Kurator Berita : Bahagian Dakwah

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Dakwah dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan dengan kerjasama beberapa agensi lain telah mengadakan PROGRAM MESRA KOMUNITI 2016 pada 23 November 2016 bertempat di Kampung Bayai Lama, Batu Kikir, Negeri Sembilan dan pada 25 November 2016 di Pulau Tuba Langkawi Kedah. Objektif utama program ini diadakan bagi menyampaikan input dakwah secara bil hal kepada masyarakat setempat dan memberi semangat, kelegaan serta keceriaan kepada masyarakat yang kurang berkemampuan. Selain itu, ianya juga bagi meningkatkan kesedaran dan penyertaan dari agensi kerajaan agar mempunyai sikap peduli kepada masyarakat yang kurang bernasib baik.

Antara aktiviti yang telah diadakan di Kampung Bayai Lama, Batu Kikir, Negeri Sembilan ialah penyampaian sumbangan bantuan persekolahan tajaan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan kepada 100 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Serting Ulu yang telah disempurnakan oleh YBhg. Tuan Haji Ruslan bin Said, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah Jakim sempena Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Serting Ulu. YBhg. Dato’ Zahida Zarik Khan, Timbalan Pengerusi Yayasan MARA turut hadir merasmikan majlis tersebut. Hadir sama, YBhg. Tuan Hj Ali bin Yusup, Ketua Kampung merangkap Pengerusi Kariah Kampung Bayai Lama, Batu Kikir, Negeri Sembilan.

Selain itu, di Masjid Kampung Bayai Lama telah diadakan penyampaian sumbangan beras tajaan pihak Kastam Diraja Malaysia kepada 50 keluarga terpilih. YBhg. Tuan Haji Ruslan bin Said, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jakim sekali lagi menyempurnakan penyampaian sumbangan dan turut menyampaikan ucapan. Hadir sama YBhg. Tuan Hj Ali bin Yusup, Ketua Kampung merangkap Pengerusi Kariah Kampung Bayai Lama, Batu Kikir Negeri Sembilan.Aktiviti gotong-royong memasak masakan tempatan juga diadakan bersama penduduk setempat.

Pulau Tuba Langkawi Kedah menjadi destinasi kedua Program Mesra Komuniti 2016. Aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Langkawi telah digunakan untuk membawa semua pegawai dan petugas dari pelbagai agensi dari Jeti APMM Langkawi ke Pulau Tuba. Perjalanan mengambil masa selama 40 minit. Pelbagai aktiviti telah diatur antaranya gotong-royong membersihkan kawasan sekitar Masjid Al-Wafa dan tanah perkuburan yang berdekatan, mengecat tembok pagar masjid, gotong-royong memasak masakan tempatan serta tazkirah dan Solat Jumaat.

Selain itu, di Sekolah Kebangsaan Pulau Tuba juga telah diadakan sesi motivasi pelajar yang telah dikendalikan oleh pihak YaPEIM. Motivasi pelajar ini telah dihadiri oleh 100 orang pelajar dan mereka telah didedahkan dengan pelbagai ilmu oleh motivator jemputan yang mampu meningkatkan kefahaman khususnya dalam penggunaan gadget dan media baharu. Acara sukaneka bagi kategori kanak-kanak, belia dan dewasa juga turut diadakan dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan oleh masyarakat setempat. Perlawanan bola sepak wanita juga turut dipertandingkan. Kedua-dua aktiviti ini telah dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan Daerah Langkawi. Penyampaian hadiah kepada para pemenang acara sukaneka telah disempurnakan oleh YBhg. Tuan Haji Paimuzi bin Yahya, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, Jakim.

Selain itu pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah mengadakan sesi penerangan dan pameran untuk tatapan para pengunjung khususnya masyarakat di Pulau Tuba. Pelbagai info penting dan berguna telah dikongsikan kepada para pengunjung khususnya berkaitan dengan penggunaan gadget dan media baru.

Masyarakat Pulau Tuba juga telah dihidangkan dengan santapan rohani iaitu Bicarawara Ad-Din yang telah menampilkan 3 orang ahli panel iaitu YBhg. Us Zamri bin Mohamed Shafik, Pengarah Jabatan Pengurusan Rangkaian Media, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), YBhg. Us Mohamad Kori bin Jusoh, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Hab Halal Jakim dan YBhg. Tuan Syeikh Mohd Rasydan bin A.Rahman, Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah. Bicarawara ini telah di kendalikan oleh Moderator jemputan iaitu YBhg. Tuan Syeikh Mohd Ashraf bin Hj. Mohsin, Penolong Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu. Tajuk yang telah dibicarakan  adalah “ Keluarga Sakinah”. Kehadiran masyarakat Pulau Tuba pada sesi bicarawara ini amat menggalakkan dan mereka memberikan sepenuh tumpuan dan penghayatan semasa ianya berlangsung.  Terlalu banyak pengajaran dan pembelajaran dalam membina keluarga sakinah yang dapat diambil dari 3 orang ahli panel jemputan.

Kemuncak program ialah Majlis Perasmian dan Penyampaian Sumbangan Prihatin Keluarga terpilih yang telah disempurnakan oleh YBhg. Tuan Hj. Paimuzi bin Yahya, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, Jakim. Hadir sama YBhg. Tuan Hj. Nor bin Lebai Rejab, Imam Masjid Al-Wafa, Pulau Tuba Langkawi yang turut menyampaikan ucapan aluan. Sebanyak 150 keluarga terpilih telah menerima sumbangan berbentuk makanan harian dan 100 orang pelajar terpilih menerima bantuan pakaian persekolahan hasil tajaan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan. YBhg. Tuan Hj. Paimuzi bin Yahya juga turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan bola sepak wanita.

Pihak Jakim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua Jabatan / agensi yang turut terlibat dalam menjayakan kedua-dua program ini iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Kastan Diraja Malaysia, Badan Kebajikan Islam Kastam (BAKISKA), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Langkawi, Jabatan Belia dan Sukan Langkawi, iM4U, Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi, Sekolah Kebangsaan Serting Ulu, Sekolah Kebangsaan Pulau Tuba, Pejabat ADUN Kuah Langkawi, JKKK Pulau Tuba, JKKK Kg Bayai lama, AJK Masjid Al Wafa dan AJK Masjid Kg Bayai Lama. Semoga program yang dilaksanakan ini memberi impak yang sangat baik kepada masyarakat setempat dan diberkati Allah SWT.

mesra komuniti 2016 01

mesra komuniti 2016 02

mesra komuniti 2016 03

mesra komuniti 2016 04

mesra komuniti 2016 5

mesra komuniti 2016 06

mesra komuniti 2016 07

mesra komuniti 2016 08

mesra komuniti 2016 09

mesra komuniti 2016 010

mesra komuniti 2016 011

mesra komuniti 2016 12

mesra komuniti 2016 013

mesra komuniti 2016 014