Kurator Berita : Bahagian Khidmat Pengurusan

Majlis Apresiasi Media Bersama Jakim Tahun 2016

22 Oktober 2016 (Sabtu), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Seksyen Komunikasi Korporat (PRO), Bahagian Khidmat Pengurusan Jakim telah menganjurkan Majlis Apresiasi Media Bersama Jakim di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor. Program aktiviti sukan yang julung kali dianjurkan ini telah dirasmikan oleh YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj. Baharom; Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir dalam meraikan pengamal-pengamal media ini adalah YBhg. Tan Sri Dato’ Hj. Othman bin Mustapha; Ketua Pengarah Jakim, YBhg. Dato’ Abibullah bin Hj. Samsudin; Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), YBhg. Datuk Abdul Jalil bin Hamid; Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, YBhg. Dato’ Zakaria bin Abd. Wahab; Ketua Pengarang BERNAMA, YBhg. Tn. Hj. Izelan bin Yusof; Ketua Pegawai Eksekutif TV Al-Hijrah, YBrs. Puan Norliza bin Abd. Rahman; Presiden Kelab Media Putrajaya dan Pengurusan Tertinggi Jakim.

Program yang melibatkan penyertaan pelbagai agensi media cetak dan elektronik ini antaranya BERNAMA, Berita Harian, Harian Metro, NST, Utusan Malaysia, KOSMO, Kumpulan Karangkraf, RTM, ASTRO, TV Al-Hijrah dan sebagainya lagi terdiri daripada pengarang-pengarang, wartawan-wartawan tugasan, jurufoto, jurukamera penyiaran yang secara keseluruhannya disertai seramai 200 orang dari media Kuala Lumpur dan media Biro Putrajaya. Ini adalah merupakan program untuk kali ke-5 Jakim mengadakan program sebegini bagi tujuan meraikan para media semenjak tahun 2011 lagi.

Majlis Apresiasi Media Bersama Jakim Tahun 2016 ini cukup istimewa kerana Jakim pertama kali menampilkan konsep permainan memanah dan berkuda bagi menghayati Sunnah Nabi SAW. Memanah dan berkuda adalah merupakan acara sukan yang semakin mendapat tempat di hati rakyat pada masa kini. Justeru itu, rakan-rakan media berpeluang merasai dan mengikuti pertandingan dan aktiviti sukan memanah serta diikuti dengan acara berkuda yang dipimpin oleh jurulatih professional iaitu dari Syarikat Strong Struggle Resources (SSC Resources).

Objektif utama Majlis Apresiasi Media Bersama Jakim Tahun 2016 ini diadakan adalah untuk memberi penghargaan kepada pihak media termasuk media cetak, media elektronik dan media sosial yang banyak membantu Jakim dalam menyebarluaskan fungsi dan perananJakim selaku agensi agama terunggul dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan di samping memaparkan isu-isu yang berkaitan dengan hal ehwal Islam di negara ini dengan penuh beretika dan beramanah. Ia juga dapat memupuk jalinan kerjasama antara Kerajaan dan media massa demi kebaikan agama dan negara serta masyarakat Malaysia yang harmoni.

Majlis pada pagi itu telah dimulai dengan bacaan doa oleh YBrs. Ustaz Mohd Nadzri bin Mustakim, Pegawai Perhubungan Awam, Jakim dan disusuli dengan acara pemanas badan yang dipimpin oleh facilitator yang terlatih. Seterusnya sesi taklimat oleh pelatih-pelatih kepada para media berkenaan dengan aktiviti sukan memanah dan acara berkuda. Pertandingan memanah dibahagikan kepada 2 kategori iaitu acara Panah Sakti (Team vs Team) dan ArcTrap (Panah Objek Bergerak). Manakala acara berkuda pula dikendalikan secara bersantai.

Para media dan tetamu-tetamu Jakim selepas itu menyaksikan majlis gimik perasmian oleh YB. Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan menunggang kuda yang disusuli dengan panahan ke papan target yang disediakan. Majlis diserikan dengan pelbagai hadiah cabutan bertuah sumbangan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan YaPIEM yang telah disampaikan oleh tetamu-tetamu kehormat. Majlis juga turut menyaksikan penyampaian ucapan YB. Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan YBhg. Tan Sri Dato’ Ketua Pengarah Jakim serta ucapan wakil dari media massa.

Dengan penganjuran program seperti ini diharap dapat memberi banyak manfaat dan kebaikan kepada semua pihak khususnya pengamal-pengamal media dan agensi agama di seluruh negara malah moga-moga pihak media juga bersama berusaha untuk terus menyiarkan program-program ilmiah dan berita-berita yang berteraskan syariat bagi mendidik minda, jiwa dan hati masyarakat agar lebih mencintai Allah SWT.

Apresiasi 7

Apresiasi 27

Apresiasi 10

Apresiasi 3

Apresiasi 26

Apresiasi 25

Apresiasi 1

Apresiasi 5

Apresiasi 20

Apresiasi 16

Apresiasi 19

Apresiasi 28

Apresiasi 12

Apresiasi 18

Apresiasi 2

 

Apresiasi 21

Apresiasi 9

Laporan Berita : Rizal

Foto : Bernama & Utusan Melayu