Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam

WEB BANNER MKI66 2 1

Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-66 dengan jayanya telah diadakan pada 9 Syawal 1440 Hijrah bersamaan 13 Jun 2019 (Khamis). Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Ia turut dihadiri oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail, YB Dato’ Seri Dr. Mujahid bin Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dr. Maszlee bin Malik Menteri Pendidikan dan 34 orang ahli mesyuarat yang hadir terdiri daripada Menteri Besar/ Ketua Menteri Negeri-negeri seluruh Malaysia dan ahli-ahli yang dilantik dari kalangan pakar akademik dan profesional.

Mesyuarat pada kali ini telah membincang dan memutuskan dua (2) kertas cadangan iaitu mengenai Penyeragaman Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri di seluruh Malaysia yang dibentangkan oleh YBrs. Tuan Ramzi bin Osman, Penasihat Undang-Undang JAKIM. Kertas cadangan yang kedua membincangkan mengenai Inisiatif Menangani Gejala Sosial dalam kalangan Masyarakat Islam yang dibentangkan oleh YBhg. Datuk Mohd. Nordin bin Ibrahim, Ketua Pengarah JAKIM. Di samping itu, mesyuarat tersebut turut mengambil maklum mengenai perkembangan isu-isu semasa iaitu berkenaan Ajaran/ Kumpulan Global Ikhwan Sdn. Bhd. Holdings (GISBH), Syiah, Hizbu al-Tahrir dan Perahmat. Isu-isu berkaitan penghinaan agama Islam di media sosial pula dibentangkan oleh YBrs. Encik Al-Ishsal Ishak, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Selain berperanan sebagai platform syura tertinggi bagi menyelaras aspek perundangan, pentadbiran dan pendidikan Islam negara, MKI diakui sebagai medan utama untuk merapat jurang perbezaan dalam tadbir urus hal ehwal Islam antara kerajaan persekutuan dan 13 buah kerajaan negeri. MKI juga terbuka kepada negeri-negeri dan pihak yang berkepentingan untuk mengemukakan sebarang cadangan konkrit sebagai dasar tadbir urus hal ehwal Islam di Malaysia. Kesatuan dan keselarasan yang lahir hasil inisiatif MKI diharap akan menyumbang kepada kelestarian dan kemaslahatan ummah secara keseluruhannya. Mesyuarat MKI Kali Ke-67 dijadual akan bersidang pada 12 September 2019.

 

Laporan disediakan oleh :

 

Sekretariat MKI

Bahagian Dasar Kemajuan Islam

 

MKI 66 1

MKI 66 2

MKI 66 3

MKI 66 4

MKI 66 5

MKI 66 6

MKI 66 7

MKI 66 8

MKI 66 9