Kurator Berita : Bahagian Penyelidikan
Pada 26 Ogos 2020, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Penyelidikan telah menganjurkan Persidangan Meja Bulat (RTD) Mata Wang Kripto Menurut Perspektif Syarak bertempat di Silk Ballroom, Aras 3, Hotel Zenith, Kuantan, Pahang.

Persidangan telah dipengerusikan oleh YBrs. Puan Hajah Hakimah binti Mohd. Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM dan dihadiri oleh YBhg. Datuk Haji Wan Zahidi bin Wan Teh selaku Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) serta mufti-mufti seluruh Malaysia. Persidangan turut dihadiri oleh wakil dari Bank Negara Malaysia (BNM) selaku badan berautoriti.

Agenda dimulakan dengan ucapan Puan Pengerusi disusuli dengan pembentangan secara virtual conference oleh Encik Mohd Hariz bin Daud, Penolong Pengurus Besar, Jabatan Syariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Agenda diteruskan dengan pembentangan oleh kumpulan penyelidik kajian “Mata Wang Kripto (Cryptocurrency): Satu Analisa Syarak” yang dilantik oleh JAKIM, diketuai oleh YBrs. Prof. Dr. Ashraf bin Md. Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif, ISRA Consultancy. Agenda kemudiannya diteruskan dengan sesi soal jawab dan maklum balas.
 
Objektif penganjuran RTD Mata Wang Kripto ini bertujuan untuk:

a) Memberikan pendedahan dan kefahaman secara menyeluruh kepada setiap ahli RTD tentang konsep dan pelaksanaan mata wang kripto menurut perspektif syarak;
b) Menyediakan platform bertukar-tukar pandangan dan bersoal jawab bagi menyelesaikan permasalahan berkaitan mata wang kripto; dan
c) Mengumpul maklumat sahih dan lengkap sebagai panduan kepada pihak berkuasa agama untuk menetapkan hukum berkaitan mata wang kripto.
 
Diharapkan penganjuran RTD ini mampu menghasilkan impak positif dalam memastikan proses penetapan hukum atau garis panduan berkaitan mata wang kripto yang lebih tepat, telus dan praktikal selari dengan hukum syarak dan fiqh semasa.
Resolusi hasil daripada persidangan ini akan dibentang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI yang akan bersidang pada 27-29 Ogos 2020 di Hotel Zenith, Kuantan, Pahang.
 
RTD Mata Wang Kripto Menurut Perspektif Syarak 1
 
RTD Mata Wang Kripto Menurut Perspektif Syarak 2
 
RTD Mata Wang Kripto Menurut Perspektif Syarak 3
 
RTD Mata Wang Kripto Menurut Perspektif Syarak 4