Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam

Johor Bahru- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah mengadakan Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Johor Bagi Tahun 2017 pada 8 Mei 2017 bersamaan 11 Syaaban 1438H bertempat di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru Johor.

 

Penganjuran program ini amat signifikan dengan situasi dan keperluan semasa, dalam usaha mendekati para murabbi ummah yang berada di segenap pelosok negara seterusnya menjadi petunjuk kepada keseriusan JAKIM dalam menjayakan agenda pembangunan ummah secara kolektif.

 

Program ini berjaya menghimpunkan seramai 900 orang murabbi ummah yang terdiri daripada Imam, Guru KAFA, Guru Takmir, ahli jawatankuasa masjid, Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD) dan Penyelia KAFA dari seluruh negeri Johor.

 

Para peserta yang hadir turut diberi pendedahan berkenaan isu-isu semasa menerusi dua  slot ceramah yang bertajuk Ahli Sunnah Wal dan Jamaah Dalam Perundangan  Amalan Di Johor yang telah disampaikan oleh Prof. Madya  Dr. Hj. Mohd Ismail bin Mustari,  Pengarah Wakaf  Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia.  Kemudian disusuli dengan ceramah yang kedua yang bertajuk Penentangan Terhadap Ahli Sunnah Wal Dan Jamaah Mengundang Perpecahan Antara Ummah yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman, Mufti Negeri Pahang.

 

Majlis Perasmian telah dimulai dengan ucapan aluan daripada YB Senator Dato' Dr. Asyraf Wajdi bin Dato' Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Majlis Multaqa Murabbi Ummah Negeri Johor Tahun 2017 telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Abd. Mutalip bin Abd. Rahim, Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor  yang mewakili YAB Menteri Besar Johor. Majlis tersebut disusuli dengan penyampaian dua Mock Cheque oleh YB Senator Dato' Dr. Asyraf Wajdi bin Dato' Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada Kerajaan Negeri Johor berjumlah RM47,305,200.00  bagi bayaran  imbuhan imam, elaun guru KAFA dan guru Takmir, serta RM681,000.00 bagi bayaran imbuhan bilal dan siak secara one-off  tahun 2017.

 

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB  Dato’ Dr. Haji Noh bin Gadot, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Sohibus Samahah Dato’ Haji M. Tahrir bin Dato’ Kiyai Haji Samsudin, Mufti Negeri Johor, YAA Dato’ Haji Amir Danuri, Ketua Hakim Negeri Johor, Sohibus Samahah Dato’ Yahya bin Ahmad, Timbalan Mufti Johor , YBhg.Tuan Hj. Md. Rofiki bin Dato’ Kiyai Hj. A.Samsudin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam Negeri Johor, YBhg. Datuk Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM dan YBhg. Tuan Haji Amran bin A. Rahman, Pengarah JAINJ.

 

muj2

 

muj3

 

muj1