuasa pada 1 Januari, 1997.
Selain
menjadi urusetia kepada MKI, JAKIM juga diberi mandat oleh
kerajaan untuk menjadi Urusetia kepada badan-badan
penyelaras membuat dasar mengenai hal ehwal agama Islam
peringkat kebangsaan yang ditubuhkan kemudian, antaranya
Jawatankuasa Kemajuan Hal Ehwal Islam, Jawatankuasa Fatwa
Kebangsaan, Persidangan Pengerusi Hal Ehwal Islam Seluruh
Malaysia, Persidangan Ketua Jabatan/Majlis Agama Islam
Negeri Seluruh Malaysia, Badan Perunding Islam dan banyak
lagi.
Kesungguhan
kerajaan dalam membawa pembangunan dan kemajuan Islam di
Malaysia amat terserlah memandangkan kebanyakan anggota
badan-badan penyelaras dan penggubal dasar mengenai hal
ehwal Islam itu terdiri daripada para Mufti, Menteri-Menteri
Besar, Pengerusi dan Pengarah Jabatan/Majlis Agama Islam
Negeri-Negeri, pakar akademik dan cendekiawan Islam dari
pelbagai disiplin ilmu, para alim ulama’ dan tokoh-tokoh
Islam.
Perundangan
Islam
Sejarah
perundangan dengan jelas membuktikan bahawa undang-undang
Islam telah mantap dan dilaksanakan dalam pemerintahan
Kerajaan Melayu sebelum kedatangan Inggeris. Terdapat bukti
yang jelas menunjukkan undang-undang telah dikanunkan dengan
cara teratur bagi pemakaian dan panduan kerajaan Melayu
ketika itu seperti ‘Hukum Kanun Melaka’,
‘Undang-Undang Pahang’ dan ‘Undang-Undang Kedah’.
Beberapa bahagian kanun tersebut adalah petikan daripada
hukum fiqh Mazhab Syafie.
Selepas
kedatangan Inggeris khususnya dengan penerimaan Sistem
Residen, secara beransur-ansur dan sedikit demi sedikit
prinsip undang-undang Inggeris dimasukkan ke dalam sistem
pentadbiran, perundangan dan kehakiman. Akhirnya beberapa
undang-undang seperti Kanun Keseksaan, Enakmen Keterangan
dan Kanun Acara Jenayah telah diperundangkan di mana
Undang-Undang Islam dalam bidang berkenaan tidak lagi
berkuasa.
Berikutan
dengan itu, perundangan Islam pun mula diperbuat dalam
bentuk Enakmen dan Ordinan bagi mendapatkan penguatkuasaan
undang-undang. Keadaan ini meletakkan kedudukan
undang-undang Islam sama dengan bahagian undang-undang lain
yang perlu dikanunkan. Cara ini telah diikuti hingga ke hari
ini sepertimana yang diperjelaskan dalam Perlembagaan
Negara. Ini didapati dalam Jadual Ke-Sembilan Senarai
Negeri.
Penyelarasan
Undang-Undang Islam
Memandangkan
Islam di bawah bidang kuasa negeri dan Sultan sebagai Ketua
Agama Islam (bagi negeri-negeri yang beraja) maka tidak
dapat dielakkan berlakunya ketidakseragaman undang-undang
Islam antara negeri-negeri.
Usaha-usaha
untuk mengadakan undang-undang Islam yang selaras dan
seragam di seluruh Malaysia telah bermula sejak sekian lama
dan beberapa usaha telah diambil bagi maksud tersebut. JAKIM
melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil
telah banyak membantu menggubal undang-undang Islam yang
disediakan sebagai ‘model’ untuk diterima pakai oleh
negeri-negeri.
Usaha terbaru
ialah JAKIM telah mengemukakan suatu cadangan supaya
penyelarasan dan penyeragaman undang-undang Islam
negeri-negeri dibuat melalui Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
Cadangan atas nama Kerajaan Pusat tersebut telah
dipersetujui oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-176
pada 1 Ogos, 1997 yang lalu. Ekoran persetujuan itu, JAKIM
dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara telah membuat kajian
terperinci ke atas enam undang-undang utama negeri-negeri
iaitu Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam, Undang-Undang
Keluarga Islam, Undang-Undang Kesalahan Syariah,
Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah, Undang-Undang
Tatacara Jenayah Syariah dan Undang-Undang Tatacara Mahkamah
Syariah.
Beberapa siri
pertemuan telah diadakan antara Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Peguam Negara, Ketua Pengarah JAKIM dan Pengarah
Bahagian Undang-Undang JAKIM dengan D.Y.M.M. Sultan Azlan
Shah (selaku Penasihat Undang-Undang Majlis Raja-Raja) bagi
membincangkan cadangan penyelarasan dan penyeragaman
undang-undang tersebut. Kini cadangan rang undang-undang
tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk
kelulusan sebelum dikemukakan kepada Mesyuarat Majlis
Raja-Raja.
Demikianlah
kegigihan kerajaan dalam menyelaras dan menyeragamkan
undang-undang Islam di Malaysia melalui pendekatan yang
bijak dan hikmah iaitu cara rundingan dan perkenan daripada
D.Y.M.M. Sultan-Sultan dan Raja-Raja selaku Ketua Agama
Islam Negeri masing-masing. Semoga usaha dan cita-cita murni
kerajaan dalam mengukuhkan Institusi Kehakiman dan
Perundangan Islam di negara ini berjalan dalam keadaan
lancar dan harmoni.
Pemurnian
Akidah
Sebagaimana
yang telah diakui bahawa kesucian akidah umat Islam di
Malaysia terpelihara di bawah Perlembagaan Persekutuan iaitu
di bawah Perkara 11(4) yang melarang sebarang dakyah agama
lain kepada umat Islam. Menyedari bahawa banyak
faktor-faktor lain yang boleh menggugat kesucian akidah
orang-orang Islam maka kerajaan telah menyusun pelbagai
program yang berupa penjelasan, penerangan, kursus dan
perbincangan khusus berkenaan perkara-perkara yang dapat
memantapkan iman dan menguatkan keyakinan umat Islam.
Mereka yang
baru memeluk Islam diberi kursus-kursus kefahaman dan
penghayatan secara bersiri dan berjadual. Demikian juga
kerajaan telah mengujudkan melalui JAKIM satu Unit Khas
berkenaan ajaran sesat bagi menangani gejala penyelewengan
akidah menerusi ajaran-ajaran salah dan sesat. Penubuhan
Panel Kajian Akidah di JAKIM yang dianggotai oleh pakar
akademik dan tokoh Islam banyak membantu JAKIM menangani
masalah ini.
Jabatan/Majlis
Agama Islam Negeri-negeri juga mewajibkan kepada mana-mana
individu yang ingin mengajar atau berceramah berkenaan agama
Islam mendapatkan Sijil Tauliah Mengajar Agama dari pihak
Jabatan/Majlis. Ini adalah langkah bijak bagi mengawal
sebarang anasir-anasir atau pengaruh ajaran sesat daripada
merebak. Mengajar agama tanpa tauliah adalah satu kesalahan
di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.
Dalam pada
itu, Jawatankausa Fatwa Kebangsaan tidak pernah teragak-agak
mengeluarkan fatwa tentang penyelewengan satu-satu ajaran
sesat sebaik sahaja dikenalpasti. Sehingga kini, JAKIM
sentiasa menganjurkan kursus-kursus pemurnian akidah kepada
bekas-bekas kumpulan ajaran sesat bagi tujuan memulihkan
mereka kembali ke ajaran Islam yang sebenar. Kemuncaknya
kerajaan telah membina Pusat Pemulihan Akidah di Jelebu,
Negeri Sembilan yang menelan belanja RM5 juta. Ia berperanan
menyusun program-program yang dapat menjelaskan segala
kekeliruan dan salah faham di kalangan pengamal dan penganut
ajaran sesat agar kembali ke ajaran Islam yang suci dan
lurus.
Pada masa
yang sama juga, JAKIM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN)
selama ini telah bekerjasama dalam menapis dan mengharamkan
buku-buku yang mengandungi unsur-unsur penghinaan dan
penyelewengan akidah umat Islam. Kini JAKIM sedang
menyiapkan peringkat akhir draf Undang-Undang Pemulihan
Akidah iaitu undang-undang khusus bagi membendung masalah
pertukaran agama di kalangan masyarakat Islam.
Apa yang
penting, kerajaan tidak pernah bersikap sambil lewa dalam
hal-hal yang berkaitan dengan akidah umat Islam. Segala
pendekatan dan saluran digunakan secara bersepadu dan
terancang bermula dari pendidikan hinggalah ke
penguatkuasaan undang-undang semata-mata untuk melihat
akidah umat Islam terpelihara di bumi Malaysia.
Sistem
Perbankan Islam
Bagi membuka
jalan untuk penubuhan bank Islam di Malaysia, kerajaan telah
meluluskan Akta Bank Islam 1983 yang menggariskan
peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh bank Islam
dalam operasinya di Malaysia dan kuasa-kuasa Bank Negara
Malaysia dalam menyelia dan mengawal bank Islam. Dalam tahun
yang sama juga kerajaan telah meluluskan Akta Pelaburan
Kerajaan 1983 yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk
mengeluarkan sijil pelaburan berdasarkan prinsip syariah.
Bank Islam
pertama beroperasi di Malaysia ialah Bank Islam Malaysia
Berhad pada 1 Mac, 1983 yang menawarkan perkhidmatan sama
seperti bank-bank konvensional cuma ia berdasarkan
prinsip-prinsip syariah. Selain itu, ia juga mempunyai
anak-anak syarikat yang menjalankan operasi berdasarkan
prinsip syariah iaitu Syarikat Al-Ijarah Sdn. Bhd. yang
menjalankan pemajakan harta tetap, Syarikat Nominees Sdn.
Bhd. yang memberi perkhidmatan nomini dan Syarikat Takaful
Malaysia Sdn. Bhd. yang memberi perlindungan insurans am dan
insurans keluarga.
Kerajaan
menerusi Bank Negara Malaysia juga mempunyai objektif jangka
panjang iaitu ingin mewujudkan Sistem Perbankan Islam
seiring dengan sistem bank konvensional. Ini dapat dicapai
dengan tiga adunan utama iaitu pertama, sistem ini mempunyai
ahli yang cukup, kedua, perkhidmatan dan produknya
merangkumi keseluruhan sistem bank dan ketiga, perlu
diwujudkan pasaran antara-bank yang operasinya mengikut
prinsip syariah.
Sejajar
dengan objektif itu, pada awal tahun 1993 sebanyak 21 produk
bank Islam telah berjaya diwujudkan antaranya al-Wadiah,
al-Mudharabah, al-Musyarakah, al-Murabahah, al-Bai bithaman
ajil, Bai’ul-salam, al-Ijarah, al-Bai al-ta’jiri,
al-Wakalah, al-Rahn, al-Qardhul hassan dan al-Kafalah.Pada
4 Mac, 1994 Bank Negara Malaysia telah melancarkan Skim
Perbankan Tanpa Faedah (SPTF) di mana institusi kewangan
yang ada dibenarkan dan digalakkan untuk menawarkan
perkhidmatan berasaskan prinsip syariah. Lantas pada
penghujung tahun 1993, Sistem Perbankan Islam di Malaysia
telah mengandungi sebuah bank Islam dan 20 buah institusi
kewangan konvensional terdiri dari 10 buah bank perdagangan,
8 buah syarikat kewangan dan 2 buah bank saudagar yang
menawarkan perkhidmatan dan produk berdasarkan prinsip
Islam. Selain itu, pada 3 Januari, 1994 pasaran wang
antara-bank secara Islam telah dilaksanakan. Sesungguhnya
tanpa kesungguhan dan sokongan yang padu dari pihak
kerajaan, Sistem Perbankan Islam di Malaysia tidak akan maju
sejauh ini.
Dasar
Penerapan Nilai-Nilai Islam
Dasar
Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran yang
diperkenalkan pada tahun 1985 adalah sebahagian daripada
pelbagai usaha kerajaan untuk memasukkan unsur-unsur Islam
dalam pentadbiran dan kehidupan rakyat Malaysia. Dasar ini
bermaksud membimbing dan membentuk akhlak yang berfaedah
dalam kehidupan setiap rakyat ke arah ketinggian maruah di
samping menanam nilai-nilai murni ke dalam sistem
pentadbiran negara.
Rasional
pentadbiran dipilih sebagai komponen utama dasar ini ialah
bagi melicinkan pelaksanaan sesuatu dasar dan atas kesedaran
bahawa kejayaan rancangan-rancangan kerajaan banyak
bergantung kepada penjawat-penjawat perkhidmatan awam.
Penghayatan kepada nilai-nilai Islam akan dapat menjamin
kelancaran dan kecekapan jentera kerajaan serta menghindar
perbuatan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
Nilai-nilai tersebut iaitu amanah, bertanggungjawab, ikhlas,
dedikasi, sederhana, tekun, bersih, berdisiplin,
bekerjasama, berbudi mulia dan bersyukur yang berjumlah
sebelas kesemuanya adalah nilai-nilai Islam yang dipilih
memandangkan ia merupakan kunci kejayaan pentadbiran
sesebuah negara.
Penubuhan
Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang mula beroperasi pada 1
Oktober, 1967 mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam
memelihara dan mengawasi sistem nilai masyarakat. Institusi
yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan khusus untuk
mencegah perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa diberi
kuasa utama di bawah undang-undang iaitu Akta Pencegahan
Rasuah 1997, Akta Pencegah Rasuah 1961 (Disemak 1971),
Ordinan No.22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Dharurat 1970, Akta Badan
Pencegah Rasuah 1982, Kanun Keseksaan (F.M.S. Cap 45), Kanun
Prosedur Jenayah (F.M.S. Cap 6), Akta Polis 1967 dan Akta
Kastam 1967. Besarnya peranan BPR yang diberi mandat oleh
kerajaan dalam memastikan kepentingan awam agar tetap
terpelihara, dikuatkan lagi dengan Ketua Pengarahnya adalah
dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong
iaitu di bawah seksyen 3(2) Akta Badan Pencegah Rasuah.
Bagi
memelihara sistem nilai masyarakat juga, kerajaan telah
menubuhkan Lembaga Penapisan Filem (LPF) di bawah seksyen 3
Akta Filem (Penapisan) 1952 (disemak tahun 1971). Anggota
LPF yang terdiri dari seorang Pengerusi, seorang Timbalan
Pengerusi dan 63 orang ahli di mana semuanya dilantik oleh
Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong adalah berperanan
melindungi masyarakat daripada sebarang pengaruh buruk dan
unsur-unsur negatif menerusi filem.
Sungguhpun
penubuhan badan-badan seperti ini oleh kerajaan dibuat tanpa
sebarang label ‘Islam’ namun kewujudan dan peranan yang
dimainkan adalah lahir dari sistem nilai masyarakat Malaysia
yang berteraskan Islam.
Pembangunan
Masjid
Masjid ialah
tempat umat Islam mengerjakan solat wajib lima waktu secara
berjamaah di samping menjadi tempat beramal. Masjid juga
menjadi tumpuan umat Islam menjalankan pelbagai aktiviti
yang berhubung kait dengan kepentingan dan kemajuan
masyarakat Islam. Pentingnya peranan masjid ini, menjadikan
masjid lebih terhormat daripada bangunan lain di bumi Allah
ini. Masjid adalah ‘Rumah Allah’ yang menjadi milik
semua orang Islam dan lambang agama Islam yang suci.
Menyedari
akan hakikat inilah maka kerajaan telah berusaha sedaya
upaya memberi peruntukan yang besar bagi memakmur dan
mengimarahkan institusi masjid di Malaysia. Hasilnya
masjid-masjid di negara ini adalah jauh lebih baik
berbanding keadaan masjid sebelum merdeka apatah lagi di
sekitar Dunia Melayu-Nusantara dari segi pembinaan, fizikal
dan pengimarahan.
Terbinanya
Masjid Negara pada 27 Ogos, 1965 merupakan langkah pertama
kerajaan membangunkan institusi masjid dengan menjadikannya
sebagai contoh bagi pentadbiran, pengurusan dan pengimarahan
masjid seluruh Malaysia. Menerusi Program Takmir Masjid,
kerajaan membelanja lebih RM5 juta setiap tahun bagi
membantu kerajaan negeri mengadakan kelas-kelas agama dan
kuliah-kuliah pengajian bagi menyediakan peluang kepada umat
Islam mendalami ilmu dan menghayati ajaran Islam. Ini adalah
ekoran kejayaan Rancangan Takmir Masjid Dan Surau yang mula
diadakan pada tahun 1986. Ditambah dengan peruntukan dan
aktiviti anjuran Jabatan/Majlis Agama Islam negeri-negeri
maka umat Islam di negara ini di segenap peringkat tidak ada
alasan untuk tidak berpeluang mempelajari dan mendalami ilmu
agama.
Usaha yang
berterusan tanpa jemu dalam meningkatkan mutu pentadbiran
dan pengurusan masjid dijayakan lagi dengan adanya
Pertandingan Masjid Contoh, Masjid Terbaik, Lanskap Masjid
Terbaik dan sebagainya. Peruntukan dan bantuan kerajaan
sentiasa disediakan pada setiap tahun bagi membina masjid,
surau dan ruang solat. Sehingga kini hampir di semua premis
kerajaan dan swasta, sekolah-sekolah, perhentian bas, rumah
rehat, hotel, lebuhraya, lapangan terbang dan tempat-tempat
awam telah disediakan kemudahan menunaikan solat. Di samping
itu juga, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan taraf dan
kedudukan para imam dan kakitangan masjid.
Sememangnya
usaha pihak kerajaan dalam membangunkan institusi masjid
bahkan surau perlu disokong demi mengimarah dan memakmurkan
‘Rumah Allah’ tempat menunaikan solat iaitu tiang kepada
agama Islam.
Pendidikan
Islam
Dalam
perkembangan awal Islam di Malaysia (negeri-negeri Tanah
Melayu) dan daerah Nusantara, Islam disebar melalui usaha
pedagang-pedagang dari negara Arab, India dan China yang
tentunya dipengaruhi pelbagai mazhab, budaya dan
pengaruh-pengaruh luar. Islam diajar di istana-istana
kemudian di masjid dan seterusnya di sekolah-sekolah pondok.
Kini mata pelajaran agama Islam diajar secara bersepadu dan
seragam di semua peringkat bermula dari sekolah rendah
hinggalah ke maktab dan universiti.
Laporan
Jawatankuasa Kabinet 1979 telah banyak memperakukan supaya
taraf pendidikan Islam diperluas dan dipertingkatkan. Pada
tahun-tahun 80an, kita dapati pendidikan Islam telah
dijadikan dasar dan tunjang dalam penggubalan Kurikulum Baru
Sekolah Rendah (KBSR) dan juga Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah (KBSM). Sekolah-sekolah Menengah Kebangsaan Agama
(SMKA) telah mencapai angka 40 buah. Kelas-kelas aliran
agama telah dibuka di lebih 200 buah sekolah Menengah
Kebangsaan. Universiti Islam telah diwujudkan dan pendidikan
Islam diajar di semua Pusat Pengajian Tinggi dan
Maktab-Maktab Perguruan.
Kewujudan
sekolah berasrama penuh bantuan kerajaan seperti Kolej Islam
Sultan Alam Shah dirancakkan lagi dengan lahirnya
kolej-kolej dan Pusat–Pusat Pengajian Tinggi Islam milik
kerajaan negeri dan swasta seperti Kolej Agama Sultan Zainal
Abidin (KUSZA) pada 1980, Kolej Islam Melaka (KIM) pada
1994, Kolej Islam Darul Ehsan (KISDAR) ada 1996, Kolej
Universiti Teknologi Islam (UNITI) pada 1997 dan Jamiah
Islamiah Sultan Ismail Petra (JAIPETRA) juga pada 1997.
Universiti
Islam Antarabangsa (UIA) yang ditubuhkan pada 1983 merupakan
mercu pendidikan Islam di Malaysia. Pusat Pengajian Tinggi
Islam ini mengadunkan pelbagai disiplin ilmu dengan
kemantapan iman dan kefahaman Islam yang jelas, luas dan
dinamik. Graduannya yang datang dari 73 buah negara
melambangkan betapa mutu pendidikan dan kualiti tenaga
pengajarnya diterima dan diiktiraf oleh masyarakat
antarabangsa.
Usaha
kerajaan Malaysia untuk menjadikan Malaysia satu pusat
destinasi pendidikan tinggi bertaraf dunia dijayakan lagi
dengan tertubuhnya Institut Antarabangsa Pemikiran Dan
Tamadun Islam (ISTAC) pada tahun 1987. Dengan terdirinya
ISTAC maka kehendak pengkaji dan penuntut untuk mendalami
ilmu-ilmu Islam di peringkat tinggi setanding dengan
institusi seumpamanya di luar negara telah tercapai.
Tenaga-tenaga akademik ISTAC yang sering membentangkan
kertas-kertas kerja di banyak tempat di serata dunia secara
langsung menaikkan nama negara. Pendek kata, pendidikan
Islam di Malaysia telah berada di puncak kecemerlangannya.
Pengurusan
Zakat
Zakat yang
merupakan rukun Islam yang keempat tidak pernah diabaikan
oleh kerajaan dalam merancang sistem pungutan, pengurusan
dan pengagihan dengan lebih cekap dan sistematik. Ini kerana
zakat adalah antara sumber atau dana utama bagi Baitulmal
dalam menjalankan pelbagai
program dan
mendirikan pusat-pusat sosial, kebajikan dan pendidikan
khusus untuk menolong masyarakat Islam di samping
mengagihkan kutipan zakat kepada lapan asnaf (golongan) yang
telah ditetapkan oleh syarak.
Maka dengan
itu, pada 1 Januari, 1991 Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Kuala
Lumpur telah ditubuhkan bagi mengutip semua jenis zakat
terutama zakat harta, zakat perniagaan, zakat saham dan juga
zakat simpanan dan emas. PPZ telah menjadi satu contoh
organisasi kutipan zakat di Malasyia kerana kecekapan dan
keberkesanannya meningkatkan kutipan zakat dari setahun ke
setahun dan banyak menolong meningkatkan kesedaran
masyarakat Islam untuk berzakat. PPZ juga adalah organisasi
zakat yang pertama di dunia menggunakan komputer dalam
menjalankan urusan hariannya dan mempunyai tenaga yang
terlatih menjalankan tugas secara profesional dan
sistematik.
Lembaga
Tabung Haji
Malaysia
merupakan negara pertama di dunia Islam yang mengujudkan
sistem pengurusan ibadat haji untuk rakyatnya secara aktif
dan sistematik. Lembaga Tabung Haji (dulu dikenali sebagai
Lembaga Urusan Dan Tabung Haji) telah ditubuhkan pada 1
November, 1962 dan mula beroperasi pada 1 April, 1963.
Penubuhannya selepas 5 tahun kemerdekaan menunjukkan
keperihatinan yang tinggi pihak kerajaan dalam membantu
rakyatnya beragama Islam menunaikan ibadat haji iaitu rukun
Islam yang kelima.
Apa yang
lebih menariknya, Lembaga Tabung Haji (LTH) bukan setakat
memberi perkhidmatan dan kemudahan menunaikan ibadat haji
kepada para pendepositnya yang kini seramai 3.5 juta dengan
simpanan lebih RM6 bilion, malahan menceburkan diri dalam
bidang pelaburan dan perniagaan. Kini LTH merupakan satu
institusi permodalan dan perkhidmatan gergasi yang memiliki
aset bernilai berbillion ringgit dalam pelbagai sektor
seperti perniagaan, perusahaan, pendidikan, pelaburan dan
perkhidmatan.
Kesungguhan
kerajaan dalam memantapkan organisasi LTH, merancakkan
operasinya serta menggandakan tabungan dan simpanan umat
Islam ditingkatkan lagi dengan berkuatkuasanya Akta Lembanga
Tabung Haji 1995 pada 1 Jun 1995. Beberapa akta baru
diubahsuai dari akta yang lama iaitu Akta Lembaga Urusan Dan
Tabung Haji 1969 di mana LTH dapat memantapkan sistem
pengurusannya dengan penstrukturan baru di samping
mempertingkatkan pembangunan sumber manusia, memperluaskan
bidang pelaburan, memaksimumkan pulangan dan keuntungan dari
pelbagai aset tanaman modal dan peningkatan mutu
perkhidmatan dan kemudahan.
Kunjungan
pemimpin-pemimpin negara dari Dunia Islam yang memuji serta
ingin mempelajari selok belok operasi dan pengurusan haji di
Malaysia telah meletakkan negara ini di mercu kecemerlangan
pembangunan dan kemajuan Islam khasnya memberi perkhidmatan
berkualiti kepada para tetamu Allah, menaikkan ekonomi umat
Islam dan memenuhi tuntutan fardu kifayah umat Islam di
Malaysia.
Program
Dakwah Islamiah
Atas
kesedaran bahawa tugas manusia diutuskan ke muka bumi ini
ialah untuk menyampaikan risalah Islam sebagaimana yang
telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. maka kerajaan
dengan penuh kesungguhan telah menggerakkan seluruh jentera
kerajaan, mempelbagaikan aktiviti dan program serta
menubuhkan badan-badan dakwah khusus menjalankan tugas-tugas
dakwah dan memastikan risalah Islam ini sampai kepada semua
masyarakat Malaysia sama ada yang beragama Islam atau bukan
beragama Islam. Kerajaan amat mengambil berat tentang mesej
dan kefahaman Islam yang sebenar iaitu Islam sebagai Ad-Din
iaitu satu cara hidup, sederhana, mudah, toleransi, harmoni
dan kesejahteraan.
Dalam
menjayakan hasrat yang suci lagi murni ini dan meneruskan
tugas para nabi-nabi dan rasul-rasul, kerajaan menyedia
peruntukan yang besar kepada JAKIM bagi tugas-tugas
tersebut. Di samping itu, kerajaan sentiasa memberi
kerjasama dan komitmen yang tinggi kepada badan-badan bukan
kerajaan (NGO) dalam menjalankan program dakwah dengan
memberi sokongan dalam pelbagai bentuk sama ada material,
kewangan, nasihat, kepakaran dan sebagainya. Badan-badan
bukan kerajaan seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
(YADIM), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM),
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Badan Dakwah Islamiah
Bagi Kawasan Asia Tenggara Dan Pasifik (RISEAP) dan
sebagainya sentiasa diberi sokongan dan berganding bahu
dalam tugas-tugas dakwah.
Bagi
masyarakat orang asli, JAKIM sentiasa bekerjasama dengan
Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia serta badan-badan
sukarela menjalankan program dakwah sama ada secara lisan
atau kerja-kerja kebajikan. JAKIM menerusi Penggerak
Masyarakat Orang Asli berusaha sedaya upaya menunjukkan
contoh keperibadian muslim dan cara hidup menurut Islam di
kalangan mereka.
Bagi
memantapkan lagi usaha penjelasan dan kefahaman Islam ini
maka Kerajaan telah menubuhkan Institut Kefahaman Islam
Malaysia (IKIM) pada 3 Julai 1992 khusus untuk
memperbetulkan sebarang salah faham terhadap Islam dan
mengetengahkan konsep dan prinsip Islam yang universal dalam
berhadapan cabaran masa kini.
Di samping
itu, JAKIM selaku nadi program dakwah kerajaan, telah
menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan dakwah
seperti media elektronik dan media cetak. Pelbagai program
berbentuk keagamaan dan bimbingan disiarkan menerusi saluran
radio dan televisyen. Begitu juga pelbagai bahan bercetak
diterbitkan sama ada berbentuk jualan atau percuma dalam
pelbagai bahasa dan untuk pelbagai golongan. Program-program
ceramah seperti Forum Perdana Hal Ehwal Islam juga
diperluaskan dengan lebih tersusun, terancang dan berkesan.
Usaha dakwah yang bersungguh-sungguh dan berterusan ini kini
jelas membawa perubahan kepada masyarakat Islam sehingga
timbul kesedaran betapa perlunya kembali kepada ajaran Islam
yang sebenar serta menghayati cara hidup yang berteraskan
Islam.
Pengukuhan
Institusi Keluarga
Keluarga
merupakan agen pembangunan kepada sesebuah masyarakat dan
negara. Kukuh dan utuhnya institusi keluarga maka kuat dan
majulah masyarakat dan negara. Berasaskan peri pentingnya
pembinaan dan pengukuhan institusi kekeluargaan bagi
mewujudkan kebahagian dan keharmonian rumahtangga yang
merangkumi aspek rohani dan jasmani bagi menghadapi cabaran
zaman dan sesuai dengan Wawasan 2020 maka pada 1 Julai 1992
kerajaan telah melancarkan Program Rumahku Syurgaku. Program
jangka panjang ini bermatlamat melahirkan satu bangsa
Malaysia yang bukan sekadar maju dari segi pembangunan
fizikal tetapi memilki sifat-sifat unggul, murni dan
nilai-nilai terpuji.
Al-Quran
menggambarkan bahawa syurga itu merupakan tempat yang penuh
kenikmatan dan keselesaan di mana penghuninya tidak merasa
jemu dan bosan berada di dalamnya. Gambaran yang seumpama
inilah yang mahu kita hayati dalam kehidupan berumahtangga
di kalangan masyarakat Islam negara ini. Dengan mengambil
kira institusi keluarga memainkan peranan penting bagi
mencapai matlamat Wawasan 2020 maka sebab itulah kerajaan
menjadikan rumah sebagai tempat bermula segala-galanya.
Memandangkan
kebahagiaan rumahtangga bermula dari pemilihan pasangan yang
beriman dan bertaqwa maka pada tahun 1996 kerajaan telah
melancarkan Modul Bersepadu Kursus Pra-Perkahwinan Islam.
Modul yang dirangka dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan
dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri adalah bertujuan
mewajibkan pasangan Islam yang ingin berkahwin mengikuti
kursus bagi mendalami asas-asas ajaran Islam dan
tanggungjawab selaku suami isteri. Usaha seperti ini
diharapkan dapat mengurangkan pergolakan rumahtangga dan
mengelakkan perceraian yang banyak berpunca dari kurang
mendalami ilmu agama.
Penghayatan
Al-Quran
Al-Quran yang
merupakan kalam Allah dan mukjizat Rasulullah s.a.w. yang
masih wujud sehingga kini sememangnya mengandungi
ajaran-ajaran dan perintah-perintah Allah s.w.t. yang mampu
membawa kepada kemurnian peribadi Islam dan kecemerlangan
hidup masyarakat Islam di dunia dan di akhirat. Berteraskan
betapa penghayatan al-Quran perlu ditanam di dalam diri
sanubari umat Islam maka kerajaan menerusi JAKIM telah
melancarkan Kelas Al-Quran Dan Fardu Ain (KAFA) pada tahun
1990 dengan peruntukan RM77 juta setiap tahun. Program
pendidikan celik al-Quran dan fardu ain ini ditanamkan ke
dalam jiwa generasi umat Islam yang berusia 7 hingga 12
tahun. Sehingga kini sebanyak 29,358 buah kelas KAFA berjaya
didirikan dengan tenaga pengajar juga seramai 29,358 orang
dan bilangan murid-muridnya kini meningkat kepada 998,172
orang. Permintaan penubuhan sekolah baru dan kemasukan
pelajar semakin meningkat dari semasa ke semasa. Ini
menggambarkan betapa kesedaran dan penghayatan masyarakat
terhadap cintakan al-Quran telah semakin bertambah dan
mantap hasil dari program KAFA ini.
Bagi
menyempurnakan penghayatan Al-Quran ke dalam masyarakat,
Kerajaan telah menubuhkan Darul Quran di Kuala Kubu Bharu,
Selangor Darul Ehsan bagi melahirkan para hafiz dari
kalangan lelaki dan wanita. Objektif jangka panjang kerajaan
dengan terbinanya Darul Quran yang bernilai RM26 juta ini
adalah untuk membekalkan para hafiz sebagai imam-imam masjid
di seluruh negara. Apa yang lebih menariknya ialah institusi
pengajian tinggi dalam bidang tahfiz al-Quran ini menerusi
Diploma Tahfiz Al-Quran telah berjaya menyatupadukan semua
maahad dan madrasah tahfiz al-Quran sama ada milik kerajaan
negeri atau swasta di seluruh Malaysia khususnya dari segi
kurikulum dan tempoh pengajian.
Kemuncak
usaha penghayatan al-Quran oleh Kerajaan ialah dengan
menganjurkan Musabaqah Tilawah Al-Quran dan Menghafaz
Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan juga Peringkat
Antarabangsa. Penyertaan peserta dari negara-negara asing
yang semakin bertambah dari tahun ke tahun menunjukkan
sambutan yang menggalakkan dari masyarakat antarabangsa dan
betapa Malaysia mendapat pengiktirafan dan penghormatan
tertinggi di persada antarabangsa. Apa yang lebih penting
ialah perjalanan proses pemilihan qari dan qariah di
Malaysia yang melalui peringkat kampung, mukim, daerah,
negeri seterusnya kebangsaan sudah pasti disertai oleh
ratusan qari dan qariah yang baik bacaan dan kefasihannya.
Proses yang memakan masa berbulan-bulan ini sebenarnya telah
memenuhkan ruang langit negara Malaysia dengan kemerduan
bacaan ayat-ayat al-Quran. Begitu juga buminya dibasahi dan
disirami dengan ayat-ayat suci al-Quran. Suasana seperti ini
sebenarnya mendekatkan negara kita dengan keberkatan
daripada Allah s.w.t. lantaran menyuburkan ruang angkasa dan
bumi permainya dengan mukjizat al-Quran.
Syiar Islam
Sejak
merdeka, usaha meninggikan syiar Islam telah dilaksanakan
dengan gigih yang bertujuan selain untuk meningkatkan
kesedaran keIslaman kepada masyarakat dan generasi muda
Islam, ia juga untuk memperlihatkan kepada masyarakat bukan
Islam di dalam dan luar negara tentang ketinggian dan
kemuliaan Islam dari segi keagamaan, perpaduan, keindahan,
kegemilangan sejarahnya dan pengaruhnya di gugusan Nusantara
dan antarabangsa.
Dalam
memelihara dan menonjolkan kesenian Islam dan tamadun
kegemilangan umat Islam terdahulu, kerajaan dengan usahasama
pihak swasta sedang mendirikan Muzium Kesenian Islam yang
bernilai RM50 juta. Muzium yang bakal mengumpulkan barangan
berkesenian Islam dari seluruh pelosok dunia adalah
merupakan yang pertama seumpamanya dibina di rantau ini.
Projek ini adalah salah satu usaha kerajaan menyebarkan ilmu
dan maklumat berkaitan Islam secara meluas dan berterusan
melalui kesenian Islam. Selain menyimpan artifak-artifak dan
barangan kesenian Islam, ia juga berperanan memelihara dan
membaik pulih serta sebagai pendidik kesenian dan seni bina
Islam kepada generasi Islam alaf baru.
Pelbagai
acara sambutan dan perayaan telah diadakan setiap tahun
seperti Majlis Sambutan Ma’al Hijrah, Majlis Sambutan
Maulidur Rasul, Nuzul Al-Quran, Israk Mikraj, Pertandingan
Nasyid, Pertandingan Marhaban, Musabaqah Tilawah Al-Quran,
Pertandingan Menghafaz Al-Quran, Pesta Lagu-Lagu Dakwah dan
sebagainya sama ada di peringkat kebangsaan mahupun
antarabangsa. Program-program yang mencetuskan kesedaran dan
keagungan kepada agama Islam yang seumpama ini sangat
penting terutama bagi perjuangan ummah memartabatkan Islam
di muka bumi ini.
Kerajaan
percaya program dan aktiviti seperti ini adalah unsur
pendidikan tidak formal yang sangat penting bagi menimbulkan
rasa cinta kepada Allah, kasihkan Rasulullah s.a.w. dan
semangat untuk mematuhi ajaran-ajaran Islam yang terkandung
di dalam al-Quran dan Sunnah. Kerajaan sememangnya mengakui
bahawa perjuangan membangunkan ummah tidak boleh bergantung
kepada suatu program tertentu sahaja dan mengharapkan
kejayaan dalam tempoh yang cepat dan pendek malahan proses
pembangunan
ummah yang
teguh dan kuat memerlukan kerja-kerja yang berterusan dan
bersepadu di samping menggunakan dan memanfaatkan segala
saluran dan alternatif yang ada.
PENUTUP
Sebenarnya
selama ini terlalu banyak usaha-usaha kerajaan yang telah
dibuat dan disokong bagi membawa pembangunan kepada umat
Islam di Malaysia seperti penubuhan Institut Latihan Islam
Malaysia (ILIM), Pusat-pusat Rawatan Islam, Kolej
Kejururawatan Islam, Perpustakaan Awam Islam, Sijil
Pengesahan Halal, Darul Sa’adah, Yayasan-Yayasan
Pembangunan Ekonomi Islam, Biro Bantuan Guaman, Sistem
Maklumat Perkahwinan Islam (SIMPI) dan sebagainya.
Sesungguhnya
masa depan Islam di Malaysia sudah menampakkan cahaya
kecemerlangannya. Rata-rata umat Islam negara ini merasa
terjamin dan berganding bahu dalam meneruskan usaha-usaha
pembangunan dan kemajuan Islam yang sedang rancak
dilaksanakan. Perancangan dan pembangunan Islam mesti
diteruskan dan disambung perjuangannya oleh generasi akan
datang. Kita yakin generasi muda umat ini yang telah kita
bekalkan dengan persediaan jasmani dan rohani yang cukup
mampu memartabatkan Islam di bumi Allah ini. Oleh itu,
sokongan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi terhadap
usaha-usaha kerajaan ini perlulah wujud di kalangan rakyat
dan pemimpin negara. Sesungguhnya pembangunan dan kemajuan
umat tidak akan tercapai tanpa perpaduan yang utuh di
kalangan umat Islam.
|