Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam

Dalam aspek pendidikan, kemenjadian murid menjadi agenda kepada kejayaan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) dengan iltizam melahirkan generasi masa hadapan yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan berkemahiran tinggi.

 

Dalam hal ini, sudah pasti kemenjadian murid-murid KAFA turut menjadi penyumbang utama kepada kejayaan TN50.

Bermula pada tahun 2016, Program KAFA mula melalui proses transformasi. Salah satu aspek yang diambilkira ialah dengan mengukur kemenjadian murid-murid KAFA melalui keberkesanan proses pendidikan secara menyeluruh dan tidak hanya berfokus kepada pencapaian Gred Purata, yang dijana daripada keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK).

 

Ternyata usaha ini selari dengan pendidikan arus perdana sebagaimana yang dihasratkan menerusi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan matlamat melahirkan generasi khaira ummah yang seimbang duniawi dan ukhrawi, dengan membangunkan potensi murid secara menyeluruh dan holistik. Menerusi kaedah ini, potensi murid-murid KAFA telah dinilai dalam segenap aspek merangkumi ilmu pengetahuan, kemahiran, akhlak dan sahsiahsebagai persiapan bagi melahirkan modal insan yang mempunyai jati diri unggul dan mampu bersaing sehingga ke pentas antarabangsa.

 

Majlis Pengumuman Keputusan UPKK Tahun 2017 telah berlangsung pada 29 Januari 2018 lalu, yang disempurnakan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin. Hj. Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. YB Menteri dalam ucapan pengumumannya telah memaklumkan bahawa seramai 208,189orang calon telah mendaftar untuk menduduki UPKK bagi tahun 2017 dan daripada jumlah tersebut, seramai 104,389 (50.1%)adalah calon lelaki manakala 103,800 (49.9%)adalah calon perempuan dengan jumlah keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan adalah seramai 204,684.

 

Meneliti peratus kelulusan mengikut mata pelajaran, Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI)mencatatkan kadar kelulusantertinggi iaitu 99.9%,diikuti mata pelajaran Bidang Al-Qur'an yang mencatat kelulusan 99.7%.Pencapaian ini membuktikan kejayaan pelajar dalam menguasai ibadat solat, Tilawah Al-Qur'an termasuk mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian.

 

Selain itu, bagi mata pelajaran Sirah, Adab (Akhlak Islamiah) serta Jawi dan Khat, peratus kelulusannya menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2016 iaitu 3.4% bagi mata pelajaran Sirah, 2.6% bagi Adab (Akhlak Islamiah) dan 0.6% untuk mata pelajaran Jawi. Manakala peratus kelulusan bagi mata pelajaran Lughatul Quran adalah 91.0% dan 85.7% bagi mata pelajaran Ulum Syariah (Akidah & Ibadah).  

 

Ternyata pengumuman ini telah meleraikan debaran hati calon-calon yang menduduki UPKK tahun 2017 yang disambut oleh mereka dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Malah lebih daripada itu, keputusan tahun 2017 ini juga menjadi penanda aras kepada kejayaan dan keberkesanan pelaksanaan Program KAFA sejak lebih 27 yang lalu. Turut hadir menyerikan lagi Majlis Pengumuman Keputusan UPKK Tahun 2017 ini ialah YB Senator Dato' Dr. Asyraf Wajdi bin Dato' Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YBhg. Tan Sri Dato’ Hj. Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jakim dan YBhg Tan Sri Dato’ Dr Mohd Yusof Noor, Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI).


Pengumuman UPKK 2018 1

Pengumuman UPKK 2018 2

Pengumuman UPKK 2018 3

Pengumuman UPKK 2018 4