Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Kemajuan Islam (BKI) telah berjaya mengadakan Multaqa Pengetua Pengetua Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Peringkat Kebangsaan Tahun 2016 pada 12  dan 13 Mac 2016 Bertempat di Hotel Emaslink Pacific, Kota Bharu, Kelantan.
 
YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Bin Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah meluangkan masa menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Multaqa tersebut. Turut hadir dalam Multaqa ini ialah YBhg Dato’ Haji. Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim); Puan Hajah Hakimah Binti Mohd Yusoff, Pengarah Bahagian Kemajuan Islam (BKI), Jakim, Pegawai-pegawai Jabatan/Majlis Agama Islam/Yayasan Islam Negeri-Negeri dan para peserta yang terdiri daripada pengetua-pengetua SMAN dan SMAR.
 
YB Senator Dato’ dalam ucapannya berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai) akan memainkan peranan bagi mencapai matlamat agar SMAN dan SMAR di seluruh negara diperkasakan bagi melahirkan tenaga kerja profesional dalam pelbagai bidang yang memiliki jiwa Islam tinggi.
 
Beliau juga berkata "Selain meningkatkan sistem pelajaran dan pendidikan agama Islam di sekolah itu, Jakim dan Lepai akan melatih guru di sekolah tersebut bagi memupuk pemikiran pelajar yang tidak hanya melihat subjek agama sekadar menjadi ustaz dan alim ulama tetapi menjadi tenaga pakar dalam pelbagai bidang seperti perubatan, kejuruteraan, perbankan, perundangan dan ekonomi,".
 
Beliau menegaskan bahawa negara ini memerlukan lebih ramai mereka yang kebolehpasaran dalam pelbagai bidang profesional dan memiliki jiwa pemikiran Islam yang jelas.
 
Manakala, YBhg Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jakim ketika berucap pada majlis itu, berkata multaqa tersebut yang menghimpunkan semua pengetua sekolah berkenaan bertujuan memberi pendedahan berkenaan isu-isu semasa pendidikan negara. SMAN adalah sekolah agama di bawah kelolaan kerajaan negeri, manakala SMAR dikendalikan individu atau pihak tertentu.
 

Pengetua memainkan peranan yang sangat besar, kerana maju atau mundurnya sesebuah sekolah adalah bergantung kepadanya. Mereka perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran serta sentiasa mengikuti perkembangan terkini pendidikan supaya dapat menjadi pengurus dan pentadbir yang berwibawa yang mampu memacu sekolah ke mercu kecemerlangan. Justeru itu, dalam Multaqa ini para pengetua didedahkan dengan ceramah mengenai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Pendidikan Abad Ke-21 yang disampaikan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

multaqa pengetua2

multaqa pengetua3

multaqa pengetua4

multaqa pengetua1