Kurator Berita : Bahagian Dakwah
PUTRAJAYA – 8 April 2019, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berjaya mengadakan Program Rakan Masjid Hospital (RAMAH) pada 8 April 2019 bertempat di Auditorium Hospital Putrajaya. Program yang dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini merupakan hasil persetujuan yang telah dicapai bersama antara JAKIM dan KKM sejak awal tahun ini. Program RAMAH ini adalah manifestasi Program RAHMAH yang telah dilancarkan di peringkat Kebangsaan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 24 Mac 2019 di Alor Setar, Kedah.
 
Program RAMAH yang dilancarkan pada hari ini merupakan program rintis dengan menggabungkan kerjasama antara Masjid Utama di bawah JAKIM dengan hospital iaitu Masjid Putra dengan Hospital Putrajaya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan Institut Kanser Negara (IKN) dan Masjid Negara dengan Hospital Kuala Lumpur. Program ini akan dilebarkan ke seluruh negara dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-negeri melalui penglibatan Masjid Daerah dan Hospital Daerah di setiap negeri. Pendekatan program ini adalah sebahagian dari usaha untuk mengaplikasikan pendekatan Corporate Social Responsibility (CSR) berdasarkan Maqasid Syariah melalui penjagaan nyawa dan akal (Hifz al-Nafs dan al-’Aql). Ia juga sebagai usaha untuk mempamerkan Islam sebagai agama yang membawa nilai-nilai rahmah kepada sekalian alam termasuk menyantuni para pesakit, keluarga dan persekitaran. Selain itu, program ini juga sebagai salah satu usaha mempelbagaikan aktiviti masjid bagi mengetengahkan peranan dan fungsi masjid yang memberi manfaat kepada pihak-pihak yang memerlukan khususnya kepada pesakit, ahli keluarga dan warga hospital.
 
Pada peringkat ini, seramai 60 orang sukarelawan yang dikenali sebagai Sukarelawan RAHMAH yang terdiri daripada ahli jemaah masjid, Badan Kebajikan Hospital, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Persatuan Mahasiswa dan juga orang perseorangan telah dilibatkan untuk menjayakan setiap aktiviti yang dirancang berdasarkan kepada Standard Operating Procedure (SOP) selari dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh KKM. Para sukarelawan yang terlibat ini akan melaksanakan program melalui perkhidmatan ziarah, Bimbingan Ibadah Pesakit, Spiritual Care dan Kerohanian Pesakit, menyediakan bahan-bahan bacaan yang bersesuaian di wad dan juga memberikan sokongan sosial dan kebajikan.
 
Program rintis yang diadakan pada hari ini bermula dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh YBhg Tuan Haji Ikmal Zaidi bin Hashim dari Jabatan Tahfiz al Quran dan Qiraat, Fakulti Pengajian Peradaban Islam, KUIS dengan tajuk “Penjiwaan Rahmah Insani: Masjid ke Hospital”. Manakala sesi kedua adalah Sesi Sharing Knowledge dengan tajuk “Menyantuni Pesakit” yang disampaikan oleh YBhg Ustaz Mohd Rosli bin Wahab, Pegawai Kader JAKIM Unit Hal Ehwal Islam Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
 
Sesi seterusnya ialah ucapan aluan oleh YBhg Dato’ Dr. Rohaizat bin Yon, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan dan ucapan perasmian dan pelancaran oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Penyampaian Kit Ramah juga turut disampaikan kepada wakil-wakil Jabatan Agama Islam Negeri yang bertindak sebagai tuan rumah kepada aktiviti Ramah ini di peringkat negeri.
 
Majlis ini diakhiri dengan sesi ziarah di wad dan penyampaian sumbangan kepada pesakit oleh YB Menteri bersama-sama dengan para jemputan yang lain sebagai tanda keprihatinan dan ihsan terhadap mereka yang ditimpa ujian sakit.
 
PELANCARAN PROGRAM RAKAN MASJID HOSPITAL RAMAH 1
 
PELANCARAN PROGRAM RAKAN MASJID HOSPITAL RAMAH 2
 
PELANCARAN PROGRAM RAKAN MASJID HOSPITAL RAMAH 3
 
PELANCARAN PROGRAM RAKAN MASJID HOSPITAL RAMAH 4
 
PELANCARAN PROGRAM RAKAN MASJID HOSPITAL RAMAH 5