Waktu Solat Putrajaya Subuh : 5:48 Syuruk : 7:08 Zohor : 1:10 Asar : 4:32 Maghrib : 7:06 Isyak : 8:20

Setelah ditangguhkan sebanyak 2 kali, akhirnya program Eksplorasi Dakwah Belantara telah berjaya dilaksanakan oleh Cawangan Dakwah Khas, Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini, iaitu dari 9 hingga 11 April 2018 telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Perak, Majlis Agama Islam Perak, Yayasan Taqwa MAIWP, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Program ini turut mendapat tajaan sumbangan syarikat Adabi Consumer Industries Sendirian Berhad, Ramly Food Processing Sdn Bhd dan Pelaburan Hartanah Berhad.

Selaras dengan objektif ‘Peningkatan Hubungan Interpersonal’, program ini bertujuan untuk memberi gambaran sebenar kepada umum bagaimana usaha dakwah dijalankan di kawasan pedalaman, selain untuk membantu masyarakat Orang Asli yang serba kekurangan daripada sudut fizikal dan material.

Perkampungan Orang Asli Sungai Tiang, RPS Banun merupakan perkampungan Orang Asli suku Jahai yang berasal daripada suku bangsa Negrito. Mereka banyak menghuni kawasan pedalaman terutamanya di Timur Laut Perak. Perkampungan ini terletak di pedalaman banjaran Titiwangsa dan terputus hubungan luar. Tidak ada talian telefon, jauh lagi internet, malah tidak ada bekalan elektrik di sini kecuali dengan menggunakan generator.

Cabaran pertama ekspedisi ini adalah menempuh perjalanan melalui jalan berturap sejauh 42 kilometer dari pekan Gerik ke Hentian Royal Belum. Pergerakan rumah bot yang dijadualkan pada jam 12.00 tengah hari telah tertangguh ke jam 2.00 petang kerana beberapa masalah teknikal. Kelewatan perjalanan telah menyebabkan ketibaan ke Perkampungan Orang Asli Sungai Tiang tertangguh dan ahli rombongan telah bermalam dalam rumah bot yang terpaksa berhenti di satu tempat.

Perjalanan hari pertama tidak dapat diteruskan kerana pemandangan malam terlalu gelap dan dikhuatiri terlanggar batang-batang pokok mati yang timbul merata-rata dalam Tasik Temengor. Perjalanan diteruskan keesokan pagi dan akhirnya rombongan tiba di destinasi pada jam 9.00 pagi.

Jarak dari jeti hentian Royal Belum ke KOA Sg Tiang adalah sejauh 25 km, namun perjalanan mengambil masa yang lama kerana ahli rombongan turut diuji dengan kerosakan enjin rumah bot. Ini menyebabkan pergerakan rumah bot terpaksa dibantu dengan bot laju.

Program hari kedua dimulakan dengan aktiviti gotong-royong membaiki rumah Tok Batin, membina tandas dan mengecat surau. Bagi kaum ibu diadakan demonstrasi memasak dan kelas pengajian fardu ain. Aktiviti diteruskan dengan program sukaneka kanak-kanak dan dewasa masyarakat setempat. Manakala acara kebudayaan diadakan pada sebelah malam selepas majlis perasmian dan penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka. Antara acara yang dipersembahkan adalah tarian sewang dan nyanyian daripada kugiran belia Orang Asli.

Hari terakhir program diteruskan dengan menyiapkan saki baki kerja pembaikan yang belum selesai dan agihan pakaian dan barangan dapur kepada masyarakat setempat. Tampak kegembiraan pada wajah-wajah penerima sumbangan.

Akhirnya ahli rombongan bertolak balik ke jeti Hentian Royal Belum pada jam 11.00 pagi dan tiba di Putrajaya pada jam 11.00 malam dengan membawa seribu kenangan manis. Meskipun perjalanan agak memenatkan, namun pengalaman yang diperoleh tiada nilai bandingan.

eksplorasi dakwah belantara2018 1

eksplorasi dakwah belantara2018 2

eksplorasi dakwah belantara2018 3

eksplorasi dakwah belantara2018 4

eksplorasi dakwah belantara2018 5

eksplorasi dakwah belantara2018 8

eksplorasi dakwah belantara2018 9

 

 

 




QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Last Updated : 11 December 2018.
Jumlah Pelawat :12248028