Kurator Berita : Bahagian Penyiaran

 PUTRAJAYA- 02 Jun 2016 Salamfm JAKIM dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM) telah melancarkan program ‘Salam Kasih Ramadan 2016’ sempena bulan Ramadan tahun ini dan ia disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Razali Bin Shahabuddin , Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Program ‘Salam Kasih Ramadan 2016’ telah memasuki tahun ke-5 penganjuran oleh Radio Salamfm JAKIM dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM) dan beberapa penaja-penaja yang lain dan ia memberi fokus kepada rumah-rumah kebajikan dan pusat- pusat tahfiz yang terpilih.

Pada tahun ini Salamfm JAKIM bersama dengan rakan- rakan penaja akan berkunjung ke  empat (4) buah lokasi rumah kebajikan dan pusat tahfiz sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Perak iaitu Madrasah Az Zakirin di Rembau, Madrasah Hidayatul Mubtadien di Nilai, Maahad Tahfiz Al Hikmah di Sungai Buloh dan Rumah Anak Yatim Al Baraqah di Telok Intan, Perak.

 Melalui kunjungan ini, penghuni- penghuni rumah berkenaan akan diraikan dengan majlis iftar(berbuka puasa) dan bersahur.  Radio Salamfm JAKIM dijadualkan akan membuat rakaman Salam Muhawwarah sebelum iftar dan Tazkirah Ringkas sebelum bersahur bagi memberi perkongsian ilmu yang bermanafaat kepada anak-anak yatim dan pelajar-pelajar tahfiz tersebut. Di samping itu, sumbangan akan disampaikan dalam bentuk pek makanan keperluan harian dan ia diharap dapat membantu meringankan beban mereka sepanjang bulan Ramadan ini.

Penghargaan dan terima kasih kepada semua penyumbang utama yang lain seperti Yayasan Taqwa, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Kumpulan Media Karangkraf, Pertubuhan Ikatan Sejahtera Ummah (PISU) yang bersama-sama menjayakan program Salam Kasih Ramadan 2016 ini.

 

YBhg. Dato Haji Razali Bin Shahabudin Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia JAKIM

Majlis Pelancaran Salam Kasih Ramadan 2016