PENDAHULUAN
Dalam
keghairahan negara untuk mencapai matlamat pembangunan
bangsa yang maju dan dinamik yang bersendirian kepada
pembangunan sains dan teknologi, tidak dapat dinafikan akan
berlaku kesan-kesan sampingan atau pengaruh–pengaruh
negatif dari budaya asing yang boleh merosakkan anak muda,
mengugut kestabilan dan kecemerlangan bangsa. Gejala mungkar
yang berlaku dalam masyarakat hari ini terutama di kalangan
muda mudi seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah,
mencuri, malas dan sebagainya adalah di antara bukti yang
jelas terhadap perlunya peranan yang mesti dimainkan oleh
ibu bapa.
Gejala-gejala
seperti kerapuhan pegangan agama, kekosongan jiwa,
kekurangan daya tenaga dan pemikiran di kalangan muda mudi,
krisis rumahtangga, perilaku anak-anak yang liar, tidak ada
pegangan hidup, tidak menghormati orang tua, lebih suka
kepada kebebasan mutlak dan keseronokan serta hanyut dalam
arus pengaruh kebudayaan asing yang lebih banyak merosakkan
jiwa adalah akibat daripada kelonggaran disiplin dalam
sistem kekeluargaan.
Sehubungan
dengan Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Y.A.B. Perdana
Menteri telah memberi penekanan penting mengenai perkara ini
dengan menegaskan bahawa di antara cabaran-cabaran yang
mesti diatasi bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah
negara yang benar-benar maju ialah membentuk sebuah
masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang, sebuah sistem
sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri
sendiri, dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan pada negara
mahupun individu tetapi pada sistem kekeluargaan yang kukuh
lagi mantap.
Satu
hal yang menjadi keyakinan umum bahawa kebajikan seseorang
insan adalah berpunca daripada sistem kekeluargaan yang
berlandaskan agama. Darinya akan mewujudkan sebuah
masyarakat yang berbudi dan berbudaya mulia yang akhirnya
akan membentuk satu sistem sosial yang mantap dan dapat
menghadapi pelbagai arus cabaran. Memandangkan betapa
pentingnya institusi kekeluargaan dalam pembentukan
masyarakat yang berbudi dan berbudaya penyayang, maka
sewajarnya ia diberi perhatian utama. Justeru itu satu
program khusus diperkenalkan yang diberi nama “RUMAHKU
SYURGAKU”. Program ini dilaksanakan dengan tujuan
mewujudkan keluarga bahagia ke arah melahirkan masyarakat
penyayang dan bersatupadu selaras dengan ajaran Islam dan
wawasan 2020.
KONSEP
DAN FALSAFAH 'RUMAHKU SYURGAKU'
Konsep dan
falsafah bagi mencapai matlamat rancangan ‘RUMAHKU
SYURGAKU’ ini adalah berasaskan kepada syariat Islam yang
merangkumi segenap aspek kehidupan. Diantara aspek-aspek
yang ditekankan dalam rancangan ini ialah membina
kebahagiaan, meningkatkan daya intelek, mewujudkan suasana
penghayatan Islam dan kedamaian dalam keluarga, penjagaan
kesihatan, mewujudkan keselesaan dan keindahan dalam rumah,
mengamalkan perhubungan yang baik dan berkesan serta membina
sifat penyayang dan toleransi di kalangan anggota keluarga.
Huraian
Konsep Dan Falsafah ‘Rumahku Syurgaku’
1.
Membina Kebahagiaan
Kebahagiaan adalah sesuatu yang
abstrak yang lahir dari hati seseorang. Tanda kebahagiaan
antaranya dapat dilihat apabila seseorang itu berasa senang,
suka dan gembira melalui raut wajah dan tingkah lakunya.
Nilai kebahagiaan itu tidak mungkin dapat diagihkan kepada
orang lain. Hadith Rasulullah s.a.w. sangat tepat
membayangkan betapa bahagia itu perlu dalam hidup setiap
insan. Diriwayatkan daripada An-Nu’man bin Basyir,
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul
daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi
apabila ia rosak, rosak pulalah seluruh badan, Ingatlah ia
adalah hati".
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadith ini jelas menerangkan bahawa
kebaikan diri manusia itu terletak pada hatinya. Kalau ia
baik, maka seluruh diri manusia itu akan menjadi baik.
Sekiranya ia rosak yakni mempunyai penyakit-penyakit hati,
maka manusia itu tidak akan dapat mengecapi nikmat kebaikan
dan kebahagiaan.
Kebahagiaan
adalah sesuatu yang amat penting kepada setiap insan. Ia
menjadi suatu matlamat hidup seseorang sama ada di dunia
mahupun di akhirat. Sebab itu setiap orang sanggup bersusah
payah dan bermati-matian untuk mencari kebahagiaan.
Kegagalan mendapat kebahagiaan membawa kepada kekecewaan.
Kerana itu, ramai orang menjadi gila kerana hidupnya tidak
bahagia. Ada pula yang sanggup mati kerana gagal menemui
kebahagiaan.
Semua orang
perlukan kebahagiaan hidup sama ada untuk sementara atau
selamanya. Penentuan kebahagiaan berkait rapat dengan sikap,
kedudukan dan fahaman seseorang terhadap kebahagiaan. Ada
orang beranggapan bahawa kebahagiaan itu boleh dicapai
dengan adanya harta dan wang ringgit yang banyak. Ada pula
beranggapan kebahagiaan itu ialah mengenepikan hal-hal
keduniaan, kemajuan dan kemewahan. Walau bagaimanapun,
kebahagiaan seperti ini adalah berkisar kepada faktor
kebendaan semata-mata. Apakah kebahagiaan yang sebenar?
Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda
tetapi kekayaan sebenar ialah kaya hati.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maksud kaya
hati seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. itu
ialah apabila hati menjadi tenteram, tenang dan merasa cukup
terhadap nikmat yang dimiliki. Dari hadith ini nyatalah
bahawa harta benda bukan ukuran kebahagiaan seseorang,
tetapi kebahagiaan itu sebenarnya terletak di hati. Dalam
hal ini, hati perlu dijaga dan beri haknya, supaya lahir
sifat-sifat mulia dan terpuji seperti amanah, bersyukur,
sangka baik terhadap orang lain dan sebagainya. Jelaslah
bahawa dalam sesebuah rumahtangga kebahagiaan hati adalah
sesuatu yang amat perlu.
Antara cara
untuk mencapai kebahagiaan ialah seperti berikut:
(a) Niat
Yang Baik
Salah satu
cara mendapatkan kebahagiaan hidup ialah dengan membetulkan
niat dalam merancang sesuatu tindakan. Dalam hubungan ini
seseorang itu hendaklah melatih hatinya supaya sentiasa
berniat baik dan inginkan sesuatu yang baik. Latihan
sebegini dapat menjadikan seseorang itu bersifat positif dan
optimis dalam melakukan sesuatu. Wajahnya akan kelihatan
sentiasa riang dan tenang.
(b)
Perbuatan Yang Baik
Satu lagi
proses mendapat kebahagiaan hati ialah dengan melakukan
perbuatan yang baik atau disebut sebagai amal saleh. Amal
ini mestilah disertakan dengan niat yang baik. Dalam
melakukan amal saleh, umat Islam disuruh sentiasa melakukan
kerja-kerja baik dan meninggalkan kerja-kerja yang baik.
Antara amal-amal saleh ialah tolong menolong, amanah, sopan
santun, benci dan menjauhi maksiat, bercakap benar,
penyayang dan lain-lain.
Kemuncak
kebahagiaan dalam hidup seseorang ialah apabila ia telah
berjaya melakukan kebaikan atau amal saleh serta menghindar
segala bentuk larangan yang ditentukan oleh Islam.
Ciri utama yang menjadi ukuran masyarakat bahagia ialah
mereka patuh kepada suruhan Allah secara terus menerus
dengan penuh khusyuk dan khudu’. Ini menepati maksud
firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 1-11.
Maksudnya:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyangnya, dan mereka
yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang
sia-sia; dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya
(dengan menunaikan zakat harta itu); dan mereka yang menjaga
kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba
sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela,
kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian,
maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; dan mereka
yang menjaga amanah dan janjinya, dan mereka yang tetap
memelihara sembahyangnya, mereka itulah orang-orang yang
berhak mewarisi; yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka
kekal di dalamnya".
(al-Mukminun: 1-11)
2.
Membina Intelek dan Meningkatkan Ilmu Pengetahuan
Hidup dalam
erti kata seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. di
dalam al-Quran, ayat 77 surah al-Qasas, ialah untuk tidak
melupakan nasib di dunia. Untuk tidak mengabaikan urusan
memperjuangkan nasib di dunia ini setiap umat Islam mestilah
mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan daya intelek
masing-masing. Dengan ketinggian ilmu pengetahuan dan daya
intelek itulah mereka dapat menjangkau pelbagai keperluan,
melepasi segala halangan dan rintangan dan mencapai
ketinggian darjat selayak dengan cita-cita Islam sebagai
agama yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.
Ketinggian Islam tidak memberi erti kalau kehidupan umatnya
tanpa kualiti.
Ilmu
pengetahuan mempunyai tiga kepentingan utama. Pertama;
Membentuk peribadi muslim supaya dapat menjalani suruhan
agama dengan sewajarnya. Kedua; Membentuk sebuah umat yang
kuat. Ketiga: Mempertahankan kesucian dan ketinggian agama
Islam. Sekiranya umat Islam tidak mempunyai ilmu
pengetahuan, kesucian dan ketinggian agama Islam akan
terjejas.
Ilmu
pengetahuan adalah satu perkara yang sangat luas bidangnya
dan sememangnya tidak mampu dikuasai semuanya oleh manusia.
Di dalam al-Quran Allah S.W.T. telah mengumpamakan ilmu itu
sebagai lautan luas, yang mungkin mampu diperolihi oleh
manusia hanyalah setitis daripadanya sahaja. Walaupun begitu
peri pentingnya ilmu pengetahuan itu tidak boleh dinafikan,
sehingga pencariannya dikategorikan sebagai satu tuntutan
yang fardhu. Rasulullah s.a.w. menyebutkan melalui sebuah
hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Maiah dari Anas:
Maksudnya:
Daripada Anas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Menurut
ilmu itu wajib ke atas tiap-tiap orang Islam.”
(Riwayat Ibnu Majah)
Begitulah
pentingnya ilmu pengetahuan yang sangat-sangat dititik
beratkan oleh Islam supaya setiap orang mencarinya, tidak
kira dalam apa bidang pun selagi ia mendatangkan kebaikan
dan diredhai oleh Allah S.W.T.
Dalam
konteks membina ‘syurga’ dalam rumahtangga, kesedaran
terhadap peri pentingnya ilmu pengetahuan sangat mustahak.
Ibu bapa selaku ketua keluarga mempunyai peranan yang besar
dalam mencorakkan anak-anaknya. Bermula di peringkat bayi,
malah sejak dari dalam kandungan lagi, sehinggalah mereka
remaja dan seterusnya dewasa, pendidikan perlu diberikan
mengikut tahap dan peringkat masing-masing.
Kemudahan-kemudahan pelajaran yang sedia ada seperti tadika,
sekolah, maktab dan pusat pengajian tinggi seharusnya
dimanfaatkan sepenuhnya.
Ibu bapa
selaku pengemudi keluarga sewajibnya mempunyai perancangan
dan usaha yang lebih bagi mempertingkatkan pengetahuan dan
daya intelek di kalangan ahlinya. Di samping itu setiap ahli
keluarga pula semestinya mempunyai kesedaran untuk
mempertingkatkan pengetahuan dan daya pemikiran
masing-masing sesuai dengan kemampuan yang ada tanpa rasa
malas dan jemu. Pandangan berat Islam yang telah meletakkan
pencarian ilmu itu sebagai satu kewajipan sepatutnya
disedari oleh orang kerana maju atau membangunnya sesebuah
keluarga itu adalah kerana ilmu pengetahuan.
Dari segi
piawai ilmu bagi sesebuah keluarga, setiap ahli keluarga
bermula dengan ibu dan bapa, mereka mestilah mengetahui
ilmu-ilmu fardhu ain, iaitu berkait dengan akidah, syariah
dan akhlak. Dari segi akidah, seseorang itu wajib mengetahui
asas-asas kepercayaan mengenai ketuhanan, Allah Yang Maha
Esa dan perkara-perkara di sekitar soal keimanan yang
disimpulkan di dalam rukun iman. Dari segi ilmu syariah,
mereka wajib mengetahui adab-adab serta peraturan-peraturan
amal ibadat. Manakala dalam bidang akhlak pula, mereka wajib
mengetahui dan mengamalkan akhlak Islam sebagaimana yang
digariskan di dalam al-Quran dan as-sunnah, seperti taat
kepada ibu bapa, tolong menolong sesama ahli keluarga dan
masyarakat, menghormati jiran tetangga dan lain-lain.
Perkara-perkara ini merupakan asas yang wajib dipelajari dan
dihayati oleh setiap anggota keluarga.
Di samping
fardhu ain, setiap anggota keluarga juga perlu mempelajari
fardhu kifayah iaitu ilmu-ilmu yang lebih bersifat
kepentingan umum, yang ada kaitan langsung dengan keperluan
hidup manusia seperti penyediaan bahan makanan dan
barang-barang gunaan, bidang sains dan teknologi,
kedoktoran, kejuruteraan, perindustrian, pembinaan tempat
kediaman, penyediaan infrastruktur dan lain-lain.
Pelaksanaan sebahagian daripada tuntutan agama juga
terkandung sebagai fardhu kifayah, umpamanya pengurusan
jenazah, sembahyang berjemaah di masjid dan lain-lain.
Ilmu-ilmu yang terkandung dalam bidang fardhu kifayah ini
tidak diwajibkan kepada setiap individu tetapi memadai
sekiranya ada sebilangan atau seorang sahaja di dalam
kelompoknya yang mempelajari atau mengetahui ilmu tersebut.
Apabila seorang sahaja mengetahuinya, pada masa itu gugurlah
kefardhuannya ke atas orang lain, tetapi sekiranya tidak ada
seorang pun yang mempelajari sesuatu ilmu itu, maka semua
orang adalah berdosa.
Hal-hal
seharian di dalam keluarga seperti percakapan, bahasa yang
digunakan, tingkahlaku yang ditunjukkan dan pergaulan yang
diwujudkan semestinya dalam piawai ilmu dan intelek yang
tinggi yang dibentuk dalam suasana harmoni. Nilai-nilai
intelek yang rendah seperti melebih-lebihkan perbicaraan
tentang hiburan, cakap-cakap kosong, membanyakkan kegiatan
yang tidak berfaedah dan lain-lain urusan yang membazir
serta tidak bermanfaat hendaklah dihindarkan. Kesedaran
hendaklah ditanamkan di dalam keluarga bahawa orang-orang
yang berilmu serta berakhlak mulia tidak akan melakukan
perkara-perkara seperti itu. Akal yang dikurniakan oleh
Allah kepada manusia menunjukkan bahawa manusia adalah
makhluk yang mulia dan kurniaan itu mestilah dipelihara.
Setiap ahli
keluarga mestilah menyedari bahawa orang-orang yang berilmu
pengetahuan sememangnya tidak sama dengan orang-orang yang
tidak berilmu pengetahuan. Orang-orang yang berilmu selain
mendapat kemuliaan daripada Allah S.W.T. mereka adalah
orang-orang yang menjadi harapan kepada sesuatu keluarga,
kelompok masyarakat dan seterusnya negara. Merekalah menjadi
pembimbing, pentadbir, pemimpin, pelindung dan tempat
rujukan orang awam. Kalaulah sesuatu keluarga atau
masyarakat atau bangsa itu tidak mempunyai orang-orang yang
berilmu maka kedudukan mereka akan menjadi pincang dan tidak
maju.
Jelaslah
bahawa ilmu pengetahuan adalah satu perkara yang sangat
penting dalam membentuk kehidupan yang bahagia dalam
rumahtangga. Maka sebab itulah ia menjadi satu perintah yang
wajib bagi setiap orang mencarinya. Saiyyidina Ali r.a.
pernah berpesan:
“Ketahuilah
bahawa ilmu pengetahuan adalah lebih baik daripada harta
benda, sebab ilmu pengetahuan dapat menjaga dirimu,
sedangkan harta benda engkaulah yang harus menjaganya. Ilmu
pengetahuan adalah pihak yang berkuasa, sedangkan harta
benda adalah pihak yang dikuasai. Harta benda akan
berkurangan jika dibelanjakan, sedangkan ilmu pengetahuan
akan bertambah-tambah jika diberikan kepada orang lain.”
3.
Mewujudkan Suasana Penghayatan Islam Dan Kedamaian Dalam
Keluarga
Islam telah
meletakkan asas yang sempurna supaya rumah menjadi suatu
tempat yang selesa kerana kebahagiaan itu bermula dari
rumah. Untuk menjadikan rumah itu sebagai syurga maka
aktiviti-aktiviti berikut adalah menjadi asas utama di dalam
pembentukan rumahtangga.
(a)
Menghidupkan Sembahyang Berjemaah
Dalam
Islam, amalan yang paling pokok ialah sembahyang. Sembahyang
boleh menjadi ukuran kepada seseorang sama ada ia seorang
Islam yang sempurna atau pun tidak. Orang yang mengaku
dirinya beragama Islam, tidak sempurna Islamnya jika ia
tidak melakukan ibadat sembahyang. Sembahyang berjemaah di
masjid atau surau dituntut oleh Islam. Kelebihannya sangat
besar dan pahalanya 27 kali ganda daripada sembahyang
berseorangan. Sembahyang jemaah dapat mewujudkan hubungan
silaturrahim, melahirkan perhubungan kasih sayang dan
semangat kekitaan dan dapat menghindarkan perasaan
mementingkan diri sendiri. Oleh itu bagi orang yang tidak
berhampiran atau berdekatan dengan masjid atau surau adalah
disunatkan ke masjid atau surau bersama keluarga bagi
menunaikan sembahyang jemaah.
Bagi orang
yang tinggal jauh dari masjid, mereka digalakkan mengerjakan
sembahyang jemaah di rumah bersama keluarga. Bapa sebagai
ketua keluarga adalah bertindak sebagai imam, manakala
anak-anak dan isteri sebagai makmum. Waktu yang amat
sesuai diadakan sembahyang jemaah ialah waktu Maghrib, Isyak
dan Subuh, kerana waktu-waktu itu lazimnya ibu bapa dan
anak-anak berada di rumah. Jika terdapat tetamu yang
mengunjungi rumah pada waktu tersebut, eloklah mereka diajak
bersembahyang jemaah bersama-sama .
Bagi
membentuk keluarga yang bahagia dan menjadikan rumah sebagai
syurga, maka sembahyang berjemaah sekeluarga mesti diadakan
secara terus menerus, sekurang-kurangnya sekali seminggu
bagi keluarga yang sibuk, atau tiap-tiap hari bagi keluarga
yang mempunyai kemampuan. Amalan ini mempunyai faedah yang
besar serta dapat mendidik anak-anak menghayati Islam
dengan sebenar, serta dapat membentuk akhlak yang baik. Ibu
bapa sebagai pemegang amanah daripada Allah S.W.T. untuk
mendidik dan mencorakkan anak-anak mereka ke jalan yang
benar, adalah berkewajipan untuk mendidik anak-anak mereka
tentang pelaksanaan tanggungjawab ibadat sejak mereka masih
kecil lagi.
(b)
Membaca al-Quran Bersama Di rumah
Membaca
al-Quran mempunyai pahala yang besar, amalan ini boleh
mengukuhkan keimanan seseorang dan mendekatkan diri kepada
Allah serta memberi ketenangan kepada hati. Firman Allah di
dalam surah ar-Ra’d ayat 28:
Maksudnya: “(iaitu)
orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka
dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati
manusia.”
Menurut
Tafsir Pimpinan ar-Rahman terbitan JAKIM, ‘zikrullah’
pada ayat ini maksudnya al-Quran al-Karim yang menjadi
sebesar-besar mukjizat yang tidak ada tolok bandingnya.
Nyatalah bahawa membaca al-Quran itu menjadi ibadat yang
sangat berfaedah bagi seseorang muslim yang patut dilakukan
pada setiap hari sama ada di waktu pagi, petang ataupun
malam.
Keluarga
bahagia ialah keluarga yang dapat membaca dan menghayati isi
al-Quran dengan baik. Sistem pendidikan negara kita
membolehkan semua rakyat mampu membaca al-Quran. Oleh kerana
membaca al-Quran adalah satu ibadat yang amat penting dan
utama dalam kehidupan orang Islam, maka perlulah
diikhtiarkan cara yang berkesan supaya amalan ini dapat
dihayati dalam kehidupan harian.
Dalam
program secara bersama dalam keluarga hendaklah menjadi
amalan harian atau sekurang-kurangnya satu kali seminggu.
Al-Quran mengandungi 604 halaman, jika dalam masa seminggu
dibaca dua halaman, maka dalam tempoh satu tahun hampir
separuh dari al-Quran dapat dihabiskan. Amalan ini hendaklah
diteruskan sepanjang hayat.
(c)
Membaca Buku Agama Di Rumah Beramai-ramai
Satu lagi
amalan dalam rumahtangga yang bahagia ialah mengumpulkan
keluarga sekurang-kurangnya satu kali dalam seminggu untuk
membaca buku agama. Buku agama ini boleh dipilih dari
buku-buku yang terkenal dalam berbagai bidang seperti
sejarah Islam, sejarah ulama’ dan pemikiran Islam,
asas-asas fardhu ain, ilmu tauhid, akhlak dan lain-lain.
Dengan
cara membaca buku agama, secara tidak langsung boleh
menambah dan meluaskan ilmu pengetahuan ahli keluarga.
Melalui amalan membaca buku di rumah ini juga dapat melatih
ahli keluarga khususnya anak-anak yang dalam proses
pembelajaran untuk meningkatkan pengetahuan mereka. Dalam
hubungan ini kaedah yang boleh digunakan ialah membaca
bergilir-gilir di antara ibu, bapa dan anak.
(d)
Makan Bersama Sekeluarga
Keluarga
bahagia ialah keluarga yang dapat mewujudkan tradisi makan
bersama-sama sekurang-kurangnya sekali seminggu iaitu pada
cuti hujung minggu. Malam adalah waktu yang agak sesuai
untuk menghadapi makanan secara bersama keluarga kerana
semua ahli keluarga di waktu itu telah selesai menunaikan
tanggungjawab masing-masing di dalam bidang pekerjaan dan
pelajaran. Makan bersama keluarga boleh mengeratkan lagi
rasa kasih sayang antara anggota keluarga.
Ibu bapa
harus memainkan peranan bagi mewujudkan suasana yang harmoni
ketika makan. Inilah di antara kesempatan terbaik untuk ibu
bapa berbicara dengan anak-anak dan dapat memberi nasihat,
menanam pendidikan dan memupuk kasih sayang dalam keluarga.
Sebagai
contoh, semasa menghadapi makanan dinasihatkan membaca
‘bismillah’ bagi mendapatkan keberkatan terhadap makanan
dan minuman tersebut dan sebagai tanda terima kasih terhadap
Allah yang telah memberikan rezeki. Semasa hendak menjamah
makanan yang dihidangkan seorang ahli keluarga, bapa atau
ibu hendaklah membaca doa ringkas iaitu:
Maksudnya:
Daripada Abdullah bin Amr, daripada Nabi s.a.w. bahawasanya
baginda membaca doa apabila dihidangkan makanan kepada
mereka dengan doa yang bermaksud: "Ya Allah
berkatilah rezeki yang engkau berikan kepada kami dan
jauhkanlah kami daripada azab api neraka, dengan nama
Allah".
(Riwayat Abu Bakar ibn as-Sunni)
Semasa makan bersama keluarga,
anak-anak hendaklah diperingatkan supaya tidak memulakan
makan atau minum kecuali setelah dimulakan oleh ibu bapa
atau orang yang lebih tua. Begitulah juga adab di dalam
satu-satu majlis makan yang lain. Ini adalah bertepatan
dengan hadith Nabi s.a.w. yang menyebut:
Maksudnya:
Daripada Huzaifah r.a. katanya: “Apabila kami bersama-sama
Rasulullah s.a.w. menghadapi makanan, kami tidak
menghulurkan tangan sehingga Baginda memulakan menjamah
makanan tersebut terlebih dahulu.”
(Riwayat Muslim)
Ibu
bapa juga adalah bertanggungjawab untuk sentiasa
mendisiplinkan anak-anak sewaktu makan dengan tidak banyak
bercakap tentang perkara-perkara yang tidak berfaedah,
melarang makan di tempat-tempat yang tidak sesuai seperti di
ruang tamu, di hadapan TV dan di dalam bilik tidur.
Memulakan makanan dari sebelah kanan, makan dengan tidak
gelojoh dan lain-lain.
(e)
Memberi Salam Semasa Masuk Atau Meninggalkan Rumah
Keluarga
bahagia pulang ke rumah dengan keadaan gembira. Apabila
samapai ke pintu rumah mereka akan menyampaikan salam dan
anggota di dalamnya menjawab salam tersebut dengan jelas.
Demikianlah juga apabila mereka meninggalkan rumah untuk
pergi bekerja atau ke sekolah. Amalan ini wajar dihayati
sebagai amalan harian kerana ia boleh membuatkan hubungan di
kalangan semua anggota keluarga terus mesra dan kukuh.
Ucapan
salam ialah doa seseorang kepada seseorang yang lain supaya
sentiasa berada di dalam suasana kebaikan dan keselamatan
dan juga merupakan penghubung kasih sayang di antara sesama
manusia. Oleh itu ibu bapa wajar mempraktikkan salam ini
supaya dapat diikuti anak-anak mereka.
(f)
Minta Keizinan Masuk Bilik
Setiap ibu
bapa perlulah melatih anak-anak meminta izin atau kebenaran
sebelum mereka masuk ke bilik tidur ibu bapa. Dalam hal ini
Allah S.W.T. telah memberi panduan melalui firman-Nya dalam
surah an-Nur ayat 58:
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah hamba-hamba
kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu,
meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu)
dalam tiga masa, (iaitu) sebelum sembahyang Subuh dan ketika
kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan
sesudah sembahyang Isya’; itulah tiga masa bagi kamu (yang
biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kemudian mereka
tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut,
(kerana mereka orang-orang yang selalu keluar masuk kepada
kamu dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara
satu dengan yang lain. Demikianlah menerangkan kepada kamu
ayat-ayat-NYA (yang menjelaskan hukum-hukum-NYA); dan
(ingatlah) Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana.”
(An-Nur : 58)
4.
Mengekalkan Kedamaian Dan Kerukunan Rumahtangga
Rumahtangga
bahagia ialah rumahtangga yang wujud unsur-unsur kedamaian
dan keselesaan. Suami sebagai ketua keluarga adalah
berkewajipan memimpin isteri dan anak-anaknya melalui
kehidupan yang diredhai Allah dengan memberi didikan agama
dan menyemadikan niali-nilai murni kepada mereka.
Antara
unsur-unsur kedamaian di dalam rumahtangga ialah:
(a)
Tolong Menolong dan Bantu Membantu Dalam Keluarga
Setiap
ahli keluarga berkewajipan untuk mendisiplinkan diri bagi
melaksanakan tugas masing-masing. Umpamanya suami atau bapa
berkewajipan mencari nafkah atau melakukan kerja-kerja yang
memerlukan gerakan fizikal yang lebih, manakala isteri atau
ibu melakukan kerja- kerja yang agak ringan dan sesuai
dengan kemahiran wanita. Begitu juga dengan anak-anak
diberikan tugas-tugas tertentu sesuai dengan peringkat umur
dan kesanggupan fizikal mereka. Satu program gotong royong
di antara ahli keluarga seperti membersihkan rumah patut
diadakan sekurang-kurangnya seminggu sekali. Ia boleh
mewujudkan perasaan kasih sayang dan rasa tanggungjawab di
kalangan ahli keluarga. Melalui program ini rumah sentiasa
bersih dan kesihatan dapat dijaga. Allah mengasihi
orang-orang yang mengamalkan kebersihan.
(b)
Hubungan Kejiranan Yang Baik
Kesejahteraan
dalam keluarga bukan hanya diperolihi hasil dari hubungan
antara anggota dalam keluarga sahaja malahan hubungan dengan
jiran sekeliling juga patut diberi perhatian. Perhubungan
kejiranan yang intim akan wujud jikalau semua ahli keluarga
berkesempatan untuk berbual-bual mesra, bertukar-tukar
fikiran, bergurau senda dan beramah mesra antara satu sama
lain. Oleh itu setiap keluarga wajar meluangkan satu masa
untuk berinteraksi dengan jiran khususnya jiran yang paling
hampir.
(c)
Menunaikan Tuntutan Fardhu Kifayah
Selain
berbaik-baik dengan jiran tetangga, setiap keluarga juga
wajar memiliki beberapa kemahiran. Dalam Islam ilmu
dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu fardhu ain dan fardhu
kifayah. Maksud fardhu kifayah dalam konteks kesejahteraan
keluarga ialah semua ahli keluarga khususnya anak-anak
hendaklah dilatih dengan asas-asas kemahiran hidup ataupun
ilmu-ilmu teknikal yang ada hubungkait dengan alam
rumahtangga. Kemahiran seperti ini perlu bagi setiap ahli
keluarga supaya mereka berupaya melakukan sendiri
kerja-kerja seperti membaiki kerosakan-kerosakan kecil pada
rumah. Memasang dan menukar mentol lampu, membaiki kebocoran
paip air dan lain-lain. Di samping itu ahli keluarga
hendaklah mempunyai kemahiran asas di dalam membaiki
kenderaan yang dipunyai oleh keluarga seperti kereta,
motosikal, basikal dan seumpamanya. Ini adalah bersesuaian
dengan kehendak negara untuk mewujudkan masyarakat yang
bekerja dan berkemahiran.
(d)
Mengadakan Aktiviti Rekreasi
Dalam
rumahtangga perlu juga ada suasana hiburan dan rekreasi
dalam keluarga. Ia boleh menimbulkan kesan positif ke arah
kesihatan mental dan fizikal. Jenis-jenis hiburan pula
mestilah yang tidak bercanggah dengan hukum Islam. Setiap
keluarga juga wajar mengatur program rehlah ke tempat-tempat
rekreasi atau lawatan di dalam atau luar negeri mengikut
kemampuan keluarga tersebut. Aktiviti ini akan mengeratkan
lagi hubungan kasih sayang dan mewujudkan kemesraan dalam
keluarga.
5.
Menjaga Kesihatan dan Kebersihan Keluarga
Kebahagiaan
rumahtangga tidak akan tercapai jika sekiranya terdapat
ahli-ahli keluarga sering mengidapi penyakit. Ibu atau bapa
yang tidak sihat tidak dapat menguruskan rumahtangga dengan
sempurna. Manakala anak-anak yang sakit pula tidak dapat
membesar dan berkembang dengan baik. Oleh kerana kesihatan
tubuh badan menjadi soal penting dalam hidup seseorang dan
memerangi penyakit adalah satu tugas yang wajib di dalam
Islam, maka Islam telah menggariskan beberapa panduan yang
berkaitan dengan kesihatan seperti berikut;
(a)
Makan Makanan Yang Halal
Islam
menggesa umatnya supaya memakan benda-benda yang baik dan
halal serta melarang memakan benda-benda yang merbahaya dan
merosakkan kesihatan. Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat
114:
Maksudnya:
“Oleh itu makanlah (wahai orang-orang yang beriman)
dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu dari
benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan
nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah akan Dia
semata-mata.”
(An-Nahl : 114)
Firman
Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah ayat 172 :
Maksudnya: “Wahai
orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang
baik (yang halal) yang telah kami berikan kepada kamu dan
bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat
kepada-NYA.”
Oleh
yang demikian, setiap ibu bapa hendaklah mengambil berat
tentang makan minum keluarganya dan memastikan setiap
makanan yang masuk ke dalam perut keluarganya itu daripada
sumber rezeki yang halal.
(b)
Makan Makanan Yang Bermutu Dan Berkhasiat
Penjagaan
kesihatan dari segi penyimpanan, penyediaan, penghidangan
makanan dan keperluan pemakanan perlu dititikberatkan.
Penyediaan makanan dan pemakanan perlu dirancang dengan
teliti supaya kuantiti dan kualiti zat makanan itu seimbang
dengan keperluan setiap keluarga. Seorang ibu wajib
menyediakan makanan yang berzat dan berkhasiat. Dalam
pemilihan kandungan zat makanan ia tidak semestinya diambil
dari bahan-bahan yang mahal tetapi yang penting makanan itu
berkhasiat dan tidak memudaratkan kesihatan.
(c)
Elakkan Makan Makanan Yang Tidak Bersih
Islam
menyuruh umatnya memakan makanan yang baik dan melarang
memakan makanan yang tidak bersih. Orang yang mementingkan
kesihatan, sentiasa memastikan makanan yang diperolehi dan
dimakan oleh keluarganya adalah bersih dan halal. Firman
Allah dalam surah an-Nahl ayat 115:
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu
memakan bangkai dan darah, dan daging babi dan binatang yang
disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa
(memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya
dan tidak melampaui batas, (pada kadar benda yang dimakan
itu, maka tidaklah ia berdosa). Sesungguhnya Allah Amat
Pengampun Lagi Amat Mengasihani.”
(d)
Makan Secara Berlebihan Akan Memudaratkan kesihatan
Ibu bapa diingatkan supaya tidak
memberi makanan atau minuman secara berlebihan kepada
keluarganya, tetapi makanan itu hendaklah disediakan secara
sederhana, sekadar memenuhi keperluan tenaga, kesihatan dan
pembesaran. Waktu makan hendaklah diatur dan janganlah
dibiasakan makan tidak tentu masa kerana ia boleh
memudaratkan kesihatan. Dalam hubungan ini Allah S.W.T.
berfirman dalam surah al-A’raf ayat 31:
Maksudnya:
“...Dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu
melampau-lampau. Sesungguhnya Allah tidak suka akan
orang-orang yang melampaui batas.”
(e)
Mencegah Penyakit
Sesebuah
keluarga hendaklah sentiasa melihat tanda-tanda penyakit
yang ada pada keluarganya, supaya ia dapat dicegah lebih
awal. Kanak-kanak dan orang dewasa yang memerlukan imunisasi
hendaklah segera dibawa ke klinik mengikut jadual yang
ditetapkan. Dalam Islam langkah pencegahan penyakit adalah
sangat dititikberatkan. Peka terhadap pencegahan penyakit
adalah antara ciri utama kepada sesebuah keluarga bahagia.
Anak-anak hendaklah sentiasa dididik supaya menjaga
kebersihan dan mengelakkan daripada benda-benda kotor.
Seelok-eloknya di dalam rumah hendaklah disediakan sebuah
kotak pertolongan cemas, sebagai persediaan apabila berlaku
perkara-perkara yang tidak diingini atau kecemasan.
(f)
Menjaga Kebersihan Diri
Satu lagi
unsur penting dalam penjagaan kesihatan ialah menjaga
kebersihan. Kebersihan adalah asas kepada kesihatan. Islam
amat menyukai orang yang cintakan kebersihan serta sentiasa
menjaga kebersihan diri kerana sihat adalah suatu nikmat
Allah yang amat besar nilainya yang perlu dijaga dan
dipelihara. Oleh yang demikian untuk membina keluarga yang
sihat dan sejahtera, kebersihan tubuh badan amat
dititik-beratkan. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya:
Daripada Ibn Abbas r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda,”Mandi
itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang mana pada
setiap tujuh hari, satu hari daripadanya wajib membasuh
kepala dan jasmaninya."
(Riwayat at-Tabarani)
Sabda
Rasulullah s.a.w.
Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w.
bersabda: “Lima perkara yang menjadi fitrah manusia
iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai,
memotong kuku dan mencabut bulu ketiak.”
(Riwayat at-Tabarani)
Dalam
hadith yang lain:
Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, “Rasulullah s.a.w.
memotong kukunya dan mencukur misainya pada hari jumaat
sebelum baginda mengerjakan sembahyang.”
(Riwayat at-Tabarani)
Daripada
ayat al-Quran dan hadith yang dibentang di atas dapat
difahami bahawa membersihkan badan seperti mandi, mencukur
misai, memotong kuku serta mencukur bulu adalah amalan yang
dituntut oleh Islam. Amalan-amalan seperti itu perlulah
dilakukan oleh setiap ahli keluarga kerana ia merupakan
usaha untuk mengelakkan diri daripada mendapat pelbagai
penyakit di samping menjadi lambang kecantikan, kekemasan,
kebersihan dan nilai personaliti orang Islam.
Selain
daripada itu setiap ahli keluarga juga perlu menjauhi
kekotoran yang berpunca daripada najis. Oleh itu Islam
menuntut setiap anak lelaki dan perempuan dikhatankan supaya
terhindar dan jauh daripada kuman atau penyakit yang boleh
memberi kesan kepada kesihatan alat kelamin. Demikian juga
Islam mewajibkan beristinjak atau bersuci untuk membersihkan
diri daripada sebarang najis dan kotoran apabila selesai
membuang air.
Bagi
perempuan yang didatangi haid atau najis, mereka hendaklah
sentiasa menjaga kebersihan diri supaya tidak dicemari oleh
darah haidnya. Mereka hendaklah segera bersuci apabila
tempoh haid atau nifasnya tamat.
Salah satu
bahagian tubuh badan yang perlu dan penting dijaga ialah
rambut. Setiap ahli keluarga perlulah menjaga kebersihan
rambut supaya ia kelihatan kemas dan rapi. Sabda Nabi s.a.w.
Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w.
bersabda, “Sesiapa yang mempunyai rambut maka hendaklah
ia merapikannya.”
(Riwayat Abu Daud)
Rambut
adalah ibarat mahkota seseorang. Oleh yang demikian ia
perlulah dijaga dan diurus dengan sebaik-baiknya, disapukan
minyak atau ubat yang sesuai supaya cantik, bersih dan
menyenangkan mata memandang. Rambut yang berbau busuk amat
mengaibkan.
Setiap ahli
keluarga juga perlu menjaga kebersihan tangan lebih-lebih
lagi ketika hendak menghadapi makanan atau minuman. Sabda
Nabi s.a.w.
Maksudnya:
“Daripada Ibnu Umar r.a. katanya, Rsulullah s.a.w.
bersabda, “Apabila salah seorang daripada kamu hendak
makan, maka hendaklah ia membasuh tangannya.”
(Riwayat Ibnu ‘Adi)
Daripada
hadith di atas, dapat difahamkan bukan tangan sahaja yang
perlu bersih malah termasuklah mata, hidung, mulut, kaki dan
sebagainya, kerana anggota-anggota tersebut adalah termasuk
di dalam anggota-anggota wuduk yang mesti dijaga
kebersihannya.
Selain
daripada kebersihan tubuh badan dan anggota-anggota lahir,
setiap ahli keluarga perlu juga menitik beratkan kebersihan
pakaian. Walaupun tujuan ialah untuk menutup aurat tetapi
kebersihannya perlu juga dijaga. Firman Allah S.W.T. dalam
surah al-Muddathir ayat 4 :
Maksudnya: “Dan
pakaianmu maka hendaklah engkau bersihkan.”
Kebersihan
pakaian menjadi salah satu daripada syarat sah ibadat
sembahyang. Oleh yang demikian ia perlu dijaga supaya tidak
terkena sebarang kekotoran dan najis. Keluarga yang bahagia
adalah terdiri daripada individu-individu yang sentiasa
menghiasi diri dengan pakaian kemas dan bersih. Kebersihan
pakaian juga adalah lambang personaliti mulia seseorang
Islam.
6.
Mengukuh dan Menjaga Ekonomi Rumahtangga
Sesuatu
yang tidak dapat dinafikan bahawa wang dan harta adalah satu
keperluan dalam kehidupan rumahtangga, lebih-lebih lagi
apabila menghadapi zaman yang serba mencabar ini. Pada hari
ini boleh dikatakan hampir keseluruhan keperluan hidup
memerlukan wang. Oleh sebab itulah Islam menyuruh umatnya
supaya kuat bekerja mencari wang dan harta, membina
kehidupan yang maju dan kuat supaya dunia ini dipenuhi
dengan kemakmuran.
Dalam
rumahtangga, bapa sebagai ketua keluarga perlu menyedari
hakikat ini. Di samping menyediakan bekalan ilmu dan
pendidikan kepada anak isteri supaya hidup mereka
terbimbing, dia juga harus kuat berusaha mencari wang dan
harta agar dengan wang dan harta itu keluarganya dapat
memenuhi sekurang-kurangnya tiga keperluan asasi kehidupan,
iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Bekerja mencari
wang dan rezeki, selain untuk memenuhi keperluan hidup, juga
dapat menguatkan sesuatu umat, sebab apabila sesebuah
keluarga itu mantap ekonominya, ia akan membantu menguatkan
kedudukan bangsa dan negaranya.
Selain
memperkukuhkan kedudukan ekonomi rumahtangga, setiap
keluarga juga mestilah menguruskan soal-soal perbelanjaan
dengan betul dan terancang. Perkara-perkara yang menjadi
tegahan agama seperti pambaziran, berbelanja dengan
berlebih-lebihan sehingga menimbulkan rasa riya’ atau
membeli barang-barang yang tidak perlu dan seumpamanya
hendaklah dielakkan. Islam menyuruh umatnya supaya hidup
secara sederhana dan sentiasa berjimat cermat. Rezeki yang
diperolihi itu sepertiga daripadanya hendaklah dibelanjakan
untuk maksud nafkah, satu pertiga untuk maslahat umum
seperti zakat, sedekah dan seumpamanya dan sepertiga lagi
ialah untuk tabungan. Untuk menjamin hidup masa depan,
budaya menabung perlu diamalkan dalam keluarga kata pepatah
“beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.”
7.
Mewujudkan Keselesaan Dan Keindahan Dalam Rumahtangga
Rumah
adalah tempat sesebuah keluarga menikmati hidup. Keselesaan
dalam rumah amat mustahak kerana kebahagiaan keluarga itu
bermula dari rumah. Setiap keluarga mestikah mewujudkan
suasana yang harmoni dan selesa dalam rumahnya. Maksud
keselesaan di sini ialah keselesaan yang memungkinkan setiap
anggota keluarga mempunyai bilik tidur yang cukup, ruang
rehat yang selesa, mempunyai sistem peredaran dan pertukaran
udara di setiap ruang rumah dan lain-lain keperluan seperti
ruang dapur, tandas dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w.
Maksudnya:
“Daripada Saad r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Empat
perkara yang membawa kebahagiaan iaitu Wanita yang baik
(solehah), tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan
kenderaan yang baik.”
(Riwayat al-Baihaqi)
Dalam Islam
telah ditentukan bahawa kanak-kanak mempunyai tempat
tidurnya sendiri. Oleh itu menjadi tanggungjawab ibu bapa
melatih kanak-kanak tidur berasingan apabila mereka mencapai
umur sepuluh tahun. Di waktu itu tempat tidur anak lelaki
dan anak perempuan hendaklah diasingkan supaya tidak timbul
sesuatu perkara yang tidak baik. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya:
Daripada Ibnu Amr r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Suruhlah
anak kamu menunaikan sembahyang apabila mereka berumur tujuh
tahun dan pukullah mereka (jika mereka enggan sembahyang)
apabila berumur sepuluh tahun, dan asingkan tempat tidur
mereka.”
(Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Selain
daripada mempunyai ruang-ruang yang cukup, hiasan rumah
adalah satu ciri penting untuk mewujudkan keluarga bahagia
dan menjadikan rumah itu sebuah syurga. Ini kerana setiap
insan di dunia ini inginkan sesuatu yang indah., cantik dan
menarik. Hal ini adalah selaras dengan anjuran Islam kerana
agama Islam sendiri amat mementingkan aspek keindahan dan
kebersihan, sebagaimana sabda Nabi s.a.w.
Maksudnya:
Daripada Ibnu Mas’ud r.a. katanya, Rasulullah s.a.w.
bersabda: “Sesungguhnya Allah itu cantik Ia sangat
sukakan yang indah dan cantik.”
(Riwayat Muslim dan At-Tirmizi)
Keindahan
dan kebersihan yang dituntut oleh Islam adalah daripada
semua aspek bukan sahaja tertumpu kepada aspek keindahan dan
kebersihan alam sekitar, bandar dan pejabat-pejabat sahaja
malah termasuklah keindahan dan kebersihan dalam rumahtangga
dan sekitarnya. Amalan menjaga kebersihan adalah bermula
daripada rumahtangga dan apabila dihayati dengan sepenuhnya
akan wujudlah amalan penjagaan kebersihan di luar rumah.
Oleh yang
demikian untuk mencapai kebahagiaan bagi sesebuah institusi
keluarga dan seterusnya menjadikan rumahtangga itu sebagai
syurga perlulah menghayati prinsip-prinsip yang telah
ditentukan oleh Islam seperti berikut:
(a)
Sentiasa Menjaga Keindahan Dan kebersihan Dalam dan Luar
Rumah
Rumahtangga
yang bahagia ialah rumahtangga yang sentiasa menjaga
keindahan dan kebersihan di dalam dan di luar rumah agar ia
kelihatan cantik dan menarik serta dapat memberi
ketenteraman dan kenikmatan kepada penghuni rumah. Amalan
menjaga keindahan dan kebersihan persekitaran rumah adalah
satu amalan yang baik dan mulia. Sekiranya umat Islam tidak
menjaga dan mengambil berat terhadap perkara tersebut,
mereka akan hidup di dalam suasana yang tidak selesa, gundah
gulana dan tidak tenteram. Sabda Nabi s.a.w.:
Maksudnya:
Daripada Saad r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bersihkan
halaman-halaman kamu, kerana sesungguhnya orang Yahudi tidak
membersihkan halaman-halaman rumahnya.”
(Riwayat at-Tabarani)
Kebersihan
kawasan dan halaman rumah adalah penting untuk mengelak
daripada sebarang bentuk pencemaran seperti bau busuk, asap,
sampah sarap, pokok-pokok liar, takungan air yang tidak
terurus dan sebagainya. Halaman rumah sewajarnya dihiasi
dengan tumbuh-tumbuhan yang rendang, pokok-pokok bunga yang
berwarna-warni serta harum baunya dan pohon-pohon hijau yang
merimbun bagaikan taman-taman yang indah dan mempesona,
rapi, teratur dan bersih. Keadaan ini harus dikekalkan
supaya ahli keluarga sentiasa dapat menikmatinya.
Persekitaran yang indah dan bersih juga perlu bagi
pertumbuhan fizikal dan jiwa anak-anak. Persekitaran yang
kotor bukan sahaja boleh menyebabkan pelbagai penyakit,
malah mereka yang tidak mampu untuk mewujudkan hiasan luaran
yang mungkin memerlukan belanja yang agak besar, memadailah
dengan menjaga kebersihannya.
(b)
Menghiasi Rumah Dengan Peralatan Dan Perhiasan Yang Diredhai
Allah S.W.T.
Untuk
menjadikan rumah itu sebagai syurga, ia perlulah dihiasi
dengan perhiasan dan peralatan supaya dapat meyerikan lagi
suasana dalaman sesebuah rumah. Sebaik-baik peralatan dan
perhiasan ialah yang sederhana, kerana Islam menuntut
umatnya supaya melakukan sesuatu perkara itu mengikut
kemampuan masing-masing. Janganlah terlalu boros sehingga
menyebabkan berlakunya pembaziran dan membebankan seseorang.
Sabda Rasulullah s.a.w.
Maksudnya:
Dari Ibnu Al-Harith r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda,
"... dan sebaik-baik perkara ialah secara
sederhana.”
(Riwayat al-Baihaqi)
Peralatan
dan perhiasan dalam rumah hendaklah disusun dengan kemas dan
rapi supaya ia kelihatan cantik dan meyerikan. Ia akan dapat
menawan hati setiap ahli keluarga tinggal dengan aman dan
bahagia. Hiasilah ruangan dalaman rumah dengan
barang-barang, ukiran atau gambar-gambar yang diredhai Allah
S.W.T. Jauhilah daripada menghiasi rumah dengan benda-benda
yang diharamkan oleh Allah S.W.T. Rumah-rumah yang dihiasi
dengan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim dan hiasan-hiasan
lain yang bermanfaat yang diredhai oleh Allah S.W.T. akan
mendapat berkat dan rahmat daripada Allah S.W.T.
8.
Berkomunikasi Secara Baik
Hubungan
antara individu dalam keluarga adalah penting untuk menjamin
keharmonian di dalam rumahtangga. Aspek hubungan antara
individu atau komunikasi ini amat dititik beratkan oleh
Islam. Firman Allah S.W.T. dalam surah Ali Imran ayat 122:
Maksudnya: “Mereka
ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja
mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan
adanya sebab dari manusia..."
Di dalam
ayat di atas jelas menunjukkan unsur perhubungan amatlah
penting untuk menjamin manusia mencapai kebahagiaan. Ketika
seimbang aspek ini akan membawa kepincangan.
Secara
mudah komunikasi dapatlah difahamkan sebagai satu proses
interaksi antara dua orang atau lebih. Hasilnya manusia akan
memperolehi persefahaman, kesenangan, perubahan sikap,
perhubungan yang baik dan tindakan yang harmoni.
Untuk
mencapai tahap kesempurnaan di dalam sesebuah keluarga,
setiap ahli keluarga hendaklah memahami diri dan peranan
masing-masing. Peranan seorang bapa berbeza dengan peranan
seorang anak. Bapa mempunyai tugas untuk memastikan
keperluan fizikal dan spiritual keluarganya dipenuhi. Dalam
konteks ini, setiap individu hendaklah mengetahui kelebihan
dan kelemahan diri masing-masing. Saiyidina Umar r.a. pernah
berkata:
“Hisablah
diri kamu sebelum kamu dihisab. Kesedaran dan penerimaan
seseorang tentang sifat dirinya menjadikan ia dapat
melaksanakan fungsi perhubungan dengan lebih sempurna.”
Seorang
bapa bertanggungjawab menjaga kesejahteraan ahlinya. Menurut
sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Amr, Rasulullah
s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
Daripada ibnu amr r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap
kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab
kepada jagaannya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dengan
menerima hakikat ini menjadikan bapa berkenaan berusaha
untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut secara ikhlas.
Implikasinya beliau akan menjalin hubungan dengan orang lain
lebih bermakna. Berikutan dari itu persoalan apakah kesan
perlakuan kita terhadap orang lain juga penting. Apakah akan
berlaku kepada sesebuah keluarga jikalau seorang bapa tidak
melaksanakan tugas tersebut. Begitulah juga dengan peranan
ibu dan anak. Ia harus di laksanakan dengan berkesan kerana
dengan terlaksana peranan dan tanggungjawab komunikasi yang
baik, ia akan mengelakkan sesebuah keluarga daripada
konflik.
Bagi
mengekal dan meningkatkan perhubungan di dalam keluarga,
aspek kemahiran komunikasi adalah penting. Kebanyakan orang
tidak begitu peka dengan keperluan ini. Malah agak malang
terdapat golongan yang merendahkan unsur komunikasi ini.
Mungkin sikap ini ada hubungan dengan yang kurang tepat
berkenaan hadith Rasulullah s.a.w.
Maksudnya:
“Daripada Amirul Mukminin Abi hafs Umar bin Al-Khattab
katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap
perkara itu adalah berdasarkan niat.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Daripada
fahaman hadith di atas apa yang penting ialah niat. Jikalau
niat seseorang mahu menyakiti seseorang sudah cukup baginya
tidak menegur sapa atau tersenyum kepada seseorang. Maka
terjadilah di dalam sesebuah keluarga kurang bertegur sapa
dan gurau senda. Seorang bapa seharusnya pandai mengambil
hati isteri dan anak-anak serta memilih cara yang baik untuk
membuat teguran. Begitu juga dengan anak sepatutnya
mempunyai cara yang paling baik untuk berkomunikasi dengan
ibu dan bapa mereka.
Untuk
mencapai keharmonian di dalam perhubungan keluarga adalah
satu perkara yang agak sukar. Begitu juga usaha untuk
mengekalkan tahap perhubungan yang bermakna antara ahli
keluarga. Kadang-kadang keharmonian perhubungan dapat
dinikmati hanya untuk suatu tempoh masa sahaja, selepas itu
perhubungan menjadi masalah yang serius kepada ahli
keluarga. Dalam hubungan ini motivasi adalah perlu. Motivasi
ialah suatu daya untuk meningkatkan pencapaian di dalam
sesuatu aspek. Jikalau di dalam soal perhubungan
kekeluargaan apakah jambatan yang menjadikan ahli keluarga
berupaya mengekalkan keharmonian. Inilah soalan yang perlu
dicari jawapannya oleh setiap ahli keluarga.
Suatu perkara yang tidak kurang
penting di dalam rumah ialah kebolehan ahli-ahli keluarga
berkenaan menyelesaikan konflik di antara ahli-ahli. Kadang
kala berlaku seorang bapa tidak mengambil berat masalah yang
dihadapi oleh anak-anak. Ini menjadikan anak-anak
beranggapan bapanya tidak mengambil berat tentang diri
mereka. Sikap bapa yang sedemikian menimbulkan perasaan
tidak senang hati di kalangan ahli rumah. Anak akan
menjauhkan diri dari keluarga. Di dalam hal tertentu bapa
akan bertindak terhadap kesalahan anak-anak. Jikalau ini
berlaku konflik akan timbul dan berkembang dalam keluarga
berkenaan.
Dalam
keadaan demikian bapa sebagai ketua keluarga hendaklah
mengambil inisiatif mendekati anak dan cuba memahami masalah
yang dihadapi oleh mereka. Pendekatan yang harus digunakan
ialah pendekatan ‘hikmah’ iaitu pendekatan yang
berasaskan keadaan yang diharuskan oleh syarak. Di dalam
kebanyakan hal bolehlah dikatakan pendekatan tanpa paksaan
dan kekerasan, tetapi ini tidak bererti kedua pendekatan ini
bukan dari method hikmah.
9.
Mewujudkan Pergaulan Suami isteri Yang Baik
Kasih
sayang dan toleransi dalam keluarga adalah penting.
Kedua-dua elemen ini perlu diwujud dan disuburkan dalam
sesebuah keluarga bagi melahirkan kedamaian, kesejahteraan
dan kebahagiaan.
Pembentukan
keluarga bermula dengan ikatan perkahwinan antara suami dan
isteri. Suami dan isteri perlulah meletakkan aspek kasih
sayang dan belas kasihan, sebagai asas dalam kehidupan
berumahtangga. Tanpa kasih sayang dan belas kasihan, sesuatu
ikatan perkahwinan itu tidak menuju ke istana bahagia
seperti yang diharapkan, malah ia akan mengubah haluan
kepada kehancuran. Firman Allah di dalam al-Quran, surah
ar-Rum ayat 21, iaitu:
Maksudnya:
“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-NYA dan
rahmat-NYA bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum
lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu
bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikannya di
antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas
kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi
orang-orang yang berfikir.”
Kasih
sayang dan belas kasihan atau “mawaddah wa rahmah”
seperti yang disebutkan di dalam ayat di atas memberi maksud
bahawa perhubungan ibu bapa sebagai suami isteri hendaklah
berdasarkan kepada lunas-lunas keredhaan Allah S.W.T.,
sentiasa kasih mengasihi, bertolak ansur, memperbanyakkan
sabar, tabah di dalam menghadapi gelora rumahtangga dan
menjadikan sifat suka bermaaf-maafan sebagai amalan yang
berterusan. Sehubungan ini juga Allah telah memberikan
panduan sepertimana yang termaktub dalam al-Quran surah
an-Nisa’ ayat 19:
Maksudnya: “...
Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu)
dengan cara yang baik. Kemudian, jika kamu (merasai) benci
kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah pula
kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu
bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa
yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”
Pergaulan
yang baik atau “mu’asyarah bil-ma’ruf” seperti yang
disebutkan di dalam ayat di atas bererti pergaulan dan hidup
bersama secara baik dan diredhai Allah, jauh daripada
kemungkaran, kemaksiatan, penganiayaan, kezaliman dan
seumpamanya.
10.
Mewujudkan Hubungan Baik Ibu Bapa Dengan Anak
Apabila
perhubungan antara ibu dan bapa dapat di bentuk dalam
keadaan “ma’ruf” (baik) maka benih kasih sayang pasti
akan bertunas dan bercambah ke dalam ahli keluarganya.
Anak-anak yang melihat canaian kasih sayang antara ibu dan
bapa mereka akan turut sama mengamali dan menikmati
kemanisan serta kelazatan suasana itu. Justeru itu
menjadikan ibu bapa mereka sebagai model dalam jiwa dan
kehidupan mereka sendiri.
Kasih
sayang dan belas kasihan ibu bapa terhadap anak-anak
sebenarnya bermula dalam kandungan lagi. Bagi ibu-ibu yang
sedang mengandung, mereka digalakkan memakan makanan yang
baik dan berzat, mengamalkan tingkah laku yang mulia, selalu
membaca al-Quran, sentiasa berdoa kepada Allah memohon
kebaikan kepada anaknya dan lain-lain amalan kebaikan
seperti yang diperintahkan oleh Islam. Begitu juga bagi
bapa, mereka hendaklah sentiasa mendampingi isteri mereka,
sama-sama berkongsi kesukaran dan penderitaan yang dialami
oleh isteri, tidak berlaku kasar dan benci kepada isteri dan
sentiasa berdoa kepada Allah memohon keselamatan kepada
isteri dan bayi yang bakal dilahirkan. Begitulah seterusnya
apabila anak itu lahir ke dunia, kasih sayang perlu
diberikan supaya pembentukan syakhsiah mereka menjurus ke
arah manusia yang sempurna, berakhlak mulia seterusnya dapat
mengharungi kehidupan ini dengan sebaik-baiknya.
Tidak
dinafikan bahawa Rasulullah s.a.w. adalah contoh yang paling
ideal dan tepat untuk diikuti. Ibu bapa seharusnya menyedari
hakikat ini dan berazam mengamalkan segala kebaikan untuk
keluarga mereka. Dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w.
seperti yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi daripada Aisyah
r.a., sabda baginda:
Maksudnya:
“Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik kepada ahli
keluarganya dan akulah sebaik-baik di antara kamu kepada
ahli keluargaku.”
(Riwayat at-Tirmizi)
Dalam
sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan
Al-Hakim daripada Aisyah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
"Sesungguhnya antara sifat-sifat yang boleh
menjadikan seseorang itu sempurna imannya ialah yang
berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli
keluarganya."
(Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim)
11.
Mewujudkan Hubungan Baik Anak Dengan Ibu Bapa
Anak wajib
berbuat baik terhadap ibu bapanya. Sekiranya tidak, ia telah
melakukan satu dosa. Di dalam al-Quran tidak terdapat
perintah khusus agar seseorang bapa mengasihi anaknya,
tetapi sebaliknya yang lebih banyak ialah perintah kepada
anak supaya mengasihi ibu bapa. Sebab yang demikian ialah,
walaupun tidak diperintah untuk mengasihi anak, secara
otomatis ibu bapa tentu mengasihi anaknya. Seorang bapa,
apatah lagi ibu, amat sayang kepada anaknya sehingga ia
sanggup berkorban apa saja demi keselamatan dan
kesejahteraan anaknya. Ia sanggup bersusah payah bekerja
siang dan malam, menggerakkan segala usaha dan tenaga,
dimana semuanya itu adalah untuk kebahagiaan anaknya. Maka
wajarlah anak berbuat baik terhadap ibu bapa.
Mungkin
seorang anak akan bertanya, bagaimana ia harus berbuat baik
terhadap ibu bapanya. Dalam hal ini Imam Ghazali telah
menggariskan dua belas panduan, iaitu:
- Mendengar
kata mereka.
- Berdiri
apabila mereka berdiri kerana menghormati.
- Taat
perintah mereka selagi mereka tidak menyuruh membuat
perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T.
- Tidak
melintas di hadapan mereka, tetapi hendaklah berjalan di
sisi atau di belakang kecuali atas perintah mereka untuk
sesuatu maksud.
- Tidak
meninggikan suara melebihi suara mereka.
- Menjawab
panggilan mereka dengan suara yang lembut.
- Sentiasa
memelihara dan merawat apabila mereka sakit. Jangan
sampai melakukan sesuatu yang melanggar keredhaan mereka
baik dalam sikap, perkataan ataupun perbuatan.
- Merendah
diri dengan sopan dan lemah lembut serta sentiasa
berusaha meringankan beban mereka.
- Tidak
melakukan sesuatu kebaikan kepada mereka atas dasar
membalas jasa melainkan atas dasar kewajipan demi
keredhaan mereka dan keredhaan Allah S.W.T.
- Tidak
memandang mereka dengan menjeling, mengerling, marah
atau masam muka.
- Tidak
bermuram hati apabila menghadapi wajah mereka.
- Tidak
keluar rumah sama ada jauh atau dekat kecuali dengan
izin mereka.
12. Memupuk
Kasih Sayang Dan Toleransi Dalam Keluarga
Banyak cara
boleh dilakukan bagi mewujudkan perasaan kasih sayang dan
semangat toleransi di dalam keluarga. Cara utama ialah
melalui pengetahuan dan didikan agama yang cukup. Selain
melalui pendidikan secara formal yang diterima di
sekolah-sekolah, setiap ahli keluarga perlu dibentuk dan
ditanamkan dengan perasaan kasih sayang dan semangat
toleransi melalui tunjuk ajar, contoh teladan, nasihat dan
kaunseling serta kawalan yang berkesan. Mereka bukan sahaja
disuruh supaya sayang menyayangi sesama ahli keluarga,
malah juga kepada binatang peliharaan dan harta benda di
rumah. Mereka hendaklah selalu diberi ingat bahawa Allah
sangat suka kepada orang-orang yang mempunyai perasaan kasih
sayang, suka bekerjasama dan tolong-menolong sesama sendiri.
Sebaliknya
Allah benci kepada orang-orang yang sering bergaduh,
bermusuh-musuhan, tidak mahu bekerjasama dan benci membenci
sesama sendiri. Sekiranya berlaku perkara-perkara yang boleh
merosakkan hubungan kasih sayang di dalam sesebuah keluarga,
setiap ahlinya terutamanya ibu bapa hendaklah segera mencari
jalan mengatasinya.
Jelaslah
bahawa kasih sayang dan semangat toleransi adalah sangat
penting dalam sesebuah keluarga. Sekiranya tiap-tiap rumpun
keluarga itu tidak mewujudkan satu ikatan yang baik dan
harmoni, maka kedudukan sesebuah masyarakat itu akan
pincang, justeru bangsa dan negara menjadi lemah. Apabila
situasi ini berlaku kemajuan tidak akan dapat dicapai dan
masyarakat penyayang tidak dapat diwujudkan. Begitulah
pentingnya peranan yang perlu dimainkan oleh setiap ahli
keluarga bagi mencapai hasrat yang dicita-citakan.
KESIMPULAN
Rumahku
Syurgaku adalah satu wawasan Islam yang berteraskan ajaran
yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Rumahtangga sebagai satu komponen utama dalam pembentukan
sesebuah masyarakat mesti disempurnakan melalui piawai yang
sesuai dengan ajaran Islam dan keperluan rohani dan jasmani
manusia. Untuk mencapai taraf syurga bagi sesebuah
rumahtangga, maka semua rukun atau piawai yang disebutkan
perlulah dipenuhi dengan sebaik mungkin. Ia tidak memerlukan
perancangan yang rapi dan sikap positif untuk
melaksanakannya. Setiap yang gagal memenuhi rukun-rukun dan
piawai-piawai tersebut, maka rumahtangganya belumlah dapat
mencapai tahap kebahagiaan sebagaimana yang dituntut oleh
Islam.
|