BERDAKWAH DALAM ERA MULTIMEDIA

(Kertas kerja yg. telah dibentangkan dalam Seminar 'Islam dan Multimedia' di IKIM)

Oleh : Datuk Hj. Mohamad Shahir bin Hj. Abdullah

1. PENDAHULUAN:

1.1. Alhamdulillah saya bersyukur kehadrat Allah dan berterima kasih kepada pihak penganjur yang telah memberikan peluang dan kepercayaan kepada saya untuk turut serta dalam seminar ini serta mengemukakan sebuah kertas kerja yang bertajuk 'Berdakwah Dalam Era Multimedia'. Mudah-mudahan kertas ini akan menjadi asas perbincangan yang berguna untuk memberi sumbangan yang lebih berkesan dalam melaksanakan tugas berdakwah. Saya memohon maaf atas apa-apa kekurangan dan kelemahan yang ada dan diharap kerjasama semua pihak yang mungkin menyempurnakan maksud dan tujuan seminar ini.

2. DEFINASI:

2.1. Untuk menjelaskan skop perbincangan dalam kertas ini, maka terlebih dahulu diterangkan definasi dua perkara asas dalam tajuk kertas ini, iaitu dakwah dan multimedia. Dakwah ialah 'usaha menyampai, mengajak atau menyeru manusia kepada mengenali Islam, menerima dan menghayatinya yang dilaksanakan menerusi kaedah, cara dan pendekatan tertentu'. Manakala multimedia pula ada beberapa definasi telah diberikan, antaranya ialah 'Penggunaan dua atau lebih jenis/bentuk media (video bergerak, audio, gambar, grafik, animasi, teks dan sebagainya) untuk menyampaikan maklumat'.

2.2. Jadi, apabila membicarakan mengenai berdakwah dalam era multimedia, maka ianya akan menyentuh samada penggunaan multimedia ini dibenarkan oleh Islam atau tidak dan apakah sikap pendakwah mengenainya serta apa pula masalah yang perlu diatasi berhubung dengan penggunaan multimedia dalam berdakwah.

3. MEDIA DAKWAH:

3.1. Kalau dilihat dan diikuti perkembangan Islam dari dahulu sampai sekarang, ternyata bahawa para da'i khususnya dan umat Islam umumnya tidaklah mengggunakan sesuatu media tertentu, dan nampaknya tidak pula menghadkan kepada hanya sesuatu media tertentu saja yang boleh digunakan dan dipakai dalam menyampaikan dakwah Islamiah di seluruh dunia ini.

3.2. Di Malaysia sejak dari dahulu lagi dakwah Islamiah telah disampaikan melalui lisan dan tulisan yang disebarkan kepada individu dan kumpulan, secara bersemuka atau menerusi penyebaran bahan-bahan tulisan dan sebagainya, malah selari dengan perkembangan zaman yang dilaluinya, dakwah Islamiah turut disebarkan menerusi filem, video, kaset dan sebagainya. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dalam aktiviti dakwahnya telah menggunakan teknologi terkini termasuklah penggunaan internet.

3.3. Malah jika diteliti, penggunaan media elektronik terutama radio dan telivisyen sebagai media dakwah telah dipelopori dan dilaksanakan oleh kerajaan sendiri. Program-program yang disiarkan telah mendapat sambutan dan penerimaan yang hangat menyeluruh dari kalangan penontonnya.

3.4. Kini tamadun manusia terus membawa dan memperkenalkan kemajuan media yang lebih canggih dan diterima umum dan sekarang mereka berada dalam era yang dikenali sebagai era multimedia. Malaysia sendiri telah menerima kehadiran teknologi ini dan telah memperuntukkan sejumlah wang yang banayak untuk menjayakannya. Penguwujudan Koridor Raya Multimedia adalah bukti nyata penerimaan tersebut.

3.5. Melihat kepada sejarah lalu dan penerimaan umat Islam dalam menggunakan berbagai media yang wujud disepanjang zamannya, maka penerimaan multimedia sebagai alat berdakwah pada masa ini bukanlah suatu yang salah dan ditegah, malah adalah wajib selagi penggunaannya selari dengan ajaran Islam yang mulia.

3.6. Jadi, yang pentingnya ialah kesedaran umat Islam bahawa Islam tidak menghadkan kepada umatnya untuk menggunakan apa jua media yang boleh memberi kejayaan dalam usaha berdakwah di kalangan umat manusia seluruhnya.

4. CABARAN:

4.1. Sepanjang pelaksanaan dakwah di Malaysia, terdapat beberapa cabaran yang terpaksa dihadapi. Cabaran-cabaran itu ada yang berupa penyebaran ajaran salah dan menyeleweng, ajaran kepercayaan agama yang lain dari Islam dan pendedahan nilai-nilai serta budaya hidup yang negatif dan bertentangan dengan ajaran Islam. Penyebaran bahan-bahan ini ada dijalankan secara bersemuka dan tidak kurang juga yang menggunakan media cetak dan elektronik.

4.2. Bagi mengatasi pengaruh ajaran dan pendedahan bahan berunsur negatif tersebut, kerajaan telah menggunakan berbagai langkah untuk menerangkan kepada masyarakat umat

Islam mengenai ajaran Islam yang sebenarnya, supaya mereka tidak terpengaruh dan terperangkap dalam belenggu ajaran salah dan tidak berakhlak.

4.3. Selain dari itu kerajaan juga menguatkuasakan peraturan yang membolehkan bahan-bahan tersebut khususnya yang diimport disemak dan ditapis terlebih dahulu sebelum ianya dibenarkan untuk diedar bagi dibaca, didengar dan ditonton oleh rakyat

umum. Pada peringkat itu kawalan terhadap apa jua unsur yang tidak digemari dan bercanggah dengan kepentingan negara dan keselamatannya dapat dijalankan dengan berjaya dan berkesan.

4.4. Sekarang, kekebalan ini nampaknya kurang mampu dipertahankan sepenuhnya apabila teknologi canggih dan penggunaan multimedia terutama internet berkembang dengan pesatnya di dunia hari ini. Kini umat Islam khususnya di Malaysia terdedah kepada penyebaran maklumat yang salah mengenai Islam dan terdedah kepada nilai-nilai negatif yang bertentangan dengan ajaran Islam.

4.5. Oleh itu rakyat Malaysia, terutamanya umat Islam, mahu atau tidak mahu, terpaksa menyahut cabaran ini. Yang pastinya, umat Islam tidak boleh menyerah kalah dan membiarkan arus perkembangan ini berlalu dan mengancam mereka begitu sahaja. Sebaliknya dengan keazaman dan keyakinan yang penuh mereka turut menguasai dan mengambil manfaat daripadanya.

5. MASALAH:

5.1. Masyarakat umat Islam mestilah menerima bahawa multimedia adalah penting dalam penyebaran dakwah Islamiah pada masa ini. Namun dalam mempastikan ianya benar-benar berfungsi dan berkesan, ada beberapa masalah yang mesti diatasi. Masalah-masalah itu ada yang berkaitan dengan peribadi, struktur organisasi dan hubungan kerjasama antara berbagai pihak yang terlibat.

5.1.1. Penguasaan Ilmu:

i. Masalah yang agak ketara kini ialah kurangnya tenaga pendakwah yang mampu menggunakan teknologi ini. Akibatnya mereka lambat menyesuaikan diri samada untuk menyedia dan menyebar bahan-bahan dakwahnya dan juga lambat untuk memberi jawapan kepada berbagai masalah yang ditimbulkan menerusi media ini.

ii. Kurang keupayaan dalam menguasai bahasa Inggeris, juga merupakan masalah yang menyebabkan penggunaan multimedia kurang diminati oleh kalangan para da'i dan ulama Islam di negara ini. Sikap ini mungkin ada hubungan dengan apa yang terdapat dalam pepatah Melayu 'Tak kenal maka tak cinta'.

iii. Disamping terdapat dua masalah penting di kalangan para da'i dan ulama, maka satu lagi masalah yang tidak juga kurang pentingnya ialah kelemahan penguasaan ilmu Islam di kalangan pakar dan pengguna multimedia ini. Kekurangan ini menyebabkan mereka cuba mengelakkan diri dari terlibat secara aktif dalam kegiatan dakwah Islamiah. Sikap sedemikian boleh melambatkan kerja-kerja berdakwah terutama dalam masalah yang memerlukan tindakan yang cepat dan tepat.

5.1.2. Kurang Kerjasama:

i. Kejayaan sesuatu usaha, lebih-lebih lagi dalam pengggunaan teknologi moden lebih bergantung kepada sejauhmana kerjasama boleh diwujud dan ditingkatkan antara beberapa individu, beberapa institusi, beberapa organisasi dan sebagainya. Demikian juga sekiranya kejayaan berdakwah dalam era multimedia ini mahu dicapai dan dini'mati bersama.

ii. Nampaknya pada masa ini ada beberapa insitutusi dan organisasi Islam telah mengambil peluang dan menggunakan laman-laman web internet sebagai saluran dakwahnya. Masing-masing mempunyai 'home pagi'nya sendiri. Institut Kefahaman Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri Selangor dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia adalah antara institusi dan organisasi Islam di Malaysia yang memberi sambutan yang terawal terhadap penguasaan multimedia ini; namun yang lebih penting dari itu ialah kerjasama yang lebih berkesan dan terarah dapat dibangunkan.

iii. Pada masa ini, belum nampak adanya suatu kerjasama dan penyelarasan yang berkesan di antara institusi dan organisasi tersebut dalam memenuhi keperluan masyarakat mengenai ajaran Islam dan dalam menangani isu-isu yang bertentangan dengan Islam yang disalurkan menerusi internet.

iv. Sepatutnya sudah ada suatu kerjasama dan penyelarasan yang berkesan yang sekurang-kurangnya melibatkan pembahagian tugas yang jelas antara berbagai institusi dan organisasi tersebut. Jika ini dapat dilakukan ianya akan menyemarakkan lagi kerja-kerja dakwah di negara ini.

5.1.3. Kurang Kefahaman:

i. Pada masa ini masih terdapat lagi kefahaman yang salah di kalangan umat Islam di negara ini mengenai tugas dan tanggungjawab berdakwah yang diletakkan oleh Islam ke atas bahu mereka. Masih ada yang beranggapan bahawa tugas menjalankan dakwah adalah 'fardhu kifayah' semata-mata dan hanya wajib ke atas mereka yang bergelar ustaz dan ulama sahaja, manakala yang lainnya tidak wajib. Fahaman ini mengakibatkan mereka kurang aktif lalu mengambil sikap berdiam diri atau berlepas tangan dari tugas-tugas berdakwah.

ii. Pada hakikatnya menjalankan tugas berdakwah adalah wajib 'fardhu 'ain' atas setiap orang Islam. Ertinya bahawa setiap orang Islam itu wajib menyampaikan ajaran Islam setakat apa yang diketahuinya. Mengenai hal ini tentulah mustahil dan tidak munasabah ada di kalangan orang Islam yang langsung tidak mengetahui apa-apa mengenai ajaran agamanya.

iii. Di samping kewajipan fardhu 'ain itu, Islam mewajibkan pula ke atas umatnya secara fardhu kifayah di mana sebahagian dari mereka mestilah mendalami ajaran Islam untuk menjadi pemimpin atau tempat rujukan masyarakat terutama dalam masalah-masalah yang lebih penting dan rumit. Jika tuntutan ini difahami secara jelas oleh seluruh umat Islam, maka penyebaran Islam tentunya menjadi lebih pesat dan berjaya.

iv. Bagi masyarakat awam umat Islam, mereka hendaklah melibatkan diri dalam kegiatan dakwah dengan mengajar apa jua ajaran Islam yang diketahui khususnya di kalangan keluarga sendiri. Mereka juga boleh membantu pihak-pihak bertanggungjawab dengan menyampaikan maklumat-maklumat mengenai kerja-kerja penyelewengan terhadap Islam oleh pihak-pihak tertentu yang mereka kesani dari internet dan sebagainya.

6. ISI KANDUNGAN:

6.1. Untuk mempastikan keberkesanan kegiatan dakwah dalam era multimedia ini, maka para perancang dan pelaksana dakwah mestilah mempastikan bahan yang disampaikan itu meliputi isi ajaran Islam, serta sesuai dengan kumpulan sasarannya yang berbagai-bagai dan berbeza, baik dari segi jantina, peringkat umur dan profesyen, mahupun dari segi latar belakang penguasaan ilmu Islam itu sendiri.

6.2. Tahap maklumat dan isi ajaran Islam yang dikemukakan mestilah sesuai, dengan mengambil kira keperluan mereka yang belum beragama Islam, mereka yang baru mempelajari Islam dan tidak kurang pentingnya bagi menghapuskan kekeliruan dan kesesatan yang dibawa oleh pihak-pihak tertentu yang berniat jahat untuk memecahbelahkan umat Islam dan menyelewengkan mereka dari ajaran Islam yang sebenar. Dengan mengambil kira keadaan ini, maka sudah pasti usaha berdakwah akan mencapai matlamatnya.

6.3. Skop kandungan pengajaran Islam yang dikemukakan mestilah juga mengambil kira aspek-aspek terpenting yang menjadi asas ajaran Islam itu sendiri. Disamping memberi penjelasan mengenai syariat Islam yang luas dan meliputi seluruh kehidupan manusia, maka aspek iman sebagai terasnya tidak boleh dipandang remeh dan tidak penting, sebaliknya aspek iman inilah yang wajib diutamakan disepanjang pelaksanaan dakwah.

6.4. Pada masa ini ada suara-suara yang mempersoalkan keberkesanan pendidikan Islam, terutama di kalangan remaja apabila mendapati gejala-gejala keruntuhan akhlak lebih ketara di kalangan mereka. Persoalan ini menginsafkan sekali, sehingga mampu menarik minat sebilangan besar umat Islam untuk mencari penyelesaiannya. Dan ternyata akhirnya bahawa jawapan kepada persoalan ini ialah usaha pengukuhan iman wajib diberi keutamaan dalam apa jua program pembangunan negara.

7. KESIMPULAN:

Dari penjelasan yang telah diberikan, maka dapatlah disimpulkan bahawa:

i. Penggunaan multimedia dalam berdakwah adalah sangat membantu dan berkesan. Ianya mestilah diterima dengan baik dan dipergunakan sebijak mungkin.

ii. Program memberi dan meningkatkan kemahiran penggunaan teknologi moden dalam mutimedia di kalangan pendakwah dan ulama mestilah diadakan dan dipertingkatkan, manakala program pengukuhan ilmu teras Islam pula diberikan kepada para pakar Muslim dalam bidang multimedia, agar kepesatan dan keberkesanan dakwah dapat dicapai.

iii. Suatu mekanisma penyelarasan yang berwibawa dan berkesan mestilah dibentuk bagi mempastikan kegiatan dakwah menerusi multimedia dapat dilaksanakan dengan teratur dan rapi serta menepati pada sasarannya. Suatu gabungan dan jalinan yang kuat antara pakar-pakar Muslim dalam pelbagai bidang dan antara institusi dan organisasi Islam yang berwibawa adalah dinanti-nantikan.

iv. Aspek iman hendaklah menjadi fokus utama dalam menyampaikan dakwah dan menjadi asas terpenting dalam membena umat Islam yang kuat dan mampu mengatasi segala cabaran yang dihadapi baik pada masa ini mahupun pada masa akan datang, samada cabaran dari multimedia sendiri atau lain-lain cabaran yang terdapat dalam masyarakat.

8. PENUTUP:

Demikianlah apa yang dapat disampaikan, mudah-mudahan ianya dapat memberi manfaat dalam usaha meningkatkan lagi keberkesanan dakwah Islamiah di negara ini. Akhirnya sekali lagi dipohonkan kemaafan atas apa-apa kelemahan dan kekurangan