jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)
 
BERKAITAN PELAKSANAAN UJIAN PENILAIAN KELAS KAFA (UPKK) BAGI CALON TAHUN 2020 YANG TERJEJAS SUSULAN PENULARAN PANDEMIK COVID-19

1. Program Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) merupakan program pengukuhan yang berkonsepkan pendidikan agama Islam peringkat rendah bagi kanak-kanak yang berumur 7 hingga 12 tahun. Peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dilaksanakan semasa pelajar berada di tahun 5 dan Calon UPKK hendaklah menduduki kelas KAFA sekurang-kurangnya 3 tahun sesi Pendidikan KAFA.
 
2. Pembatalan pelaksanaan UPKK pada tahun 2020 yang telah diumumkan ketika kerajaan telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bagi memutuskan rantaian Coronavirus Disease 2019 (COVID-19). 
 
3. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) percaya, pematuhan maksimum kepada Prosedur Operasi Standard pembukaan sekolah KAFA yang telah bermula pada 3 Ogos 2020 menunjukkan suasana positif. Ia sama sekali tidak menjejaskan persediaan dan persiapan calon untuk menduduki ujian tersebut yang dijadualkan pada tahun 2021.
 
4. Suka dinyatakan, calon UPKK tahun 2020 masih mempunyai tempoh setahun lagi sebelum ke sekolah menengah. Dengan mengambil kira kepentingan semua pihak dan persediaan, JAKIM membuat keputusan bahawa UPKK bagi lima subjek bertulis iaitu Ulum Syariah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab dan Lughah Al-Quran bagi calon tahun 2020 yang terjejas akibat penularan Wabak COVID-19 akan disekalikan dengan Calon UPKK tahun 2021 pada 4 hingga 7 Oktober 2021.
 
5. Penilaian berbentuk amali bagi Mata Pelajaran Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam, sebarang catatan penilaian sepanjang sesi persekolahan dan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk ujian bulanan, aktiviti dalam dan luar bilik darjah, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) boleh diambil kira sebagai salah satu bentuk penilaian.
 
6. Mata Pelajaran al-Quran yang merangkumi Ujian Lisan Tadarus dan Tilawah al-Quran, Hafazan dan Tafsir al-Quran akan dilaksanakan pada 1 hingga 30 September 2021.
 
7. Jadual pelaksanaan bagi ujian bertulis, amali dan lisan akan dimaklumkan kelak. Penjadualan ini bagi membolehkan calon mempunyai tempoh pembelajaran yang mencukupi dan dapat membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan. Pelaksanaan UPKK kepada calon pada tahun 2021 tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan KAFA.
 
8. JAKIM mengambil perhatian harapan ibu bapa terhadap pencapaian. Justeru, bagi tujuan ini, pemakluman adalah untuk membantu agensi bertanggungjawab di setiap negeri membuat perancangan, pembelajaran dan persediaan calon.
 
Sekian.
 
SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
11 November 2020 bersamaan 25 Rabi’ al-‘Awwal 1442H