Kurator Berita : Bahagian Khidmat Pengurusan
21 Mac 2016, Isnin : Wilayah Persekutuan Putrajaya merupakan tuan rumah kepada penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTQK) Kali Ke-59 Tahun 1437H/2016M yang akan berlangsung selama 6 hari iaitu  bermula dari 12 hingga 17 Jamadilakhir 1437H bersamaan 21 hingga 26 Mac 2016 bertempat di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya. Pada tahun ini, buat pertama kali lokasi Putrajaya telah dipilih dan ia dianjurkan secara bersama di antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Perbadanan Putrajaya (PPj).
 
Penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-59 ini adalah bertemakan “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”. Majlis ini telah disempurnakan perasmiannya oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Beliau menyeru agar orang ramai memantapkan ukhuwah dan memperkukuhkan silaturrahim sesama Islam "  Kita perlu memiliki sikap berlapang dada dalam menangani perbezaan pendapat. Janganlah kerana perkara kecil, titik bengit atau khilafiah, kita berbalah sehingga mendorong kepada permusuhan, kebencian dan menaruh prasangka serta label yang tidak sepatutnya daripada seorang Muslim kepada saudara Muslim yang lain.  Akhir kalam, beliau juga mengharapkan dengan penganjuran Majlis Tilawah ini, ianya mampu untuk menjana penghayatan di kalangan umat Islam dalam rangka memahami isi kandungan Al-Quran agar dapat diimplementasikan dalam urusan kehidupan seharian". Turut hadir dalam majlis tersebut, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir bin Hj. Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan  YB Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan.
 
Penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan secara tahunan oleh Kerajaan Malaysia ini menggambarkan komitmen pihak Kerajaan dalam menerapkan budaya minat membaca terhadap Al-Quran dan memahami intipatinya serta mengaplikasikan tuntutan dan larangan Yang Maha Esa dalam amalan kehidupan kita seharian. Pihak penganjur mengesahkan menerima penyertaan seramai 30 orang peserta yang diwakili oleh 14 orang Qari dan 14 orang Qariah dari setiap negeri di Malaysia termasuk Johan Menunggu Qari dan Qariah pada edisi yang lalu, iaitu En. Wan Ainuddin Hilmi bin Abdullah dari Kelantan dan Siti Husna binti Hassan dari Pahang.
 
Pada penganjuran kali ini, semua peserta akan diwajibkan membaca Al-Quran secara bertaranum dengan dua (2) lagu yang ditetapkan secara berturut-turut dan ia hanya akan diketahui oleh peserta ketika proses pengundian ayat. Perkara ini telah ditetapkan oleh juri hakim dan semenangnya ia satu perkara yang agak mencabar bagi peserta. Tujuannya supaya semua peserta akan lebih mendalami ilmu-ilmu tarannum di dalam Al-Quran dan pastinya akan memberi nilai tambah kepada peserta yang akan menjadi johan MTQK ini.
 
Para peserta akan dinilai oleh barisan 15 orang juri yang berkaliber dan berpengalaman dalam bidang tilawah dengan jemaah hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jakim; YBhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha. Para juri akan mengambil kira aspek kelancaran bacaan (fasohah), hukum tajwid, suara, persembahan dan tarannum.
 
Hadiah- hadiah yang ditawarkan kepada peserta adalah seperti berikut:
 
  1. Johan Qari dan Qariah :
  2. Wang Tunai RM15,000.00
  3. Sebuah Piala Iringan
  4. Sebuah Proton Exoradan Pakej menunaikan Fardhu Haji
  5. Cenderamata
  6. Sijil Penyertaan
  1. Naib Johan Qari dan Qariah :
  2. Wang Tunai RM10,000.00
  3. Cenderamata
  4. Sijil Penyertaan 
 
  1. Tempat Ketiga Qari dan Qariah :
  2. Wang Tunai RM7,500.00
  3. Cenderamata
  4. Sijil Penyertaan 
 
  1. Hadiah-Hadiah Saguhati :
  2. Wang Tunai RM3,000.00
  3. Cenderamata
  4. Sijil Penyertaan 
 
Sebagaimana maklum, para peserta yang menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan merupakan johan Qari dan Qariah bagi penganjuran Majlis Tilawah Al Quran peringkat negeri masing-masing. Johan Qari dan Qariah bagi Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ini akan mewakili Negara Malaysia dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) yang dijadual akan berlangsung pada 02 hingga 07 Mei 2016  ini, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.
      
Dalam masa yang sama, beberapa program telah diatur bagi menarik lebih ramai pengunjung hadir ke majlis ini. Antaranya ialah Tayangan Secara Langsung MTQK melalui TV LED Skrin Besar di Laman Perbadanan Putrajaya, 24 buah tapak pameran dari jabatan / agensi kerajaan dan swasta, 14 lot jualan khemah dan 10 food truck pelbagai produk makanan dan barangan bermula dari jam 5.00 petang hingga 11.00 malam. Orang ramai adalah dijemput hadir bersama keluarga dan sesuai untuk semua peringkat umur.
 
Majlis Perasmian MTQK 1437H 2016M 1
 
Majlis Perasmian MTQK 1437H 2016M 2
 
Majlis Perasmian MTQK 1437H 2016M 3
 
Majlis Perasmian MTQK 1437H 2016M 4
 
 
Sesi Undian
 
Majlis Perasmian MTQK 1437H 2016M 5
 
Majlis Perasmian MTQK 1437H 2016M 6
 
Majlis Perasmian MTQK 1437H 2016M 7
 
 
Pameran, Jualan dan Food Truck
 
Majlis Perasmian MTQK 1437H 2016M 8
 
Majlis Perasmian MTQK 1437H 2016M 9