Kurator Berita : Bahagian Dakwah

13 Ogos 2018 (Isnin), Cawangan Dakwah Khas, Bahagian Dakwah, Jakim bersama Jabatan Agama Islam Negeri Perak telah menganjurkan program  “Dakwah Tour” di Kampung Orang Asli Sg. Siput Perak dan melibatkan Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) seperti Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Jabatan Agama Islam Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, Jabatan Agama Negeri Sembilan dan Jabatan Agama Islam Negeri Melaka. Terdapat 4 buah lokasi yang di lawati seperti Sekolah Menengah Agama Rakyat Orang Asli Nurul Hidayah Kampung Orang Asli Kenang,  Masjid An Nur Hidayatul Muttaqin Kampung Orang Asli Bawong Lasah, Surau Diri Jumaat Nurul Hidayah Kampung Orang Asli Kaeb dan Sekolah Kacapuri Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong Lasah. Sebelum aktiviti Dakwah Tour diteruskan, peserta rombongan berkumpul di perkarangan Pusat Kegiatan Dakwah Jabatan Agama Islam Perak, Ipoh Perak dan menaiki bas yang disediakan oleh pihak urus setia menuju ke 4 lokasi di Sekitar Sungai Siput, Perak ini.

Lokasi pertama adalah ke Sekolah Menengah Agama Rakyat Orang Asli Nurul Hidayah, Kg Kenang Baru Sg. Siput Ulu Perak. Sekolah ini mula ditubuhkan pada tahun 1994 dalam operasinya sehingga tahun 2012 telah berjaya menghasilkan aktiviti kelas tahun 1 hingga tahun 6 dan mengajar pelajaran agama mengikut sukatan pelajaran al-Quran dan fardhu Ain JAKIM. Selain itu, sekolah ini juga bertindak sebagai Pusat Latihan Islam dan Dakwah Orang Asli Islam Negeri Perak dan menerima pelajar dari seluruh negeri Perak untuk Sijil Pengajian seperti Pendidikan Syahsiah (Keperibadian Islam, Ibadat Wajib, Sunat) Sijil pengajian Tahfiz al-Quran (Persendirian), Kursus Intensif (Khas Solat dan Ramadhan), Pengajian Dakwah (Teori dan Amali) dan Kursus Tilawah dan Taranum.

Lokasi kedua pula ke Masjid An Nur Hidayatul Muttaqin, Kampung Bawong Lasah, Sg. Siput Ulu Perak. Masjid ini merupakan masjid yang pertama didirikan Solat Jumaat untuk penduduk kampung Masyarakat Orang Asli Islam di Daerah Kuala Kangsar dan diletakkan di bawah Pentadbiran Jabatan Kemajuan Orang Asli Daerah Kuala Kangsar. Selain itu, lokasi masjid ini didirikan adalah di dalam kawasan perancangan kerajaan pusat pentadbiran RTC , sekolah menengah dan lain-lain.

Lokasi ketiga diteruskan ke Surau Diri Jumaat (SDJ) Nurul Hidayah, Kampung Keeb, RFPS Legap, Lasah, Sungai Siput Ulu Perak. Dibina pada tahun 2007 dan boleh memuatkan seramai 100 orang jemaah. Majoriti penduduk Kampung Masyarakat Orang Asli Keeb ini adalah beragama Islam. Keistimewaan surau tersebut adalah surau pertama yang didirikan Solat Jumaat di penempatan Orang Asli di kawasan RPS Legap dan diuruskan di bawah pentadbiran Unit Dakwah dan Unit Masjid Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Kangsar.

Lokasi terakhir Dakwah Tour adalah ke Sekolah Kacapuri Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong Lasah, Sg. Siput Ulu Perak. Punca Kuasa sekolah tersebut telah melaksanakan “Program Aiman” iaitu perlaksanaan KAFA Menengah bagi murid-murid Orang Asli Islam dan menekankan aspek Amali Fardhu Ain dan Amali Fardhu Kifayah pada setiap hari Isnin, Selasa dan Khamis dari jam 2.30 petang hingga 5.00 petang. Konsep perlaksanaan adalah murid terpilih dari tingkatan 1 dan sasaran 1 kelas setiap masjid yang dipilih setiap daerah.

Secara keseluruhannya, program ini banyak memberi manfaat kepada peserta, khususnya peserta daripada Jabatan Agama Islam Negeri dalam membangunkan pendidikan secara format mengikut arus perdana kepada anak-anak masyarakat Orang Asli. Hanya dengan pendidikan khususnya pendidikan agama, anak-anak ini mampu untuk mengubah masyarakat Orang Asli ke tahap yang lebih baik tanpa meninggalkan budaya dan adat resam yang tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam.
 
dakwah tour2018 1
 
dakwah tour2018 2
 
dakwah tour2018 3
 
dakwah tour2018 4
 
surau jumaat kaeb