Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
“Sesungguhnya kerjasama yang erat dan strategik antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), LEPAI, JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri serta Yayasan Islam Negeri merupakan platform berkesan dalam menyelaras, menambahbaik dan memperkasakan lagi sistem pendidikan Islam di negara ini”.
 
Berikut antara petikan ucapan Pengerusi LEPAI, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Mohd Kamal bin Hassan pada Persidangan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran Dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) Kali Ke-52 yang telah berlangsung pada 4 Ogos 2020 di The Everly Hotel Putrajaya. Ini merupakan persidangan yang pertama diadakan pada tahun ini selepas ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19.
 
Walaupun masih dalam tempoh PKPP (Pemulihan), persidangan kali ini dilaksanakan dalam norma baharu mengikut SOP seperti yang disarankan oleh pihak Kerajaan seperti penjarakan minima 1 meter, pengambilan suhu badan dan galakan pemakaian pelitup muka.
 
Ahli-ahli persidangan yang hadir terdiri daripada ahli-ahli yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja dan LEPAI, wakil-wakil negeri yang dilantik oleh DYMM Sultan-Sultan/Raja dan TYT Yang Di-Pertuan Negeri, Pengurusan Tertinggi JAKIM, Pengarah-Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) / Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Yayasan Islam Negeri-negeri.
 
Pemerkasaan kualiti pendidikan tahfiz awam dan swasta, peningkatan kualiti Kelas Al-Quran Dan Fardu Ain (KAFA) di sekolah-sekolah seluruh negara dan perancangan untuk melonjakkan kecemerlangan pelajar-pelajar yang akan menyambung pelajaran ke Timur Tengah antara agenda yang dibincangkan dengan tuntas dan holistik oleh semua ahli persidangan.
 
Persidangan telah berlangsung dengan lancar dan menghasilkan keputusan yang positif dalam usaha kerajaan meningkatkan mutu Pendidikan Agama Islam di Negara ini.








 
 
Sumber:
Bahagian Dasar Kemajuan Islam