Kurator Berita : Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin
Kami Prihatin@ Mersing  merupakan program jalinan NBOS yang dilaksanakan dengan kerjasama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), All Bikers Malaysia Club, yayasan Waqaf Malaysia, Pejabat Agama Islam Daerah Mersing, Pusat Pungutan Zakat serta Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Penganjuran  program dakwah Kami Prihatin @ Mersing, Johor  bermula pada 8 April 2016 hingga 10 April 2016 dengan tujuan mengubah skop pemikiran masyarakat dan tanggapan negatif kepada kumpulan permotoran dan juga mendekati masyarakat samada golongan muda mahupun warga tua.
 
Program bermula di MTMZA dengan kuliah khas yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Zawawi Yusof. Manakala, majlis pelepasan konvoi Bikers telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Kumpulan permotoran yang terdiri daripada 70 buah motosikal yang merupakan ahli kelab bikers Malaysia. Pada hari ke-2, program diteruskan di Politeknik Mersing yang disertai oleh para pelajar Politeknik Mersing bagi mengimarahkan masjid. Antaranya slot motivasi bersama pelajar dan gotong-royong serta forum agama bersama penduduk kampung Air Papan, Mersing.
 
Melalui program seumpama ini akan menyemarakkan lagi aktiviti dakwah yang bukan hanya dilaksanakan golongan agama yang title ustaz atau ustazah sahaja. Malah, dengan ini akan melahirkan pendakwah-pendakwah atau duta kecil masjid dari kalangan bikers  untuk mendekati golongan muda, remaja ke arah kebaikan. Di samping itu, institusi masjid akan melaksanakan peranan yang lebih luas dalam mendidik masyarakat bukan hanya mensasarkan golongan masyarakat setempat, namun merentasi luar sempadan. Semoga pelaksanaan program seumpama ini akan dapat memberi kefahaman masyarakat tentang skop dakwah masa kini yang dijalankan mengikut kesesuaian dan kehendak golongan muda dan remaja khususnya.
 
Setinggi-tinggi ucapan tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat menjayakan program tersebut. Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah bertungkus lumus menjayakan program Kami Prihatin@Mersing. Harapan, semoga usaha murni ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang demi memartabatkan agama Islam. Semoga penglibatan oleh semua pihak akan mengeratkan lagi silaturrahim dalam meneruskan misi dakwah.
 
Kami Prihatin Mersing 1
 
Kami Prihatin Mersing 2
 
Kami Prihatin Mersing 3
 
Kami Prihatin Mersing 4
 
Kami Prihatin Mersing 5
 
Kami Prihatin Mersing 6