Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Bangi,14 Ogos 2018 - Anggota perkhidmatan awam perlu berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab dengan mencari penyelesaian kreatif dan inovatif sehingga menjangkau pemikiran dan keberanian untuk bereksperimen dengan menggunakan kaedah kerja baru di luar kotak kelaziman. Justeru, budaya inovasi menjadi agenda penting nasional dalam menghasilkan perubahan berimpak besar kepada Malaysia.

Kluster Kecemerlangan Kepimpinan Islam, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi telah menganjurkan Kursus Pembudayaan Inovasi Dalam Organisasi di bawah Pelan Operasi Latihan (POL) JAKIM pada 14 hingga 16 Ogos 2018 bertempat di ILIM, Bangi.

Seramai 25 orang peserta terdiri dari Pegawai Hal Ehwal Islam Gred 44 telah menghadiri kursus ini. Kursus ini bertujuan mendedahkan peserta mengenai model pengukuhan proses kerja dalam pengurusan organisasi dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mengenai proses Pengukuhan Proses Kerja (BPR) dan keberkesanan pelaksanaan BPR dalam organisasi serta dapat mengoptimumkan kecekapan dan produktiviti organisasi melalui amalan BPR.

Menurut Tuan Haji Daniel Hasni Mustafa, Pensyarah, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) “Dalam konteks pengurusan kerajaan, inovasi bererti cetusan idea-idea kreatif yang dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti penyampaian perkhidmatan. Inovasi boleh berbentuk produk, perkhidmatan, proses dan teknologi” katanya ketika mengendalikan sesi ceramahnya di kursus ini.

Modul kursus ini turut menekanan sesi pembelajaran yang berperanan dalam merangsang kreativiti di kalangan individu di dalam organisasi. Pembelajaran berterusan mestilah dipupuk dan dikembangkan untuk membina organisasi pembelajaran. Untuk menjadi kreatif dan inovatif seseorang itu perlu berkemahiran dan berilmu pengetahuan dengan membaca, berbincang, membuat penyelidikan, berkursus, berseminar, melanjutkan pelajaran dan menghadiri berbagai majlis ilmu sebagai cetusan melahirkan idea kreatif dan inovatif.

Menurut Dr. Saiful Amin Jalun, Perunding Latihan Bebas merangkap penceramah kursus ini, katanya “Penganjuran program mendekati masyarakat perlu dilaksanakan bagi membolehkan rakyat mengemukakan aduan, input, cadangan inovasi atau sebarang cadangan bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan”.

Semoga usaha-penganjuran kursus ini menjadi motivasi bagi mengembangkan budaya inovasi dan kreativiti dalam perkhidmatan awam selaras dengan aspirasi kerajaan iaitu agenda transformasi negara perlu berpaksikan inovasi dan kreativiti.

budaya kreatif 1

budaya kreatif 2

budaya kreatif 3

budaya kreatif 4