Empat Lagi Maahad Tahfiz Negeri Meterai Memorandum Persefahaman Dengan Darul Quran

<?xml:namespace prefix = o ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:office" />

Darul Quran JAKIM telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan empat lagi Maahad Tahfiz al-Quran Negeri (MTQN) yang membolehkan semua pihak bekerjasama bagi melaksanakan program pendidikan tinggi tahfiz al-Quran. Majlis menandatangani memorandum persefahaman itu telah diadakan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Putrajaya pada 18 Mei lalu.

 

Antara MTQN yang menandatangani memorandum tersebut ialah Institut Tahfiz al-Quran Negeri Sembilan (Jabatan Hal Ehwal Negeri Sembilan), Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah), Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Kelantan (Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan) dan Institut Al-Quran Negeri Terengganu.

 

Darul Quran telah diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Y.Bhg Ustaz Othman Bin Mustapha manakala MTQN Negeri Sembilan diwakili oleh Y.Bhg Tuan Hj. Selamat Bin Paigo, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam N. Sembilan. MTQN Sabah pula diwakili oleh Y.Bhg Tuan Hj. Amri Ali Aman Bin Suratman, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, manakala MTQN Kelantan dan Terengganu masing-masing diwakili oleh Y.Bhg Tuan Hj. Che Hamat Bin Che Muda, Setiausaha Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Y.Bhg En. Lothman Bin Awang, Pendaftar Institut Quran Terengganu.

 

Majlis ini telah disaksikan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Y.Bhg Dato’ Hj. Wan Mohamad Bin Dato’ Sheikh Abd Aziz. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan JAKIM, Y.Bhg En. Mohd Noor Bin Abdul Hamid, dan Pengarah Darul Quran, Y.Bhg Us. Che Ibrahim Bin Che Man.

 

Ketua Pengarah JAKIM dalam ucapan alu-aluannya di majlis menandatangani MoU itu menyatakan penghargaan kepada semua negeri yang bersetuju memeterai memorandum persefahaman dengan Kerajaan Malaysia yang diwakili JAKIM. Beliau berharap agar kerjasama seumpama ini akan memberi manfaat kepada semua pihak terutama dalam usaha untuk meletakkan institusi tahfiz al-Quran setaraf dengan institusi pengajian lain di negara ini.

 

Menurut beliau lagi, JAKIM sentiasa memperhebatkan usaha memastikan kualiti akademik di Darul Quran pada tahap terbaik. Selain daripada itu, beliau menegaskan bahawa kerjasama yang erat antara JAKIM dan agensi di peringkat negeri amat diperlukan sebagai pemangkin ke arah pembentukan institusi tahfiz yang mapan.

 

Melalui memorandum persefahaman ini, pihak MTQN akan menggunakan kurikulum Darul Quran yang tertakluk kepada peraturan-peraturan pengajian dan akademik yang telah diluluskan oleh Lembaga Darul Quran. Kerjasama ini antara lain turut meliputi hal-hal yang berkaitan dengan peperiksaan di mana Darul Quran dipertanggungjawabkan untuk menyediakan soalan, memeriksa skrip jawapan dan mengeluarkan keputusan peperiksaan bagi semua MTQN. Pada masa yang sama Darul Quran akan melakukan penaziran akademik dan peperiksaan bagi membantu usaha untuk meninggikan mutu pengajaran dan pembelajaran di peringkat MTQN.

 

 

 

 

 

 

 

 

iqua?,?serif?; mso-bidi-font-family: ?Courier New?; MS; mso-no-proof: no?>