jata negara small
 
PERUTUSAN AIDILFITRI 1438H/2017M
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

JIWA BAHAGIA, UMMAH SEJAHTERA
__________________________________________________________
 
 
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Allahu Akbar

Alhamdulillah, dengan hidayah dan rahmat-Nya, kita telah berjaya menyempurnakan ibadah Ramadan pada tahun ini. Maka kini tibalah masanya untuk kita melaungkan takbir kemenangan dan kesyukuran ke hadrat Ilahi. Firman Allah SWT dalam Surah Baqarah ayat 185 :-

“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

Kesan puasa Ramadan seharusnya menghasilkan jiwa dan hati yang sejahtera dan cintakan perdamaian. Jiwa dan hati seperti inilah bakal membentuk dan menjadikan kita ummah yang memiliki kesatuan yang teguh. Jiwa yang tenang dan damai akan cenderung mencari penyelesaian dengan tidak mendahulukan emosi berbanding akal.

Dalam rangka memacu Islam terus maju kehadapan, kita hendaklah  memelihara hati agar terus mengasihi sesama Islam dan  menjauhkan pergeseran serta perbalahan yang tiada berkesudahan. Walaupun ada perbezaan pandangan dan prinsip kehidupan, kita perlu cari titik persamaan agar ummah terus gemilang.

Pelbagai cabaran terkini dan realiti yang perlu kita hadapi dari segenap segi serta dimensi. Banyak lagi usaha dan tenaga yang perlu dicurahkan kepada masyarakat bagi melahirkan Malaysia sebagai negara yang aman, Islam sebagai agama dan kehidupan yang harmoni bersama kaum dan agama yang lain.

Justeru, Jakim sebagai agensi pusat dalam pengurusan dan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia menyeru umat Islam di negara ini agar dapat memaknakan Ramadan yang telah berlalu dan diterjemahkan bermula Syawal ini dan seterusnya bulan-bulan mendatang untuk sama-sama membersihkan hati, mencari persamaan dan berlapang dada dengan perbezaan agar kita dapat bergerak bersama-sama membina masa hadapan yang cemerlang.

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 1438H/2017M, saya memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar kita dapat menyambut Aidilfitri pada tahun ini dengan penuh keceriaan dan mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan sanak saudara serta bermaaf-maafan sesama kita.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1438H kepada semua warga Jakim khususnya dan juga kepada seluruh umat Islam umumnya beserta harapan semoga kita memiliki Jiwa yang Bahagia, agar Ummah Sejahtera.

Sekian
 

Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha
1 Syawal 1438H
Bersamaan 25 Jun 2017M