Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Majlis Ugama Islam Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah, Yayasan Waqaf Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Majlis Perbandaran Tawau, Pejabat Belia dan Sukan Tawau, KEMAS Bahagian Tawau, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Masjid Al-Kauthar Tawau serta  beberapa agensi kerajaan dan swasta yang lain secara bersama telah menjayakan Karnival ~i~ Sabah 2017. Program ini telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 27 hingga 29 Oktober 2017 bertempat di Perkarangan Masjid Al-Kauthar, Tawau, Sabah.  Karnival ~i~ ini adalah yang ketiga dianjurkan oleh Jakim pada tahun ini selepas di Tok Bali, Kelantan dan Guar Chempedak, Yan, Kedah.

Karnival ~i~ ini telah dirasmikan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir  bersama dalam memeriahkan lagi acara perasmian ini adalah,  YB Datuk Seri Panglima Haji Syed Abas bin Syed Ali, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, YB Datuk Haji Ariffin bin Arif, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, YB Datuk Hajjah Hamisah binti Samat, Pembantu Menteri Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, YBhg. Datuk Haji Nizam Datuk Abu Bakar Titingan, Setiausaha Politik Pejabat Ketua Menteri, Datuk Haji Zainal Abidin bin Jaffar, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim, YBrs.Tuan Haji Mazlan bin Abdullah, Pengarah Bahagian Dakwah Jakim serta tetamu kehormat yang lain.

Sempena majlis perasmian ini juga, pihak jawatankuasa karnival bersetuju menganugerahkan Tokoh Pendakwah Saudara Muslim kepada YBhg.Tuan Haji Ismail bin Haji Limo yang merupakan seorang pendakwah yang aktif di Tawau khususnya. Anugerah telah disampaikan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir. Selain itu diadakan juga penyerahan zakat daripada QSR Brands (M) Berhad kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Karnival ~i~ yang dianjurkan ini adalah bertujuan untuk melebarkan jaringan tarbiah dan dakwah kepada setiap lapisan masyarakat khususnya golongan belia dalam menyedarkan mereka betapa pentingnya ilmu pengetahuan dan  pendidikan agama yang menjadi penentu kejayaan di dunia dan di akhirat kelak.

Karnival yang berkonsepkan islamik, informatif dan interaktif ini adalah bukan sekadar karnival yang mempunyai gerai-gerai jualan dan pameran tetapi ianya diselitkan dengan pelbagai acara menarik antaranya seperti Himpunan Dakwah Belia Islam Sabah,  Forum Anjung Taqwa, Simposium Dakwah Media Baharu, Pertandingan Buskers Dai, Dapur Halal Bersama Chef Selebriti, Slot Nahnu Ma’akum (Ziarah Asnaf), Gotong Royong, Pertandingan Masakan Tradisi Sabah, Pertandingan Street Soccer 3 on 3, Sukaneka Rakyat, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, Persembahan Kesenian Islam, Majlis Khatam Al-Quran Perdana dan Pameran Motorsikal Berkuasa Tinggi.

Karnival ~i~ ini membuka tirai dengan Forum Anjung Taqwa yang mambawa tajuk “Kesatuan Ummah, Kesejahteraan Negara” mengambil kira tema Sambutan Ma’al Hijrah tahun ini. Tajuk ini telah dikupas oleh pendakwah terkenal iaitu YBhg. Ustaz Zul Ramli bin M.Razali dan juga Ybhg Prof. Madya Dr. Syarifah Hayaati binti Syed Ismail, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya manakala moderatornya ialah YBrs Ustaz Nabil bin Ahmad, Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jakim. Dianggarkan lebih 1500 orang telah hadir memenuhi khemah semasa forum berlangsung.

Sempena karnival ini juga pihak penganjur telah mengadakan Simposium Dakwah Media Baharu dengan tajuk “Sebenarnya.My: Tidak Pasti Jangan Kongsi”. Selain pembentangan kertas kerja oleh Wakil PDRM dan forum oleh pihak SKMM, urus setia simposium ini juga menjemput YBhg SS Datuk Dr. Zulkifli Mohammad Al Bakri Mufti Wilayah Persekutuan membicarakan tajuk “Fiqh Tabayyun; Tidak Pasti Jangan Kongsi.”

Sementara itu, acara yang berjaya menarik minat golongan belia ialah Malam Kesenian Islam pada 28 Oktober 2017 yang menampilkan Kumpulan Far East, Gurindam Buskers (Pelajar SK Bandar Tawau), Ridzuan Lee, Jun Ceria Popstar, Ismail Sabran@Ancho Watsaa’ dan Pertandingan Buskers Dai. Sebanyak lima kumpulan telah menyertai pusingan akhir pada malam tersebut. Berikut adalah keputusan pertandingan tersebut;

Johan – Kumpulan Krenk Buskers membawa pulang wang tunai RM1000.00 beserta piala dan sijil penyertaan.

Naib Johan – Kumpulan Table 71 membawa pulang wang tunai RM800.00 beserta piala dan sijil penyertaan.

Ketiga – Kumpulan Stick Storm membawa pulang wang tunai RM650.00 beserta piala dan sijil penyertaan.

Sagu Hati – Kumpulan Dai Buskers dan Kumpulan Superman Buskers juga membawa pulang wang tunai RM300.00 beserta sijil penyertaan.

Hadiah disampaikan oleh YB Datuk Seri Panglima Haji Syed Abas bin Syed Ali, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dan YB Datuk Haji Ariffin bin Arif, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah diiringi oleh YBrs Tuan Haji Mazlan bin Abdullah, Pengarah Bahagian Dakwah Jakim.

Karnival yang telah berlangsung selama tiga hari dua malam ini telah disempurnakan penutupannya  oleh YB Datuk Haji Ariffin bin Arif pada 29 Oktober 2017. Pihak urus setia menganggarkan jumlah kehadiran pengunjung sepanjang karnival berlangsung adalah melebihi lapan ribu orang. Manakala jumlah viewers di Facebook Bahagian Dakwah pula seramai 29,776 bagi kesemua acara sepanjang karnival berlangsung.

 karnival i sabah2017 1

karnival i sabah2017 2

karnival i sabah2017 4

karnival i sabah2017 5

karnival i sabah2017 6

karnival i sabah2017 7

karnival i sabah2017 9

karnival i sabah2017 11

karnival i sabah2017 14

karnival i sabah2017 15

karnival i sabah2017 17

karnival i sabah2017 20

karnival i sabah2017 21

 

 




QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Last Updated : 23 November 2017.
Jumlah Pelawat :12151514