Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Pada 8-10 September 2020 (Selasa hingga Khamis), ILIM Kampus Utama Bangi telah mengadakan Kursus Bimbingan dan Pementoran (Coaching and Mentoring) bertempat di Dewan Datuk Mohd Shahir (DDMS). Kursus ini merupakan salah satu kursus di bawah Pelan Operasi Latihan (POL) yang diwajibkan kepada Pegawai Profesional dan Pengurusan Skim Perkhidmatan Hal Ehwal Islam Gred S44 lantikan JAKIM. Ia telah dihadiri oleh seramai 43 orang peserta daripada JAKIM, pelbagai agensi dan kementerian di peringkat Persekutuan, agensi Negeri seperti Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Jabatan Mufti Negeri. Objektif utama kursus ini ialah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bimbingan dan pementoran dalam kalangan pegawai bagi mencapai faedah kepada diri dan organisasi.

Kursus selama 3 hari ini telah menggunakan khidmat penceramah daripada Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), iaitu Puan Maemuna binti Abidin dan Encik Ahmad Bukhari bin Osman. Secara keseluruhan, kursus ini memberi pendedahan mengenai perbezaan antara coaching, mentoring dan kaunseling. Para peserta juga mendapat pengetahuan dan kemahiran asas coaching dan mentoring, teknik-teknik bertanya, memahami bahasa badan (non verbal), mengetahui perbezaan perwatakan antara individu introvert dan ekstrovert serta pendekatan yang bersesuaian bagi kedua-dua sifat tersebut.  Pada hari terakhir, pendakwah yang tidak asing lagi, dan sering muncul di kaca TV dan radio, iaitu al-Fadhil Ustaz Muhammad bin Abdullah, mengisi slot “Aplikasi Psikologi Islam dan Psikologi Moden dalam Bimbingan dan Pementoran”.

Maklum balas dan reaksi daripada peserta mendapati mereka amat berpuas hati dengan kursus ini dan mengakui bahawa ia bukan sahaja bermanfaat kepada organisasi, bahkan bermanfaat kepada diri untuk diaplikasi dalam pergaulan seharian bersama keluarga dan ahli masyarakat. Kepuasan mereka tergambar daripada permintaan supaya diadakan kursus lanjutan dan ada kalangan mereka yang memohon supaya ditambah lagi slot pada hari terakhir. Rata-rata peserta menyatakan bahawa kursus ini wajar diteruskan pada masa-masa akan datang.