Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

BANGI, 14 Mac 2019 – Institut Latihan Islam Malaysia telah menganjurkan Seminar Gagasan Rahmatan Lil ‘Alamin hari ini. Seramai 380 orang penjawat awam hadir membanjiri Dewan Datuk Mohd Shahir, Kampus Utama Bangi bagi memahami dasar-dasar Islam negara yang diperkenalkan oleh Kerajaan baharu berkaitan pendekatan gagasan Rahmatan Lil ‘Alamin mengikut acuan Malaysia.

Gagasan Rahmatan lil ‘Alamin adalah manifestasi kepada prinsip utama pengurusan hal ehwal Islam yang dilaksanakan dalam kerangka Maqasid Syariah bagi melahirkan Model Malaysia sebagai dasar serta hala tuju Malaysia Baharu.Pendekatan Rahmatan lil ‘Alamin ini selaras dengan ajaran yang termaktub dalam al-Quran dan hadith Rasulullah SAW, Islam adalah bersifat sejagat dan sebagai rahmat untuk seluruh alam.

Peserta seminar telah dibentangkan dengan 2 kertas kerja bertajuk Konsep Rahmatan Lil ‘Alamin Menurut al-Quran oleh panel jemputan iaitu Dr. Haji Mohd Farid Ravi Abdullah dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Rahmatan Lil ‘Alamin dalam Konteks Masyarakat Majmuk oleh Tuan Haji Nicholas Slyvester yang merupakan Pengerusi Hidayah Centre Foundation.

Seminar tersebut telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof. Turut hadir mengiringi beliau adalah Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM Dato’ Paimuzi bin Yahya dan Pengarah Kanan ILIM, Puan Hajah Zawanah binti Muhammad.

“JAKIM selaku agensi Islam di bawah seliaan saya sentiasa berusaha mempergiatkan lagi usaha dalam memastikan dasar-dasar Islam Negara seperti Rahmatan lil Alamin, Maqasid Syariah, Model Malaysia dan pemahaman berterusan mengenai Malaysia Negara Rahmah kepada penjawat awam serta masyarakat awam terus disampaikan dengan lebih aktif lagi”.

“Promosi berkaitan gagasan dan dasar-dasar Islam negara ini akan terus digiatkan agar kefahaman mengenainya selari dan sepadu antara pucuk pimpinan dan masyarakat awam”. Ucap beliau dalam majlis perasmian seminar tersebut.

Semoga segala objektif seminar ini dapat tercapai ke arah membuktikan bahawa Malaysia adalah negara unik dengan kepelbagaian etnik, agama dan budaya yang harmonis dan terbuka bertepatan dengan ciri-ciri yang ada pada Islam yang mengiktiraf kepelbagaian dalam kehidupan dan sesungguhnya Islam adalah agama universal yang membawa rahmat kepada seluruh alam.

Bagi pembaca yang tidak mahu ketinggalan mengikuti program tersebut, bolehlah menyaksikan rakaman program di page rasmi Institut Latihan Islam Malaysia di facebook @ilim.jakim.

Seminar Gagasan Rahmatan Lil Alamin1

Seminar Gagasan Rahmatan Lil Alamin2

Seminar Gagasan Rahmatan Lil Alamin3

Seminar Gagasan Rahmatan Lil Alamin4