Kurator Berita : Bahagian Pendidikan
JAKIM sentiasa komited dalam melaksanakan fungsi sebagai agensi penyelaras hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang bertanggungjawab dalam penyelarasan serta pembangunan Pendidikan Islam. Hal demikian termasuklah pengurusan latihan bagi meningkatkan kompetensi guru-guru KAFA ke arah melahirkan guru KAFA yang berkualiti. Bahkan usaha ini selari dengan fungsi Lembaga Penasihat Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) pada perkara (iv) iaitu mengadakan latihan perguruan bagi guru-guru agama (KAFA) yang mengajar di sekolah-sekolah untuk meninggikan kebolehan dan kemampuan mereka supaya sesuai untuk mencapai maksud-maksud perenggan (a) dan (b);
 
Justeru, pada 10-13 April 2019, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pendidikan telah mengadakan Latihan Profesionalisme Guru KAFA Peringkat Zon Timur Bagi Tahun 2019 bertempat di Institusi Latihan Islam Malaysia (ILIM), Wilayah Timur, Besut, Terengganu.
 
Pelaksanaan program ini merupakan hasil kerjasama antara JAKIM dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) serta Yayasan Islam Terengganu yang melibatkan seramai 80 orang guru KAFA dari negeri Kelantan dan Terengganu. Program ini merupakan siri ke-6 bagi tahun 2019.
 
Penganjuran program ini amat signifikan dengan situasi dan keperluan semasa, bagi membentuk keperibadian guru dan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersesuaian dengan aspirasi negara dalam memperkasakan modal insan bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan untuk menjadikan guna tenaga yang produktif.
 
Program ini merupakan latihan yang wajib diikuti oleh guru KAFA lantikan JAKIM seluruh Malaysia dengan menggunakan modul latihan yang sama. Seramai 4 orang penceramah/fasilitator dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam, Bangi dijemput khas bagi berkongsi ilmu dan kepakaran dalam pengurusan PdP kepada semua peserta.
 
Sebanyak 5 slot ceramah dan 5 slot Latihan Dalam Kumpulan (LDK) peserta diberi penerangan dan pemahaman yang lebih jelas mengenai tanggungjawab dan peranan Guru KAFA, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkesan serta latihan penyediaan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang tepat dan berkualiti mengikut standard yang ditetapkan.
 
Majlis Perasmian telah dimulai dengan ucapan aluan daripada YBrs. Tuan Haji Ahmad Fadluldin bin Mohamad, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Yayasan Islam Terengganu. Seterusnya Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Paimuzi bin Yahya, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), JAKIM. Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Puan Hajah Zaiton binti Abd Rahman, Pengarah Bahagian Pendidikan, JAKIM, YBrs. Encik Norawi bin Endut, Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Wilayah Timur, JAKIM dan YBrs. Puan Jamilah binti Mohd Noor, Ketua Jabatan, Jabatan Pedagogi Pendidikan Islam, Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Pendidikan Islam, Bangi Selangor serta pensyarah-pensyarah IPG Kampus Pendidikan Islam, Bangi Selangor.
 
Latihan Profesionalisme Guru KAFA Zon Timur 1
 
Latihan Profesionalisme Guru KAFA Zon Timur 2
 
Latihan Profesionalisme Guru KAFA Zon Timur 3
 
Latihan Profesionalisme Guru KAFA Zon Timur 4
 
Latihan Profesionalisme Guru KAFA Zon Timur 5
 
Latihan Profesionalisme Guru KAFA Zon Timur 6