jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

PENUBUHAN JAWATANKUASA MEMPERKASA MAHKAMAH SYARIAH
_______________________________________________________________________


1.  Berikutan dengan arahan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Ogos 2017, Jakim telah mengambil tanggungjawab menubuhkan satu Jawatankuasa Khas di Peringkat Kebangsaan yang dinamakan sebagai Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS).

2.  Jakim  yang diberi mandat untuk  mengurusetiakan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah ini bertanggungjawab melaksanakan cadangan-cadangan yang terkandung di dalam arahan tersebut bagi tujuan memperkasakan sistem perundangan Syariah secara keseluruhan selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. 

3.  Sehubungan itu, Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah ini akan mempunyai dua (2) jawatankuasa pelaksanaan iaitu Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Induk.

4.  Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah ini akan dipengerusikan oleh YBhg Tan Sri Dr Yusof Noor. Pemilihan YBhg Tan Sri Dr Yusof Noor adalah atas dasar pengalaman dan ketokohan beliau yang meluas dalam pelbagai bidang.

5.  Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah ini akan dianggotai oleh tokoh-tokoh dalam negara yang pakar dalam pelbagai bidang dan sebahagian daripada mereka bakal mengetuai enam (6) kluster di bawah JKMMS iaitu :-
 
  1. Pengharmonian antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Syariah;

  2. Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355];

  3. Pengurusan & Penstrukturan Mahkamah Syariah;

  4. Latihan Hakim & Pegawai Syariah;

  5. Pendidikan Undang-undang Syariah; dan

  6. Hal-ehwal berkaitan Peguam Syari’e.

 
6.  Keahlian ahli-ahli jawatankuasa ini telah dikenalpasti dan perlantikan rasmi akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Sekian.

TAN SRI DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kompleks Islam Putrajaya
10 Ogos 2017