|
ILMU FARDHU
AIN DAN FARDHU KIFAYAH.
Kifayah
dari segi bahasa bermaksud “mencukupi” dan
“memadai”. Dari segi istilah ia membawa maksud kewajipan
yang difardhukan ke atas seluruh umat Islam dengan tujuan
untuk menegakkan agama Islam seperti menuntut ilmu al-Quran,
ilmu Hadith, menyempurnakan jenazah dan mengajak kepada amar
ma’ruf nahi mungkar.
Imam
an-Nawawi pula menyatakan bahawa perlaksanaan fardhu kifayah
itu dituntut atau dikenakan ke atas semua orang Islam yang
mukallaf. Apabila seorang atau sebahagian umat Islam
melaksanakannya maka terlepaslah tanggungjawab itu dari
seluruh umat Islam.
Menurut Ibn
Khaldun manusia tidak dapat hidup sendirian sebaliknya
memerlukan kepada satu organisasi kemasyarakatan di mana
mereka dapat bekerjasama dalam menjalani kehidupan. Sebagai
contoh, manusia memerlukan makanan untuk hidup dan makanan
tersebut tidak dapat dihasilkan tanpa melalui beberapa
proses yang melibatkan pengemblengan tenaga kerja sesama
manusia dan alat-alat tertentu. Oleh yang demikian memiliki
kemahiran di dalam hal tersebut bagi memenuhi keperluan
masyarakat juga termasuk dalam tuntutan fardhu kifayah.
Pengetahuan
terhadap prinsip halal dan haram adalah wajib bagi setiap
Muslim kerana dengan itu dia akan mengetahui perkara yang
menjadi fardhu ain yang menjadi fardhu kifayah.
Fardhu ain
bermaksud perkara yang wajib bagi setiap orang Muslim dan ia
mencakupi dua perkara:
Pertama:
Mengetahui
kewajipan-kewajipan agama yang menjadikan akidah keimanan
dan fardhu-fardhu yang ditetapkan oleh Islam itu sah. Ia
berupa beriman kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya,
para Rasul-Nya, Hari Kiamat, dan ketentuan qadar yang baik
dan jahat. Begitu juga rukun-rukun dan fardhu-fardhu
sembahyang, zakat, puasa dan haji. Ini adalah apa yang
dinyatakan di dalam hadith Ibn ‘Umar yang disepakati
kesahihannya yang bermaksud:
“Dibina
Islam itu atas 5 perkara: Menyaksikan bahawa tiada Tuhan
yang disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad adalah pesuruh
Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa
pada bulan Ramadhan dan menunaikan fardhu haji bagi sesiapa
yang mampu melakukannya.”
Begitu juga
mesti mengetahui usul-usul muamalat yang perlu dan mesti
wujud di dalam kehidupan setiap orang Muslim untuk bertukar
ganti manfaat barangan, menyuburkan kehidupan bermasyarakat
dan menstabilkannya seperti halalnya jual beli, meminjam,
bersyarikat, ketentuan perwarisan, juga hukuman-hukuman yang
telah dinaskan terhadap jenayah seperti hukuman murtad,
membunuh, zina, qazaf, mencuri, hirabah dan hukuman meminum
arak.
Kedua:
Mengetahui perkara haram yang qat’i dan menafikan agama
seperti syirik kepada Allah, pengharaman menderhaka kepada
kedua-dua ibubapa, menipu, khianat, memakan harta dengan
batil, riba, merampas, menipu (putar belit), pengharaman
membunuh, zina, qazaf, mencuri, minum arak, pengharaman
mendedahkan aurat, wanita-wanita yang menjadi mahram di
dalam perkahwinan, pengharaman memakan bangkai, memakan
daging babi dan binatang yang disembelih untuk selain Allah
kecuali bagi mereka yang terpaksa.
Fardhu
Kifayah ialah perkara yang apabila dilaksanakan oleh
sebahagian manusia, maka gugurlah kewajipan terhadap manusia
yang lain seperti mengetahui perkara secara terperinci
tentang sesuatu fardhu ain, hukum-hukum cabangnya dan
dalil-dalilnya daripada al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan qiyas
ataupun dalil-dalil lain yang mengikutinya, juga mengetahui
seluruh perkara yang diperlukan oleh umat yang mana mereka
tidak akan bangun tanpa kewujudannya.
Perkara ini
bukanlah sekadar perkara yang berkaitan dengan ilmu-ilmu
syariah dan perkara-perkara yang bersangkutan dengannya,
tetapi ia menjangkau kepada semua ilmu, kepakaran, pekerjaan
dan perindustrian.
Al-Imam
al-Ghazali telah menulis suatu bab tentang ilmu yang terpuji
dan ilmu yang keji, bahagian-bahagian dan hukum-hukum
kedua-duanya. Beliau menjelaskan apa yang fardhu ain dan apa
yang fardhu kifayah. Dinyatakan di dalam bab ini di bawah
tajuk “Penjelasan tentang ilmu fardhu kifayah”:
“Ketahuilah
bahawa fardhu itu tidak dapat dibezakan daripada yang
selainya melainkan dengan disebutkan bahagian-bahagian ilmu.
Ilmu apabila disandarkan kepada fardhu yang akan kita
bahagikan ini terbahagi kepada ilmu syariah dan ilmu yang
bukan syariah. Maksud saya terhadap ilmu syariah ialah ilmu
yang kita perolihi daripada para Nabi a.s. Ia tidak
dihasilkan oleh akal seperti ilmu perubatan dan juga tidak
diperolihi melalui pendengaran seperti ilmu bahasa.
Ilmu–ilmu yang bukan syariah terbahagi kepada ilmu yang
terpuji, ilmu yang dikeji dan kepada ilmu yang diharuskan.
Ilmu yang
jadi fardhu kifayah ialah semua ilmu yang diperlukan untuk
membangunkan urusan dunia seperti ilmu perubatan kerana ia
adalah suatu keperluan untuk mengekalkan kesihatan tubuh
badan manusia. Begitu juga dengan ilmu perakaunan kerana ia
adalah keperluan di dalam hubungan muamalat, pembahagian
wasiat, pewarisan dan sebagainya. Ilmu-ilmu seperti ini
sekiranya sesebuah negeri tidak memilikinya maka penduduk
negeri itu akan berada di dalam kesusahan. Apabila seorang
daripada mereka memilikinya, maka ia sudah memadai dan
jatuhlah kefardhuan daripada yang lain.
“Janganlah
merasa pelik daripada kata-kata kami bahawa ilmu perubatan
dan ilmu perakaunan adalah termasuk dalam fardhu kifayah.
Sesungguhnya ilmu tentang prinsip-prinsip perindustrian juga
adalah termasuk fardhu kifayah seperti ilmu perladangan,
tekstil dan pengurusan. Bahkan ilmu bekam dan menjahit juga
adalah ilmu fardhu kifayah. Sekiranya suatu negeri tidak
mempunyai tukang bekam, maka akan cepatlah kehancuran negeri
tersebut dan mereka akan menghadapi kesusahan kerana mereka
akan berhadapan dengan kehancuran. Sesungguhnya Tuhan yang
menurunkan penyakit juga telah menurunkan ubatnya,
menunjukkan cara penggunaan ubat tersebut dan menyediakan
jalan-jalan untuk memperolihi ubat tersebut. Oleh itu tidak
boleh menyerahkan diri kepada kerosakan dengan mengaibkan
ilmu tersebut.”
“Manakala
ilmu yang dianggap sebagai suatu kelebihan dan bukan
kefarduhan adalah seperti mendalami perkara-perkara yang
amat halus lagi rumit tentang ilmu matematik,
hakikat-hakikat perubatan dan sebagainya yang tidak terlalu
diperlukan. Tetapi ia memberi faedah untuk menambahkan
kekuatan daripada kadar yang diperlukan.
“Ilmu
yang dibenci ialah seperti ilmu sihir, ilmu hitam dan ilmu
guna-guna. Dan ilmu yang diharuskan ialah seperti ilmu-ilmu
syair yang berfaedah, ilmu-ilmu sejarah dan yang
seumpamanya.”
AYAT
AL-QURAN BERKAITAN FARDHU KIFAYAH
Kesatuan
Firman
Allah S.W.T.
Maksudnya:
“Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut
agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan),
maka Allah mengutuskan nabi-nabi sebagai pemberi khabar
gembira (kepada orang-orang beriman dengan balasan syurga),
dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan
balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi
itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan
yang) benar, untuk menjalankan hukum antara manusia tentang
apa yang mereka perselisihkan. Dan (sebenarnya) tidak ada
yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah
diberi kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata,
mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama
sendiri. Maka Allah memberi petunjuk kepada orang-orang yang
beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka
(yang derhaka itu), dengan izin-Nya. Dan Allah sentiasa
memberi pertunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang
dikehendaki-Nya jalan yang lurus-lurus (menurut
undang-undang peraturan-Nya)."
Perdamaian
Dan Peperangan
Firman
Allah S.W.T.:
Maksudnya:
“Mereka suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana
mereka telah menjadi kafir, maka (dengan yang demikian)
menjadilah kamu sama seperti mereka. Oleh itu janganlah kamu
mengambil (seorang pun) antara mereka menjadi teman rapat
kamu, sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk
rapat kamu, sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah
(untuk menegakkan Islam). Kemudian kalau mereka sengaja
berpaling ingkar, maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka
dimana sahaja kamu menemuinya; dan jangan sekali-kali kamu
mengambil (seorang pun) antara mereka menjadi teman rapat
atau penolong; Kecuali orang-orang yang pergi (meminta
perlindungan) kepada suatu kaum yang ada ikatan perjanjian
setia antara kamu dengan mereka, atau orang-orang yang
datang kepada kamu sedang hati mereka merasa berat hendak
memerangi kamu atau memerangi kaumnya. Dan jika Allah
menghendaki, nescaya Dia menjadikan mereka berkuasa melawan
kamu, kemudian tentulah mereka memerangi kamu. Dalam pada
itu,jika mereka membiarkan kamu (dengan tidak mengancam atau
mengganggu), serta mereka tidak memerangi kamu dan mereka
menawarkan perdamaian kepada kamu, maka Allah tidak
menjadikan bagi kamu jalan (yang membolehkan kamu memerangi
atau menawan) mereka.”
(Al-Nisa’ : 89-90)
Firman
Allah S.W.T.:
Maksudnya:
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada
perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya
serta bertakwallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Al-Anfal : 61)
Prinsip
Musyawarah
Firman
Allah S.W.T.
Maksudnya:
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari
Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap
lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu),
dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah
mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka
(terhadap kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan
pohonlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan
mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan)
itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah
bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah
kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang
bertawakal kepada-Nya.”
Firman
Allah S.W.T.:
Maksudnya:
“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang
yang menyahutkan dan menyambut perintah Tuhannya serta
mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka
dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka
pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri
kepadanya.”
(Al-Syura : 38)
Ekonomi
dan Perdagangan
Firman
Allah S.W.T.:
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan
(gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang
salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan
perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kamu,
dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri.
Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”
(Al-Nisa’ :29)
Firman
Allah S.W.T.:
Maksudnya:
“Orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat
berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang
dirasuk Syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan
(Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka
mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama
sahaja seperti riba”, padahal Allah telah menghalalkan
berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu
sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan)
dari Tuhannya lalu ia berhenti(dari mengambil riba), maka
apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu)
adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada
Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil
riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di
dalamnya.”
(Al-Baqarah : 275)
Firman
Allah S.W.T.:
Maksudnya:
“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam
timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima
sukatan (gantang-cupak) dari orang lain mereka mengambilnya
dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau
menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.”
(Al-Mutaffifin: 1-3)
Bantuan
Firman
Allah S.W.T.:
Maksudnya:
“Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia
amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? (antara
amal-amal itu bagi orang yang mampu) ialah: memerdekakan
hamba abdi; atau memberi makan pada hari kelaparan
kepada anak yatim dari kaum kerabat, atau kepada orang
miskin yang terlantar di atas tanah.”
(Al-Balad: 12-16)
Kepakaran
Firman
Allah S.W.T.:
Maksudnya:
"Dan kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai
Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang kami wahikan
kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada
Ahlu’dzDzikir” jika kamu tidak mengetahui."
(Al-Anbiya : 7)
Firman
Allah S.W.T.:
Maksudnya:
"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang
beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu,
hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di
antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu
mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam
agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar
berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka;
mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan
larangan Allah). "
(At-Taubah :122)
BEBERAPA
AMALAN FARDHU KIFAYAH DARI SEJARAH ISLAM
Pembinaan
Masjid Nabawi
Tindakan
pertama yang diambil oleh baginda Rasulullah s.a.w. sebaik
sahaja berhijrah ke Madinah al-Munawwarah ialah membina
masjid yang selain berfungsi sebagai pusat ibadat kepada
umat Islam, ia juga merupakan pusat pentadbiran, markas
ketenteraan, gedung ilmu pengetahuan, sumber bantuan dan
pertolongan, tempat perlindungan dan pusat kegiatan
masyarakat dan dakwah yang menghubungkan manusia dengan
manusia dan manusia dengan Allah.
Piagam
Madinah
Piagam ini
diadakan bagi mengatur kehidupan dan hubungan antara
komuniti-komuniti yang merupakan komponen-komponen
masyarakat majmuk di Madinah. Piagam ini merangkumi aspek
sosial, ekonomi, politik dan keamanan masyarakat majmuk pada
waktu itu dan dimartabatkan oleh para pemimpin dan pakar
ilmu politik Islam sebagai konstitusi atau undang-undang
dasar bagi negara Islam pertama yang didirikan oleh Nabi
Muhammad s.a.w. di Madinah.
Musyawarah
Musyawarah
merupakan satu mekanisme yang digunakan oleh Nabi Muhammad
s.a.w. di dalam mengambil sesuatu keputusan berkenaan
hal-hal bersangkutan kepentingan bersama umat Islam pada
masa itu. Musyawarah adalah penting bagi mengukur sejauh
mana anggota masyarakat dilibatkan di dalam urusan
kenegaraan. Rasulullah s.a.w. telah membudayakan amalan
bermusyawarah ini bersama-sama para sahabat. Contohnya
ketika menjelang pertempuran Badar, Rasulullah s.a.w. telah
memutuskan lokasi bagi pasukan Islam iaitu suatu tempat
berdekatan mata air. Kemudian datang seorang Ansar bernama
Hubab bin Mudhir mengadap baginda s.a.w. sendiri lalu
bertanya tentang keputusan baginda s.a.w. itu sama ada
keputusan tersebut atas petunjuk Allah yang tidak dapat
diubah lagi atau keputusan baginda s.a.w. sendiri yang
diambil dari pemikiran strategi perang biasa. Nabi s.a.w.
menjawab bahawa keputusan itu adalah semata-mata perhitungan
peribadi baginda s.a.w. dan tidak atas petunjuk Allah S.W.T.
“ Kalau demikian halnya,” kata Hubab, “ Wahai
Rasulullah, tempat ini kurang tapat. Sebaik-baiknya kita
maju sedikit ke mata air yang paling depan. Kita bawa bekas
untuk mengisi air, kemudian kita tutup mata air itu dengan
pasir. Sekiranya kita terpaksa berundur, kita masih dapat
minum, sedangkan musuh tidak”. Nabi s.a.w. menerima baik
saranan hubab itu lalu pasukan Islam berpindah ke lokasi
yang dicadangkan oleh Hubab.
Sistem
Rondaan
Selepas
penghijrahan, Rasulullah s.a.w. mula menghantar
pasukan-pasukan tentera peninjau untuk membuat rondaan di
kawasan sekitar Madinah. Tujuan menghantar
pasukan-pasukan rondaan ini adalah untuk menjaga
sempadan-sempadan Negara Madinah, mengawasi pergerakan musuh
dan menunjukkan kepada pihak Quraisy dan lain-lain pihak
bahawa kini telah wujud sebuah kerajaan yang teratur dan
Madinah sebagai ibukotanya. Rondaan ini juga dibuat untuk
memberikan pengalaman tentang kegiatan-kegiatan tentera
secara tersusun, bergerak seperti jentera di bawah arahan
pemerintah pusat, mempelajari taktik-taktik ketenteraan dan
menguasai keupayaan melaksanakan tugas-tugas seperti yang
diperintahkan sekalipun dalam keadaan sulit.
Seruan
Dan Perwakilan Antarabangsa
Pada
tahun 7 hijrah, Rasulullah s.a.w. mengirim surat-surat
melalui utusan-utusan khas kepada pemerintah-pemerintah di
negara-negara jiran yang suasana pada masa itu rakyat tidak
mendapat hak-hak warganegara dan raja-raja tidak suka
sebarang orang luar menemui rakyat mereka secara langsung.
Antara isi kandungan surat ialah mengisytiharkan Islam
sahaja yang akan membawa kesejahteraan dan pada masa yang
lain pula memberi amaran sekiranya mereka menolaknya maka
mereka tidak akan selamat. Isi kandungan surat ini tidak
tetap kerana ia mengambil kira suasana-suasana tertentu dan
kecenderungan agama di setiap negara. Di samping itu, utusan
yang dihantar kepada setiap pemerintah adalah orang yang
mengetahui bahasa pemerintah berkenaan. Terdapat di kalangan
sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang dapat menguasai
bahasa-bahasa itu melalui hubungan perdagangan. Manakala
sesetengah yang lain pula diberi arahan khas untuk
mempelajari bahasa asing tersebut.
PANDANGAN
SEMPIT TERHADAP FARDHU KIFAYAH
Rata-rata
umat Islam di negara kita beranggapan bahawa Fardhu kifayah
hanya terbatas dan dikenali ketika memandi dan
menyembahyangkan jenazah sahaja.konsep serta ruang fardhu
kifayah tidak pernah dihuraikan oleh para ulamak Islam
secara terperinci seperti limu fardhu ain yang perbahasannya
sampai membawa kepada perselisihan faham mazhabi yang
kronik. Nyatanya umat Islam dari dulu hingga hari ini
berpecah akibat penghuraian ilmu fardhu ain yang terlalu
dititikberatkan.
Hakikatnya
urusan fardhu kifayah lebih melebar dan sentiasa berkembang
selari dengan keperluan hidup manusia. Jelasnya segala
kemajuan yang dicapai oleh umat lain yang selari dengan
hukum syarak menjadi fardhu kifayah ke atas umat Islam
menguasainya. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan ialah
untuk membebaskan pergantungan umat Islam kepada orang lain,
seterusnya penguasaan mereka. Menjadi umat yang terjajah
adalah suatu musibah besar kepada umat Islam era globalisasi
hari ini.
Salah
satu pandangan yang kurang tepat ialah apabila kemajuan
berupa pembangunan material seperti bangunan yang megah
berunsur Islam dikatakan satu pembangunan membazir. Ia
merupakan syiar Islam yang dituntut untuk menyemarakkan lagi
rasa ‘izzah di kalangan umat Islam. Begitu juga dengan
kewujudan bangunan pencakar langit yang dianggap sebagai
membazir walaupun pada saat dan ketika ia dibina keadaan
ekonomi mengizinkan. Walau bagaimanapun kewujudan
bangunan-bangunan tersebut selalu disalah ertikan sebagai
penyebab kepada wujudnya perkara yang semata-mata disebabkan
oleh pembangunan material yang pesat tetapi oleh kerana
ketahanan diri (iman) yang tidak kental. Maksiat akan terus
melebarkan sayapnya sekiranya umat ini tidak prihatin kepada
pembangunan rohani. Bukan hanya di bandar, bahkan kawasan
rancangan FELDA pun boleh menjadi sarang maksiat. Kita
jangan menuding jari kepada orang lain atas apa yang berlaku
pada diri sendiri. Sebagai contoh kita tidak boleh menuduh
salah kepada pengeluar kereta apabila kereta tersebut
digunakan untuk tujuan maksiat. Walaupun begitu, kita
tidaklah sepatutnya membina sesuatu khusus untuk menyuburkan
maksiat.
Justeru
umat Islam semestinya memahami batasan dan ruang lingkup
tuntutan fardhu kifayah yang semakin mendesak untuk
melepaskan diri dari dibelenggu oleh umat lain yang melihat
bahawa dunia ini adalah untuk sebuah kehidupan yang
terpenting. Kita tidak mahu negara umat Islam terkenal
dengan suasana yang miskin yang mundur seolah-olah Islam ini
merupakan agama yang melahirkan kemunduran dan kedhaifan
hidup. Allah S.W.T. telah menegaskan dalam firman-Nya:
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak akan mengubah apa sahaja
yang ada sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah apa sahaja
dengan diri mereka sendiri”.
(Ar-Ra’d : 11)
Apapun
sikap kita, mentadbir dunia bukanlah merupakan sesuatu yang
mudah. Ia memerlukan kebijaksanaan dan kecekapan serta
kecepatan bertindak dan terserah kepada kita sendiri dengan
panduan syariat Allah S.W.T. kerana Rasulullah S.A.W. pernah
bersabda kepada sahabat baginda yang bermaksud “Kamu
lebih tahu dengan urusan dunia kamu”.
FARDHU
KIFAYAH SATU DIMENSI BARU
Islam
sangat menggalakkan pembangunan sama ada daripada segi
material mahupun kerohanian. Akan tetapi apalah gunanya
pembangunan material andainya aspek kerohanian merosot dan
begitu juga sebaliknya apalah gunanya aspek kerohanian
kental jika pembangunan material pincang menjurus kepada
kehancuran umat.
Di sinilah
letaknya keunikan dan keistemewaan yang menghiasi Islam
mendokong konsep-konsep dua kefardhuan iaitu fardhu ain dan
fardhu kifayah yang perlu diseimbangkan dan difahami dengan
sejelas-jelasnya untuk keperluan di dunia dan di akhirat.
Sehubungan
itu, usaha-usaha yang dilakukan untuk mengubah salah tanggap
tentang erti fardhu kifayah perlulah digalakkan. Ini kerana
ia mempunyai kaitan dengan aspek pembangunan yang menyumbang
kepada keselesaan hidup dan keselamatan umat Islam. Malah
seluruh umat Islam akan berdosa jika tidak ada pihak yang
sanggup berusaha melaksanakan dan menyediakan keperluan bagi
keselesaan hidup umat Islam di negara ini.
Islam
sentiasa mendorong kepada kecemerlangan, kemakmuran dan
pembangunan dalam semua segi kehidupan. Sayangnya dalam
bidang inilah kita mengalami kelemahan dan kemunduran. Dalam
pada itu kecemerlangan dan pembangunan tidak juga bermakna
jika tanpa disertai jiwa yang tenang dan perut yang kenyang.
Kita juga memerlukan sebuah masyarakat saintifik dan
progresif yang bermoral, adil dan penyayang. Maka dalam
usaha meningkatkan taraf kehidupan umat Islam mereka
mestilah bersama-sama memainkan peranan membangunkan umat
melalui pengertian fardhu kifayah yang sebenarnya. Mereka
tidak sewajarnya menyempitkan fahaman mereka terhadap fardhu
kifayah tentang perkara yang berkaitan dengan kematian
sahaja sedangkan makna tuntutan fardhu kifayah sangat luas.
Umat Islam
dengan ini walau apapun peranan mereka, mereka
bertanggungjawab merancang cara-cara mengukuhkan sumber
ekonomi. Ia seperti membangunkan tanah wakaf, membeli dan
mendapatkan tanah pertanian, industri, mendirikan
pusat-pusat latihan dan perlindungan untuk golongan yang
kurang bernasib baik, menubuhkan koperasi, menjalankan
perniagaan dan banyak lagi. Dengan itu, tuntutan fardhu
kifayah yang lebih menyeluruh dapat kita laksanakan,
serentak itu juga kita boleh dijadikan model kerana wujudnya
keseimbangan antara pembangunan rohani dengan pembangunan
jasmani. Ini sekaligus dapat membina imej bahawa agama Islam
adalah agama yang mementingkan kehidupan duniawi dan
ukhrawi.
Sesungguhnya
hanya dengan fahaman yang sebenarnya tentang fardhu kifayah
sahajalah umat Islam dapat membina kehidupan mereka dengan
cemerlang. Segala prasarana ilmu yang disediakan perlu
digunakan dengan sebaik-baiknya, malah peluang yang ada pada
hari ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
Tanggungjawab melaksanakan tuntutan fardhu kifayah
sewajarnya tidak lagi dimiliki oleh orang perseorangan atau
kelompok masyarakat sedangkan golongan lagi memencilkan
diri. Sebaliknya setiap orang perlu merebut peluang
menunaikan tuntutan fardhu kifayah supaya umat Islam
terselamat daripada memahami konsep tunggu dan biarkan orang
lain buat.
Oleh itu
kita harus bersaing dan berlumba, masing-masing perlu
berusaha sebanyak mungkin untuk menentukan kewujudan dan
survival diri atau umat Islam di negara ini.
Sekali lagi
ditekankan, kita perlu cepat merebut peluang yang ada. Ini
kerana kita sedang berada dalam era pembangunan dan era
perindustrian yang maju. Dalam bidang pembangunan ilmu
pengetahuan, teknologi dan perindustrian kita tidak lagi
berada dalam zaman primitif dan mundur. Semua kemudahan yang
disediakan memberi gambaran bahawa kita sedang menuju ke
arah masyarakat maju dan terkemuka dalam semua bidang iaitu
dalam bidang pembangunan, teknologi, ekonomi, pendidikan,
sosial dan lain-lain.
Cuma apa
yang perlu bagi kita adalah pengisian. Fikrah dan halacara
hidup kita sebagai umat Islam perlu diperbetulkan dari terus
membincangkan persoalan fardhu ain, ibadat khusus dan
mengulang-ulang apa yang telah dibicarakan sejak
berabad-abad lalu tanpa membuka minda masyarakat dengan
lebih luas tentang aspek fardhu kifayah yang perlu diberi
nafas baru. Kita masih ketinggalan dalam mengisi peluang
yang disediakan melalui aspek I.T. Kita masih tidak melihat
kemudahan tersebut diisi dengan program dan pendekatan
secara Islamik yang lebih berkualiti. Lantas, bidang
tersebut direbut oleh pihak lain lalu diisi dengan
bahan-bahan yang lebih menjurus kepada kerosakan dan
penyelewengan. Maka jadilah ruang-ruang tersebut diremehkan
oleh umat Islam lalu ia diwarnai oleh pandangan negatif yang
tidak banyak membantu membangunkan perkembangan ummah.
Untuk
mengatasi masalah ini, kita perlu memahami dengan
sungguh-sungguh erti fardhu kifayah. Kita perlu ada usaha
untuk memprojekkan teknologi canggih yang telah tersedia
dengan program pembangunan, penyelidikan dan pengisian yang
bercorak keagamaan. Apakah yang akan terjadi jika semua
bahan kandungan dan perbincangan tentang Islam diserahkan
kepada orang bukan Islam. Bayangkanlah orang bukan Islam
mengendalikan program I.T. tentang Islam? Kita tidak boleh
meminggir diri semata-mata beralasan I.T. itu alat
imperialis tetapi kita tiada alternatif lain untuk
mengatasinya.
Seperkara
lagi, perjuangan membangunkan ummah tidak boleh bergantung
kepada sesuatu program tertentu sahaja dan tidak boleh
diharap dapat mencapai kejayaannya dalam tempoh masa yang
pendek. Malah kita perlu ingat proses pembangunan umat yang
teguh memerlukan kerja yang berterusan. Kita akan
terkebelakang dan ketinggalan jika kita sering mempamerkan
kelemahan dan memberi peluang kepada orang lain mengaut dan
mengeksploitasi keuntungan. Dalam bidang ekonomi contohnya,
kita masih terkebelakang ditinggalkan oleh bangsa asing
sedang kita asyik membicarakan apakah sesuatu itu boleh atau
tidak, antara boleh atau tidak itulah maka orang lain sudah
kaya-raya dan berjaya mendirikan bangunan indah dan memiliki
harta.
Memahami
kemelut yang dihadapi oleh umat Islam dewasa ini maka
langkah segera pihak kerajaan untuk mengatasinya kini telah
menampakkan kejayaan. Ketika kebanyakan negara Islam tidak
mengambil langkah yang serius untuk menyedarkan masyarakat
tentang perlaksanaan sistem ekonomi antara mereka, pihak
berkuasa tampil membantu mengawal pembahagian kekayaan dari
peringkat asas lagi menerusi pembahagian saham di kalangan
bumiputera. Penubuhan Bank Islam dan Tabung Haji
mencerminkan langkah-langkah mengislamkan sistem ekonomi di
Malaysia. Malaysia masih merupakan negara yang terbaik dan
berjaya melaksanakan sistem ekonomi Islam dan menjadi model
kepada negara Islam yang lain.
Sebagai
contoh, tugas Tabung Haji bukan lagi sebagaimana yang ada
pada masa dulu iaitu mengembangkan tabungan di kalangan umat
Islam untuk menunaikan ibadah haji di Mekah semata-mata,
akan tetapi ia turut mengembangkan kedudukan ekonomi mereka
keseluruhannya di samping berperanan menjaga keselamatan
ekonominya daripada dihakis oleh perkembangan semasa. Orang
ramai kini tidak lagi menganggap Tabung Haji sebagai
pengurus kepada hal ehwal pemergian umat Islam menunaikan
haji semata-mata. Lebih daripada itu, ia sebagai pengurus
pelaburan yang cekap bagi meningkatkan modal umat Islam
melaburkannya dalam sektor halal lagi menguntungkan. Dengan
mengadakan skop pelaburan lebih luas itu Tabung Haji secara
langsung memberikan umat Islam pilihan alternatif bagi
pelaburan jangka panjang mereka ke dalam pelbagai sektor
seperti hartanah, perkilangan dan pelaburan yang menurut
syariat.
Inilah
konsep fardhu kifayah yang perlu dihayati oleh umat Islam
masa kini. Ia bukan sahaja menyelamatkan Islam daripada
dihimpit oleh kemelesetan ekonomi malah sekaligus
membuktikan bahawa Islam adalah agama contoh dan releven
untuk diamalkan sepanjang zaman.
Ancaman
Umat
Islam
adalah agama perdamaian yang mementingkan kasih sayang dan
berbaik sangka. Namun pada masa yang sama Islam meminta
umatnya membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan
diserang oleh musuh. Malaysia sentiasa berpandangan jauh
untuk melihat kemakmuran dan kestabilan hidup rakyatnya
sentiasa terjamin. Untuk itu pasukan keselamatan dan polis
dipertingkatkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang
akan berlaku. Dalam hal ini, aspek ketahanan rohani turut
dititikberatkan terhadap anggota pasukan keselamatan. Bagi
merealisasikan perkara ini contohnya Angkatan Tentera
Malaysia telah menubuhkan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT)
yang menjadi bukti kepada kesedaran dan kesungguhan kerajaan
dalam menerapkan penghayatan Islam yang tinggi dalam
pertahanan negara. Langkah ini sangat perlu kerana kerajaan
mempunyai rasa tanggungjawab untuk mempastikan pasukan
tentera mempunyai nilai rohani yang tinggi dan sentiasa
dipelihara. Cara ini juga akan membolehkan masyarakat
memandang kerjaya dalam bidang ketenteraan dari segi
perspektif tamadun Islam. Ia juga merupakan salah satu
kefardhuan yang perlu diberi penekanan yang kalau
ditinggalkan akan menyebabkan keselamatan Islam yang menjadi
agama rasmi negara ini turut terancam akhirnya.
Apa yang
lebih penting ialah umat Islam perlu memahami keperluan
fardhu kifayah yang tidak hanya membicarakan perkara-perkara
akhirat semata-mata tetapi perlu juga ditumpukan kepada
membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan sains, teknologi
dan kemahiran yang akan menyumbang kepada keselesaan hidup
dan keselamatan umat Islam. Seluruh umat Islam akan
menanggung dosa jika tiada antara mereka melaksanakan fardhu
kifayah untuk keperluan kehidupan di dunia kerana kehidupan
dunia juga merupakan jambatan menuju akhirat. Tanpa
pemahaman erti fardhu kifayah yang sebenar maka akan
ketinggalanlah umat Islam tanpa pengetahuan tanpa kemahiran,
miskin dan terpaksa membeli makanan dan kelengkapan
pertahanan daripada pihak lain. Ini sudah tentu akan
menyebabkan umat Islam dihina berpunca daripada kemunduran
dan kemiskinan mereka. Umat Islamlah yang harus
dipersalahkan atas ketidakmampuan mereka melaksanakan
perkara-perkara penting dalam kehidupan mereka.
Sekali lagi
ditekankan umat Islam perlu memahami erti fardhu kifayah
dengan jelas. Perlaksanaannya mestilah meliputi semua
aktiviti hidup sama ada dalam bidang kekeluargaan,
kemasyarakatan, hubungan antarabangsa, politik, ekonomi,
sosial, pendidikan, sains teknologi dan lain-lain secara
menyeluruh dan teratur.
Umat Islam
hendaklah berusaha memperbaiki kehidupan diri mereka ke arah
kebaikan, kemajuan dan kesejahteraan. Ini kerana kita masih
lagi serba kekurangan dan lemah dalam segenap bidang
kehidupan. Kita masih tidak mempunyai kekuatan untuk
mempertahankan diri apatah lagi untuk menolong umat Islam
lain yang ditindas.
Kita masih
bergantung kepada orang asing untuk makanan, pakaian,
kenderaan, pembinaan, pengetahuan, pertahanan dan
sebagainya. Negara kita terpaksa mengimport makanan dari
luar negara sedangkan tanah air kita begitu subur. Kita
terpaksa membeli pakaian, kapal terbang, senjata, membawa
masuk pekerja-pekerja asing dan sebagainya untuk
pembangunan, keperluan dan keselamatan negara kita.
Juga jelas,
selagi kita tidak boleh berdikari maka selama itulah umat
Islam akan terpaksa mengikut telunjuk bangsa lain yang sudah
maju. Selagi itulah juga umat Islam di mana jua di dunia
akan ditarik hidung mereka, dipersenda dan
diperkotak-katikkan oleh mereka yang tidak mahu melihat
tamadun Islam gemilang semula.
Di sinilah
tanggungjawab kita untuk berazam dan berusaha melengkapkan
lagi tahap kepandaian, ilmu dan kekuatan ummah bagi
membangun semula tamadun Islam.
Sudah
sampailah masanya untuk kita tidak lagi memenuhi keperluan
aspek fardhu kifayah dalam bidang yang sempit. Kita tidak
boleh lagi menilai kerja secara berpilih. Bermula daripada
pengutip sampah hinggalah kepada kerja pemandu pesawat
pejuang semuanya adalah penting dan dihormati oleh Islam
selagi ianya diiringi dengan niat kerana Allah dan selari
dengan kehendak syariat.
Kita harus
sedar umat Islam di negara ini hanya lebih sedikit daripada
separuh jumlah penduduknya. Jika kita masih asyik
membicarakan masalah cabang dan pinggir sedangkan masalah
dasar kehidupan kita ditentukan oleh orang lain akhirnya
nanti umat Islam tidak akan lagi mempunyai kuasa di
tanahairnya sendiri. Sikap-sikap sebegini sebenarnya samalah
seperti membantu musuh Islam menjatuhkan Islam dengan lebih
mudah.
Sudah
sampai jugalah masanya kita umat Islam memberi definisi baru
kepada konsep fardhu kifayah sebagai satu jihad untuk
menegakkan agama dan memepertahankan martabat ummah.
Kecemerlangan
perlu kita cari di negara kita bagi masyarakat Islam sendiri
supaya ia mendorong kepada pembentukan world view
Islam yang mengutamakan kemajuan dan dinamika umat
keseluruhannya.
Individu
dan masyarakat yang selama ini tidak mampu menguasai ilmu
secara mendalam dan tidak upaya menghayati dan mengamalkan
budaya hidup Islam yang teguh dan sihat perlu di dorong dan
ditolak kehadapan. Nilai kerajinan, ketepatan waktu, etika
kerja dinamik, daya saing dan daya tahan yang mantap perlu
diterapkan dalam kehidupan masyarakat Islam masa kini.
Justeru,
kita perlu meninggikan syiar Islam yang bukan hanya pada
kulit tetapi perlu lebih menyeluruh. Ia bukan sahaja
ditumpukan kepada aspek fardhu ain yang mementingkan agama
tetapi juga fardhu kifayah untuk kesejahteraan hidup umat
Islam di negara ini. Firman Allah S.W.T.:
Maksudnya:
“Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di
dunia dan di akhirat dan jauhkan kami dari azab api
neraka”.
(Al-Baqarah : 201)
PELAKSANAAN
FARDHU KIFAYAH MASAKINI
Sama ada
kita sedar atau tidak, realiti banyak tuntutan fardhu
kifayah yang berjaya dilaksanakan dan disempurnakan oleh
pihak kerajaan Malaysia pada masakini. Demikian juga sama
ada kita akui atau tidak, keprihatinan kerajaan melaksanakan
fardhu kifayah bukan sahaja telah memberi kita keselesaan
dan kesenagan hidup di dunia malah telah membebaskan kita
dari belenggu dosa dan kemurkaan Allah lantaran pengabaian
fardhu kifayah dalam kehidupan.
Memandang
perkara yang menjadi fardhu kifayah ialah segala sesuatu
yang diperlukan untuk membangunkan urusan dunia di mana jika
diabaikan akan mendatangkan kesusahan dan kehancuran kepada
rakyat dan negara maka secara mudahnya mengujudkan
kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan bersama
peranannya masing-masing adalah Fardhu Kifayah. Dan syukur
alhamdulillah ianya berjaya dilaksanakan dengan
sebaik-baiknya di Malaysia.
Antara
contoh fardhu kifayah masakini yang berjaya dilaksanakan:
Keselamatan
Sesungguhnya
lima perkara dharuriah yang wajib dipelihara oleh
umat Islam iaitu agama, akal, nyawa, harta dan keturunan
tidak mungkin tercapai sekiranya aspek keselamatan dan
pertahanan kita lemah. Oleh itu memperkuatkan sistem
pertahanan dan keselamatan adalah dikira tuntutan fardhu
kifayah. Firman Allah S.W.T.:
Maksudnya:
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa
saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat
untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu
menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang selain mereka
yang kamu tidak mengetahuinya sedangkan Allah
mengetahuinya”.
(Al-Anfal : 60)
Oleh itu,
tindakan meningkatkan peralatan dan memperlengkapkan
persenjataan demi mempertahankan agama, bangsa dan negara
adalah Fardhu kifayah. Lantaran itulah maka program
pemodenan peralatan tempur di darat seperti kenderaan Armor
(tempor), kenderaan utiliti dan kenderaan artileri adalah
wajib dilakukan. Demikian juga peralatan tempur maritim
seperti kapal kovet, kapal peronda luar pantai (OPV), kapal
friget dan sebagainya tidak kira sama ada dalam dimensi anti
permukaan, udara atau anti kapal selam juga dikira wajib dan
haruslah diingat juga bahawa memiliki jet pejuang MiG-29 dan
F-18 adalah satu Fardhu kifayah.
Di samping
itu, mengawal sempadan dan semua pintu masuk ke negara kita
adalah satu tuntutan fardhu demi mengelak sebarang
pencerobohan dan tindakan subversif yang boleh menggugat
kehormatan dan keselamatan negara. Begitu juga mengawal
keselamatan maritim negara seluas 598,540 kilometer persegi
dengan rondaan sejauh 400 hingga 500 batu nautika perairan
negara adalah juga Fardhu Kifayah.
Dalam
pada itu, latihan kemahiran dan teknikal untuk anggota
keselamatan yang diadakan sama
ada di dalam atau luar negeri
adalah satu
Pelaksanaan fardhu kifayah. Maka
dengan itu wujudnya institut-institut latihan seperti Maktab
Pertahanan Angkatan Tentera, Maktab Turus Angkatan Tentera,
Akademi ATM, Pusat latihan Pengaman Malaysia, Maktab Tentera
Diraja dan juga pusat-pusat latihan udara di bawah Kolej
Tentera Udara kesemuanya adalah Fardhu kifayah.
Pendidikan
Menuntut
ilmu merupakan kewajipan kepada setiap umat Islam
sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya: “Menuntut
ilmu itu wajib ke atas setiap muslim”.
Namun,
kewajipan berupa fardhu ain ini tidak mungkin tercapai tanpa
kelengkapan dan kemudahan. Oleh itu, penubuhan
universiti-universiti, pembinaan sekolah dari peringkat
rendah hingga menengah, politeknik, maktab dan
institut-institut pengajian tinggi adalah merupakan Fardhu
Kifayah.
Begitu juga
kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan
seperti asrama, bantuan buku teks, bantuan makanan
berkhasiat, alat bantuan mengajar, makmal, biasiswa,
komputer, pinjaman pendidikan dan banyak lagi adalah
merupakan pelaksanaan fardhu kifayah. Dalam pada itu, apa
yang paling penting sekali ialah merangka system pendidikan
sehingga dapat melahirkan tenaga-tenaga pakar yang dapat
digemblengkan ke arah pembangunan negara adalah merupakan
penyempurnaan tuntutan fardhu kifayah. Kita bersyukur kerana
kita berjaya melahirkan ramai jurutera, arkitek, doctor,
akauntan, peguam, teknokrat dan sebagainya dari system
pendidikan kita yang kini memenuhi pelbagai sector
bersama-sama memajukan negara ke arah wawasan 2020.
Langkah
kerajaan memperkenalkan matapelajaran baru iaitu
Agroteknologi di sekolah-sekolah Teknik (Pertanian) yang
menekankan aspek teknologi bagi mencorakkan pertanian moden
yang lebih produktif dan komersil adalah penerusan ‘track
record’ kerajaan dalam menyempurnakan tuntutan fardhu
kifayah di bidang pendidikan.
Begitu
juga penghantaran pelajar-pelajar kita ke luar negeri untuk
mendalami ilmu-ilmu fardhu kifayah seperti IT, kejuruteraan,
sains komputer, kedoktoran dan sebagainya bagi memenuhi
keperluan negara adalah pelaksanaan fardhu kifayah.
Penyediaan dana yang besar untuk tujuan tersebut juga tidak
dinafikan adalah penyempurnaan tuntutan fardhu kifayah.
Kesihatan
Sebagaimana
menuntut ilmu, menjaga kesihatan diri dari ditimpa penyakit
dan berubat adalah wajib dan menjadi fardhu ain ke atas
setiap umat Islam. Namun begitu, tanpa kemudahan dan
peralatan perubatan yang lengkap dan berkesan maka
pelaksanaan fardhu ain setiap muslim dari segi penjagaan
kesihatan tidak akan sempurna. Oleh itu, tindakan kerajaan
membina hospital, klinik desa, pusat-pusat kesihatan, klinik
bergerak dan sebagainya adalah menepati tuntutan fardhu
kifayah. Bekalan perubatan dan kelengkapan peralatan yang
sentiasa dimodenkan dan dipertingkatkan adalah juga
menyempurnakan fardhu kifayah yang dituntut di dalam Islam.
Kita bersyukur kerana perkara ini bukan sahaja diambil berat
oleh pihak kerajaan malah dilaksanakan dengan penuh
terancang, bijaksana dan berkesan.
Di samping
itu, pembinaan pusat-pusat rekreasi, riadah dan bersukan
seperti padang permainan, kompleks sukan, stadium, taman
rekreasi dan sebagainya adalah tuntutan fardhu kifayah yang
berjaya dilaksanakan oleh pihak kerajaan dengan
sebaik-baiknya. Ini kerana tidak mungkin penjagaan kesihatan
(fardhu ain bagi setiap muslim) dalam bentuk beriadah dan
bersukan dapat dilaksanakan sekiranya kemudahan-kemudahan
seperti ini diabaikan.
Firman
Allah S.W.T.:
Maksudnya: “…dan janganlah kamu
menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan”.
(Al-Baqarah : 195)
Berdasarkan
ayat ini, menyediakan kemudahan rawatan dan perubatan yang
serba canggih dan bermutu tetapi dalam masa yang sama
membiarkan punca-punca penyakit tersebar dan bermaharajalela
adalah bercanggah dari apa yang disarankan oleh Islam.
Sesungguhnya mencegah itu lebih baik dari mengubati. Atas
asas inilah maka pengujudan Bahagian Kawalan Penyakit (di
bawah Kementerian Kesihatan), Institut Penyelidikan
Perubatan (IMR), Pusat Racun Negara dan sebagainya yang
sentiasa mengkaji dan mengawal penyakit atau sebarang anasir
yang boleh menjelaskan kesihatan bukan sahaja menepati
maksud ayat itu tadi malah memenuhi tuntutan fardhu kifayah
di dalam Islam.
Perhubungan
Firman
Allah S.W.T.:
Maksudnya: “Dia-lah Tuhan yang
menjadikan kamu dapat berjalan di daratan dan (berlayar) di
lautan.”
(Yunus : 22)
Berdasarkan
ayat ini jelaslah bahawa kemampuan kita bergerak dari satu
tempat ke satu tempat yang lain adalah hasil kurniaan Allah
S.W.T. yang diberikan melalui kecerdikan, keupayaan dan
kesungguhan yang kita miliki. Mengujudkan rangkaian system
perhubungan darat, laut dan udara yang terbaik dan canggih
selain memenuhi keperluan hidup kita di dunia (fardhu
kifayah), ia juga merupakan manifestasi taat kepada perintah
Allah S.W.T Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang
menyuruh kita berjalan dan bergerak di muka bumi untuk
mengambil manfaat darinya seperti melihat kejadian ciptaan
Tuhan dan juga melihat akibat kebinasaan kaum-kaum yang
terdahulu lantaran menderhakai Allah dan Rasul-Nya. Firman
Allah S.W.T.:
Maksudnya:
“Katakanlah: “Berjalan di (muka) bumi maka perhatikanlah
bagaimana Allah menciptakan (manusia) dari
permulaannya…”
(Al-Ankabut: 20)
Bagaimana
mungkin kita dapat berjalan dan mengambil iktibar sekiranya
system perhubungan jalan raya kita tidak sempurna,
menyusahkan dan membahayakan? Oleh itu adalah amat jelas
menjadi tuntutan fardhu kifayah bagi kita mempertingkatkan
dan mempermodenkan system perhubungan di negara kita
sehingga memenuhi maksud tersebut. Alhamdulillah, bersyukur
kita kehadrat Allah S.W.T. kerana perkara fardhu kifayah ini
telah berjaya kita laksanakan dengan sebaik mungkin dengan
ujudnya system lalu lintas yang baik seperti jalan raya,
keretapi, penerbangan dan pelayaran. Di samping itu, fardhu
kifayah ini berjaya kita sempurnakan lagi dengan mewujudkan
laluan alternatif seperti komuter, sistem transit aliran
ringan, lebuhraya dan juga jambatan atau Laluan Kedua ke
Singapura. Pembesaran lapangan terbang, mempertingkatkan
industri maritim tempatan seperti pelaburan dan pengendalian
fret hinggalah kepada membina lapangan terbang bertaraf
dunia dengan teknologi futuristic tanpa memusnahkan alam
semulajadi iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA), kesemuanya adalah fardhu kifayah. Ini kerana
semuanya merupakan system perhubungan terkini yang dapat
menghilangkan kesusahan dan memberi kemudahan kepada umat
manusia bergerak dan berhubung dari satu tempat ke tempat
yang lain. Dan tidak dinafikan juga ia menjadi pemangkin
kepada pembangunan ekonomi umat Islam.
Demikianlah
beberapa contoh fardhu kifayah yang telah berjaya
dilaksanakan dalam menjana pembangunan negara pada masa
kini.
TANGGUNGJAWAB
MENERUSKAN TUNTUTAN FARDHU KIFAYAH
Adalah
menjadi tanggungjawab semua umat Islam di Malaysia mengekal
dan meneruskan cabang-cabang fardhu kifayah sepertimana yang
telah diterangkan. Terdapat banyak cara untuk kita berbuat
demikian antaranya:
Bersyukur
dan menghargai segala nikmat Allah
Nikmat
Allah yang dikurniakan melalui bentuk keamanan yang
berkekalan, bebas daripada peperangan dan persengketaan,
taraf pendidikan yang bermutu di mana semua orang
Islam dapat menuntut ilmu dalam pelbagai bidang, tempat
tinggal yang luas dan selamat, peluang pekerjaan yang
mencukupi dan sebagainya adalah suatu kurniaan yang perlu
disyukuri.
Firman Allah:
Maksudnya: “Dan (ingatlah juga),
tatkala Tuhanmu memaklumkan: “Sesungguhnya jika kamu
bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan
jika kamu mengingkari (nikmat- Ku) maka sesungguhnya azab-Ku
sangat pedih.”
(Ibrahim :7)
Justeru,
kita sepatutnya berusaha lebih keras untuk meningkatkan
hasil produktiviti dan kualiti dalam setiap bidang yang
diceburi sebagai satu tanda kesyukuran. Para pendidik
seharusnya mempersiapkan diri melengkapkan segala ilmu
terutama Teknologi Maklumat untuk melahirkan generasi yang
celik IT serta selari dengan cabaran pada masa mereka.
Para doktor
dan pengamal perubatan seharusnya lebih berusaha dalam
membantu dan menyedarkan orang ramai supaya menjaga
kesihatan untuk mudah melakukan ibadah dan mencari nafkah
hidup bagi membantu keluarga.
Begitu juga
para petani, tidak ketinggalan dalam menggunakan peralatan
moden bagi meningkatkan hasil pertanian, dengan itu rakyat
dapat menikmati makanan bermutu dan seterusnya dapat
melaksanakan tuntutan fardhu ain kepada Allah dengan penuh
semangat.
Bagi ahli
perniagaan pula, mereka perlu meneruskan tuntutan fardhu
kifayah ini dengan membuka prasarana untuk kedai, kaunter
keperluan dan barangan halal untuk kemudahan umat Islam.
Dengan ini, masyarakat Islam akan bertambah maju dan
mendapat keberkatan Allah S.W.T.
Membina
Jatidiri
Muslim
seharusnya mempunyai ketahanan jiwa yang ampuh dalam usaha
menerus dan mengekalkan tuntutan-tuntutan fardhu kifayah
tersebut. Dalam setiap bidang yang diceburi, mereka
sepatutnya tidak mudah terpengaruh dan dihasut dengan
hal-hal kemewahan hingga lupa bahawa pekerjaan itu adalah
ibadah. Sebagai contoh; demi mencapai kemewahan dalam
sekelip mata, seseorang itu sanggup menerima rasuah,
sedangkan rasuah amat dilarang di dalam Islam dan sangat
dibenci oleh Allah kerana ia boleh menghalang hak penerima
yang sepatutnya.
Mereka juga
perlu insaf bahawa setiap makanan haram yang disuap ke mulut
anak dan isteri, akan tumbuh darinya daging yang haram maka
neraka adalah tempatnya. Justeru, jatidiri amat diperlukan
dalam soal menerus dan mengekalkan fardhu kifayah ini.
Mempertingkatkan
Ilmu
Proses
pembelajaran yang berterusan juga amat penting dalam usaha
menerus dan mengekal tuntutan fardhu kifayah. Memandangkan
kemajuan ilmu sentiasa berkembang pesat pada saat dan detik
terutama dalam teknologi maklumat, maka umat Islam juga
tidak harus ketinggalan mempelajarinya. Tamadun sesuatu
bangsa akan utuh dan membangun apabila rakyatnya rajin
mempelajari, mengkaji dan menyelidiki sesuatu ilmu baru.
Umat Islam tidak perlu lagi menjadi pengguna sebaliknya
pengeluar teknologi canggih dan maju.
Kefahaman
dan kesedaran
Bagi
menjamin usaha menerus dan mengekalkan tuntutan fardhu
kifayah juga, kita tidak ada pilihan lain selain berusaha
bersungguh-sungguh memberi kefahaman dan kesedaran kepada
setiap generasi muslim bahawa kewujudan kita bukan untuk
sia-sia tetapi:
- Menjadi
hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini.
- Bertanggungjawab
membina diri, baik daripada segi intelektual,
spiritual dan fizikal.
- Menjadi
penyeru kebaikan dan pencegah kemungkinan.
- Menjadi
penggerak dan pembina tamadun.
Dengan
memahami peranan dan tanggungjawab maka amat mudahlah
tuntutan fardhu kifayah dipenuhi, diteruskan dan diperbaiki
lagi. Tanggelam dengan hawa nafsu dan hanyut dengan
kehidupan dunia adalah punca utama hilangnya rasa menghargai
dan budaya berterima kasih sesama insan serta memperlekehkan
tuntutan fardhu kifayah yang telah dilaksanakan oleh orang
lain.
Sesungguhnya
bersama-sama berusaha menjayakan tuntutan fardhu kifayah
perlulah ada dalam diri setiap muslim yang bertakwa dan
berwawasan. Memencilkan diri apatah lagi memandang hina
usaha orang lain menjayakan fardhu kifayah bukan sahaja
mendedahkan betapa rosaknya jiwa dan akhlak mereka malah
mencerminkan sikap “tidak tahu malu” menikmati
keselesaan dan kesenangan atas jerih perih orang lain
menunaikan fardhu kifayah. Dan inilah yang perlu dihindari
dari meresap dan menjangkiti masyarakat Islam kita.
PENUTUP
Melihat
kepada perkembangan pesat dunia hari ini, maka umat Islam
mesti bertindak secepat mungkin agar tidak ketinggalan
daripada umat lain. Konsep mampu dan dilihat mampu tidak
cukup, bahkan ia memerlukan pelan bertindak pantas. Selagi
kehidupan manusia berkembang, selagi itu keperluannya
sentiasa bertambah dan berubah. Keperluan yang berubah
inilah yang dituntut oleh fardhu kifayah. Di semua sudut
keperluan hidup, konsep fardhu kifayah menjadi tunjang kukuh
untuk menggalakkan umat Islam khususnya berusaha
menyelesaikan setiap kemelut yang dihadapi. Apa yang
penting, umat Islam harus bekerja dan bekerja selaras dengan
keperluan syarak dan semasa kerana seluruh amal tersebut
menjadi ibadah dan disaksikan oleh Allah, Rasul dan
orang-orang yang beriman.
Satu
tanggapan silap apabila kita hanya menitikberatkan persoalan
ibadah khusus semata-mata seperti solat, puasa, haji, zakat
dan sebagainya, tetapi meninggalkan urusan umat yang
berbentuk menyedia dan memakmurkan dunia serta melepaskan
diri daripada belenggu kekuatan musuh-musuh Islam.
Untuk
menongkah arus yang ada, umat Islam mestilah berusaha untuk
mencapai tahap keilmuan yang tinggi. Sayyidina Umar r.a.
berkata yang bermaksud: “Sesiapa yang inginkan dunia dia
mesti berilmu, sesiapa yang ingin akhirat maka dia mesti
berilmu, sesiapa yang inginkan kedua-duanya maka dia mesti
berilmu”.
Keazaman
dan usaha yang kuat dan padu serta berterusan akan menjamin
apa yang dilakukan mencapai ‘target’ sebenar.
Firman
Allah S.W.T.:
“Apabila
engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah.”
(Ali imran : 159)
|